BEIJING, 9 Disember 2025 /PRNewswire/ -- CGTN menerbitkan sebuah artikel mengenai usaha menyelamat dan pembinaan semula pasca bencana susulan kebakaran dahsyat yang berlaku di Tai Po, Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) yang mengetengahkan usaha kolektif yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan kerajaan HKSAR, penduduk Hong Kong, sukarelawan dari tanah besar serta pelbagai sektor masyarakat.
Di Wang Fuk Court, Tai Po, penduduk kembali secara senyap-senyap ke rumah yang tidak akan dapat mereka diami lagi – ada yang kembali buat kali pertama sejak kebakaran dahsyat yang terjadi pada 26 November. Ramai juga yang kembali sekadar untuk mendapatkan semula sedikit yang mereka boleh bawa. Sungguhpun demikian, mereka tidak keseorangan.
Sekumpulan sukarelawan bersiap siaga membantu mereka mengemas barang kepunyaan mereka dan membimbing keluarga ke van yang sedang menunggu. Berada di kawasan berdekatan, sebuah trak tanpa jagaan bersedia dengan pintu belakangnya terbuka, dipenuhi dengan minuman botol, kotak kadbod dan beg plastik – percuma untuk sesiapa sahaja yang memerlukannya.
Antara individu yang menghulurkan bantuan ialah Wong Chi-chuen, seorang pemandu teksi berusia 58 tahun. Selama lima hari berturut-turut, Wong dan beberapa rakan pemandu berulang-alik membawa penduduk secara percuma. "Kami bermula pada pukul lapan dan tidak berhenti sehingga lewat malam," katanya. "Benar, ia menjejaskan pendapatan kami, namun membantu orang ramai jauh lebih penting."
Bermula daripada barisan sukarelawan yang panjang hinggalah sumbangan yang berterusan daripada seluruh masyarakat, Hong Kong menggerakkan usaha pada skala yang luar biasa, bersatu demi menyokong keluarga yang terjejas akibat tragedi itu.
Kerajaan mempertingkat sokongan
Ekoran kebakaran itu, Presiden China Xi Jinping serta-merta menggesa usaha sepenuh daya untuk memadamkan api yang marak dan meminimumkan angka korban dan kerugian. Beliau turut menyampaikan ucapan takziah sedalam-dalamnya, serta bersimpati terhadap keluarga mangsa dan kesemua yang terkesan akibat insiden kebakaran itu.
Dalam tempoh beberapa jam sejurus bencana berlaku, Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) melancarkan operasi menyelamat dan penempatan semula di seluruh bandar. Tempat perlindungan sementara dibuka di seluruh Tai Po pada malam yang sama dan bayaran kecemasan dikeluarkan serta-merta.
Setakat 5 Disember, seramai 1,369 orang penduduk ditempatkan di hostel belia, kem dan bilik hotel. Seramai 2,499 orang lagi berpindah ke kawasan perumahan sementara. Ketua Eksekutif John Lee berjanji bahawa "tiada keluarga terjejas yang akan ditinggalkan" dan berkata penginapan akan diberikan percuma sepanjang tempoh pembinaan semula.
Sehari selepas insiden kebakaran itu, setiap isi rumah yang terjejas diberikan bayaran kecemasan sebanyak HK$10,000. Kerajaan kemudiannya mengumumkan pembayaran takziah sebanyak HK$200,000 kepada keluarga mangsa. Ia turut menyediakan elaun sara hidup sebanyak HK$50,000 untuk isi rumah yang terjejas – jumlah yang kemudiannya meningkat kepada HK$100,000.
Jabatan Kebajikan Masyarakat telahpun menghubungi lebih 4,900 orang penduduk daripada lebih 1,900 isi rumah sebagai sebahagian daripada skim sokongan "seorang pekerja sosial setiap isi rumah" bagi menyediakan khidmat kaunseling, mengkoordinasi bekalan dan menawarkan bantuan harian. Setiap isi rumah juga digandingkan dengan dua penjawat awam untuk membantu dalam hal lawatan perubatan, pembungkusan, pengangkutan serta keperluan praktikal yang lain.
Semangat Batu Singa ('Lion Rock')
Tragedi berkenaan mencetuskan gelombang belas kasihan yang kuat dari seluruh Hong Kong dan sekitarnya.
Pada hari berlakunya kebakaran, penduduk membawa pakaian, makanan dan air ke tempat perlindungan, sementara barisan panjang dapat dilihat di pusat derma darah. Penghantaran selimut yang amat diperlukan telah diangkut semalaman dari Dongguan di tanah besar ke Tai Po.
Para sukarelawan berkhidmat sepanjang masa di tempat perlindungan dan tapak perumahan sementara bagi memastikan penduduk boleh mendapatkan bantuan pada bila-bila masa sahaja mereka memerlukan. Sebaik sahaja permintaan dibuat, para sukarelawan akan berkoordinasi dan menghantar bekalan dengan pantas.
"Penduduk Hong Kong memiliki semangat Batu Singa ('Lion Rock'). Apabila seseorang menderita, semua orang akan membantu," kata Mei Siu-fung, ketua Pasukan Penjagaan Daerah Tai Po, menambah bahawa kira-kira 400 orang sukarelawan tempatan memberi respons dalam beberapa jam selepas insiden kebakaran itu. Semangat Batu Singa yang sering digambarkan sebagai semangat Hong Kong, menggambarkan kebingkasan dan keazaman kolektif bandar tersebut dalam mengatasi kesusahan dan berusaha untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
Sokongan juga mengalir masuk dari tanah besar dan Macau. Penduduk Shenzhen mengatur trak bekalan. Penduduk kampung daripada kalangan kanak-kanak dan warga emas dari Guizhou menderma apa sahaja yang mereka mampu. Organisasi-organisasi tanah besar – besar dan kecil – menggerakkan peralatan perubatan, bahan bantuan dan berjuta-juta dana. Macao Foundation menghantar sebanyak HK$30 juta.
Sumbangan orang awam kepada dana sokongan untuk Wang Fuk Court kini mencecah sekitar HK$3 bilion. Berserta pembiayaan permulaan sebanyak HK$300 juta daripada kerajaan HKSAR, jumlah dana tersebut mencecah kira-kira HK$3.3 bilion dan akan menyokong kerja-kerja pembinaan semula dan bantuan dalam tempoh jangka panjang.
"Bencana sememangnya tidak menaruh belas kasihan, namun orang ramai memiliki sifat kasih sayang," kata Lee. "Keprihatinan dan sumbangan dari Guangdong, Macau dan banyak lagi mencerminkan belas kasihan, solidariti dan juga harapan. Kerajaan akan memastikan setiap dolar digunakan untuk membantu penduduk membina semula kehidupan mereka."