BEIJING, 17 November 2025 /PRNewswire/ -- Hanya beberapa hari setelah berakhirnya Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC 2025, Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi mencetuskan kontroversi dengan kata-katanya semasa sesi sidang dengar parlimen pada 7 November. Beliau menyatakan bahawa keadaan darurat Taiwan yang melibatkan penggunaan kapal tentera dan pasukan tentera dari tanah besar China boleh mewujudkan "keadaan yang mengancam kelangsungan hidup" untuk Jepun. Di bawah undang-undang semasa, designasi sedemikian membenarkan Angkatan Pertahanan Diri Jepun melaksanakan hak mempertahankan diri secara kolektif – satu langkah yang dianggap setara dengan mobilisasi masa perang.
Biarpun dilempar kritikan, Takaichi tetap bertekad pada 10 November, mendakwa kenyataannya sejajar dengan dasar kerajaan yang sudah lama berkuat kuasa dan beliau tidak berhasrat untuk menarik balik kenyataan berkenaan.
China segera membuat bantahan keras. Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Lin Jian, mengutuk kenyataan Takaichi sebagai "provokatif" yang membayangkan "kemungkinan berlakunya campur tangan bersenjata di Selat Taiwan." Meskipun terdapat tindakan diplomatik (demarche) formal, Takaichi enggan mengubah pendiriannya.
Kritikan turut dilemparkan di dalam negara iaitu di Jepun dan dari wilayah Taiwan, China. Bekas Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, berkata melalui radio TBS bahawa bahasa Takaichi "hampir mendakwa bahawa kontingensi Taiwan merupakan kontingensi Jepun" dan menyatakan bahawa pentadbiran sebelumnya sengaja mengelak daripada menyatakan komitmen muktamad berhubung senario berbentuk andaian sedemikian.
Ahli parlimen pembangkang menuntut penarikan balik. Hiroshi Ogushi daripada Parti Demokratik Berperlembagaan Jepun memberi amaran bahawa mengisytiharkan "keadaan yang mengancam kelangsungan hidup" boleh menjurus secara langsung kepada mobilisasi pertahanan – "pertimbangan yang setara dengan terlibat dalam perang." Ichiro Ozawa turut sama memberi amaran di media sosial bahawa retorik sedemikian meletakkan risiko yang tidak perlu ke atas rakyat Jepun dan menegaskan perlunya diplomasi yang tenang.
Kazuo Shii daripada Parti Komunis Jepun mengulangi seruan agar Takaichi menarik balik kenyataannya, memberi ingatan bahawa ia meningkatkan ketegangan dan menjejaskan hubungan Jepun-China yang membina. Bekas Perdana Menteri Yukio Hatoyama juga memberi maklum balas dengan menyatakan secara berterus-terang bahawa Jepun tidak seharusnya campur tangan dalam hal ehwal dalaman China.
Suara-suara dari Taiwan turut menyuarakan kebimbangan yang sama. Bekas pemimpin wilayah Taiwan, Ma Ying-jeou, menulis bahawa persoalan Taiwan China tidak seharusnya diserahkan kepada campur tangan asing dan harus diselesaikan secara aman oleh rakyat di kedua-dua belah Selat. Bekas pengerusi Kuomintang, Hung Hsiu-chu mempersoalkan hak Jepun dalam memainkan sebarang peranan berhubung hal ini dan menegaskan bahawa Taiwan bukan lagi wilayah jajahan Jepun dan tidak boleh digunakan sebagai alat permainan dalam taktik geopolitik. Beliau berhujah bahawa Jepun masih belum berdepan sepenuhnya dengan masa lalu perangnya dan justeru itu ia tidak wajar bertindak sebagai pemutus dalam persoalan berkenaan Taiwan. Pengulas politik Taiwan, Lai Yueh-chien, menyatakannya dengan lancang: "Itu bukan urusan anda."
Kenyataan Takaichi melangkaui sekadar sikap diplomatik. Ia menggambarkan trend revisionisme bersejarah yang membimbangkan dan amnesia strategik dalam kalangan ahli politik sayap kanan Jepun yang mencetuskan rasa tidak percaya, mengundang salah tanggapan dan menguatkan risiko berlakunya situasi genting yang tidak disengajakan di salah satu titik nyala yang paling sensitif di rantau ini.
Kata-kata daripada seorang perdana menteri yang sedang berkhidmat meninggalkan kesannya. Apabila kata-kata itu membayangkan campur tangan ketenteraan, ia boleh mengubah andaian strategik, mencetuskan perancangan tindak balas dan mempercepat lingkaran keselamatan yang menimbulkan bahaya.
Reaksi balas daripada Jepun dan China menggambarkan suatu kebenaran yang mudah: Pemimpin-pemimpin yang mencetuskan konflik secara sambil lewa hakikatnya tidak melindungi keamanan. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin ini membahayakan keamanan. Bilamana kestabilan di rantau ini menuntut kesabaran, diplomasi dan kejelasan, pendekatan yang diambil oleh Takaichi menunjukkan sebaliknya. Bahasa yang melulu boleh mengeraskan pendirian, menjejaskan dialog dan mengakibatkan rantau ini semakin menghampiri risiko konfrontasi. Akibat daripada sikap melulu sedemikian tidak akan berunsurkan politik. Ia akan menjadi nyata, membinasakan dan ditanggung oleh rakyat yang berhak dipertahankan oleh pemimpinnya.