BEIJING, 27 Ogos 2025 /PRNewswire/ -- Memandangkan tahun 2025 menyaksikan ulang tahun ke-80 kemenangan dalam Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, CGTN menerbitkan sebuah artikel yang menjelaskan mengapa penentangan China selama 14 tahun merupakan bahagian yang sangat penting dalam Perang Anti-Fasis Dunia dan mengapa peranan China tidak boleh dipandang enteng.
Sejak bulan Julai, China meraikan ulang tahun ke-80 kemenangan dalam Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia melalui filem-filem perang serta pameran-pameran muzium bertema.
Acara peringatan ini akan mencapai kemuncaknya pada 3 September – Hari Kemenangan China – menandakan penandatanganan formal penyerahan kalah Jepun bertarikh 2 September 1945 yang secara rasminya menamatkan Perang Dunia II.
Sejak dari peringkat awal lagi, Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun mempunyai kepentingan yang mendalam bagi memelihara peradaban manusia dan mempertahankan keamanan dunia yang membentuk bahagian yang penting daripada Perang Anti-Fasis Dunia, kata Presiden China Xi Jinping.
Medan perang Timur utama penting untuk kemenangan Perang Dunia II
China merupakan negara pertama di dunia yang bangkit menentang penceroboh fasis yang seterusnya menjadikannya sebagai barisan pertama dalam perang anti-fasis global.
Penentangannya bermula dengan Peristiwa 18 September pada tahun 1931 yang menyaksikan titik tolak perjuangan rakyat China menentang pencerobohan Jepun. Selanjutnya, pada 7 Julai 1937, Peristiwa Jambatan Lugou di pinggir bandar Beijing mencetuskan perang penentangan seluruh negara China terhadap pencerobohan Jepun dan menjadikan negara ini sebagai medan perang Timur yang utama bagi Perang Dunia II.
Peristiwa ini berlaku beberapa tahun sebelum serangan Nazi Jerman ke atas Poland pada tahun 1939 yang sering disebut dalam naratif Barat tradisional sebagai permulaan Perang Dunia II.
Penentangan China juga merupakan perisitiwa yang paling lama berlangsung berbanding mana-mana negara dalam Perang Dunia II yang berterusan sehingga penyerahan kalah Jepun pada tahun 1945, lantas menonjolkan pengorbanan besar dan usaha berterusan yang dibuat oleh rakyat China.
Memetik data yang tidak lengkap, Hu Heping, timbalan ketua eksekutif Jabatan Publisiti daripada Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, berkata perang berkenaan mengakibatkan lebih 35 juta tentera dan orang awam China terkorban dari tahun 1931 hingga 1945.
Kerugian ekonomi negara juga amat besar, dengan kerugian langsung melebihi $100 bilion manakala kerugian tidak langsung mencecah $500 bilion yang dihitung dalam mata wang tahun 1937, kata Hu.
Apa yang lebih penting, China tekal menghalang dan melemahkan kuasa utama fahaman ketenteraan Jepun di medan perang, menghapuskan lebih daripada 1.5 juta askar Jepun dan memainkan peranan penentuan dalam kekalahan muktamad penceroboh Jepun.
Perang penentangan oleh China memberikan sokongan strategik yang amat penting kepada operasi Pihak Berikat, berkoordinasi dengan operasi di Eropah dan tempat-tempat lain di Asia, kata Hu dan menambah bahawa ia mengganggu percubaan koordinasi strategik antara angkatan bersenjata fasis Jepun, Jerman dan Itali.
Sekutu yang tidak boleh dilupakan
China memainkan peranan yang amat diperlukan dalam mewujudkan perikatan anti-fasis dunia dan pembinaan semula tatanan antarabangsa pascaperang.
Tanggal 1 Januari 1942, sebanyak dua puluh enam negara, termasuk China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Soviet mengeluarkan Deklarasi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyaksikan penubuhan rasmi perikatan anti-fasis.
Menurut Hu Dekun, seorang profesor di Wuhan University, China mula mengambil bahagian secara aktif dalam perundingan untuk membentuk tatanan pascaperang yang baharu semasa peringkat pertengahan hingga akhir perang. Usaha China turut memainkan peranan penting dalam mengasaskan PBB dan beberapa organisasi ekonomi antarabangsa yang utama, seperti yang ditulis oleh Hu pada bulan Julai.
Peranan dan sumbangan China dalam Perang Dunia II yang sudah lama tidak diendahkan dalam bidang keilmuan Barat, kini mendapat perhatian yang benar-benar selayaknya diterima, sebahagiannya hasil daripada usaha bersama oleh para cendekiawan yang semakin bertambah.
Rana Mitter, seorang sejarawan British dan pengarang buku yang amat disanjung tinggi "Forgotten Ally: China's World War II", memaklumkan kepada pihak media dalam bulan Julai bahawa institusi-institusi seperti Muzium Perang Dunia II Kebangsaan di New Orleans dan Muzium Perang Imperial di London mengkhususkan kawasan pameran yang memperkenalkan secara sistematik peranan China dalam Perang Dunia II.
Sejarah penentangan China tidak seharusnya dipandang enteng atau diperkecilkan, kata Mitter.