BEIJING, 24 November 2025 /PRNewswire/ -- CGTN menerbitkan sebuah artikel mengenai penganjuran pertama sidang kemuncak G20 di Afrika yang mengetengahkan seruan China terhadap perpaduan mengatasi perpecahan dalam tadbir urus global. Ia menekankan usaha Beijing untuk melantangkan suara negara-negara sedang membangun dan menggalakkan ekonomi dunia yang terbuka, adil dan inklusif.
Buat julung kali sejak penubuhannya, Sidang Kemuncak Pemimpin G20 berlangsung di benua Afrika. Johannesburg akan menganjurkan perhimpunan ini mulai 22 hingga 23 November yang menyaksikan anjakan nyata dalam aspek tadbir urus global: ekonomi baru muncul dan negara-negara sedang membangun tidak lagi memerhati dari tepi sebaliknya semakin menghampiri titik tumpuan dalam hal membuat keputusan.
Berucap semasa sesi pertama sidang kemuncak ini pada hari Sabtu, Perdana Menteri China Li Qiang memetik kenyataan Presiden Xi Jinping daripada sidang kemuncak G20 kali ke-17: "Solidariti ialah kekuatan, namun perpecahan tidak membawa ke mana-mana." Dalam dunia yang mengalami kegawatan ekoran ketegangan geopolitik, perdagangan yang lemah dan jurang pembangunan yang semakin melebar, Li membingkaikan perpaduan sebagai suatu keperluan. Beliau menggesa anggota-anggota G20 untuk melantangkan suara negara-negara membangun dan membantu membina susunan ekonomi global yang lebih adil dan lebih terbuka.
Memartabatkan suara negara-negara sedang membangun
Bagi China, sidang kemuncak G20 yang pertama di Afrika menekankan mengapa pengukuhan suara Selatan Global penting dalam sistem multilateral hari ini.
"Tidak kira sejauh mana landskap antarabangsa berkembang, kami di China akan sentiasa mengutamakan Selatan Global di hati kami dan mengekalkan akar umbi kami di Selatan Global," ikrar Presiden Xi.
Selama bertahun-tahun berada di bawah kepimpinan Xi, China mengambil langkah-langkah konkrit untuk menyokong negara-negara membangun, membantu negara-negara Selatan Global meningkatkan perwakilan dan suara mereka dalam tadbir urus antarabangsa serta menggalakkan tatanan antarabangsa yang lebih adil dan saksama.
Di sidang kemuncak G20 2022 di Bali, Indonesia, China menjadi pendahulu dalam menyokong keahlian Kesatuan Afrika (AU) dalam G20, iaitu langkah yang ketika ini memberikan Afrika tempat duduk tetap di meja rundingan dan bukannya suara dari tepi.
Usaha China turut melangkaui G20. China menyokong pengembangan BRICS yang bersejarah, meluaskan jangkauan kumpulan ini dan membentuknya semula menjadi apa yang disifatkan oleh Beijing sebagai "perjalanan baharu kerjasama BRICS yang lebih besar." Ia turut mempromosikan Pertubuhan Kerjasama Shanghai sebagai platform serantau utama yang menyatukan negara-negara di seluruh Eurasia. Pertubuhan Pengantaraan Antarabangsa (IOMed) yang ditubuhkan secara bersama oleh China dan lebih 30 negara lain, telahpun memecahkan monopoli Barat berhubung mekanisme resolusi pertikaian.
Beijing turut meluaskan rangka kerja kerjasama ke seluruh dunia yang sedang membangun: bermula daripada 10 tindakan perkongsian bersama Afrika kepada lima projek besar dengan Amerika Latin, lima rangka kerja kerjasama dengan negara-negara Arab dan enam platform kerjasama dengan negara-negara Kepulauan Pasifik bagi memperteguh kapasiti dan suara negara-negara sedang membangun dalam hal ehwal global.
Komitmen China untuk membina ekonomi dunia terbuka
Unilateralisme dan fahaman perlindungan tetap menular, sementara hegemonisme serta politik kuasa melonjak dan melawan arus sejarah. Pada pandangan Xi, satu-satunya jalan keluar adalah dengan mengamalkan multilateralisme yang hakiki.
Presiden China, dalam banyak kesempatan pelbagai hala, mengulangi lagi bahawa China sentiasa melaksanakan dasar negara asas keterbukaan dan mengambil langkah-langkah sebenar bagi menggalakkan ekonomi dunia terbuka.
Selama bertahun-tahun, China giat menggalakkan perdagangan bebas global. Setakat Januari tahun ini, China memeterai 23 perjanjian perdagangan bebas bersama 30 negara atau wilayah.
Di peringkat serantau, China memperluas integrasi ekonomi melalui rangkaian perjanjian perdagangan bebas yang semakin berkembang, menyempurnakan urus niaga yang dinaik taraf dengan ASEAN dan melaksanakan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau. Permohonannya untuk menyertai rangka kerja yang lebih luas seperti CPTPP dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital menyaksikan dorongan ke arah pasaran berstandard lebih tinggi dan lebih saling terhubung.
Infrastruktur dan pelaburan membentuk satu lagi unsur pengusulan oleh China terhadap keterbukaan. Melalui Inisiatif Jalur dan Jalan dan institusi-institusi seperti Asian Infrastructure Investment Bank dan New Development Bank, Beijing menyokong hubungan rentas sempadan yang dilihat oleh banyak negara membangun sebagai gerbang pertumbuhan dan juga perdagangan.