![]() |
Walaupun lebih ramai dalam kalangan generasi tersepit menabung, melabur dan mendapatkan nasihat berbanding golongan lain, tanggungjawab penjagaan keluarga menjejaskan perancangan persaraan serta memberikan tekanan kepada kewangan keluarga.
HONG KONG, 26 November 2026 /PRNewswire/ -- Sunlife Asia hari ini mengumumkan pelancaran Lighter with Sunlife, siri pendidikan kewangan digital percuma, susulan penyelidikan baharu yang mendedahkan situasi paradoks yang dihadapi oleh generasi tersepit di Asia: mereka mengambil lebih banyak langkah untuk memperkukuh kedudukan kewangan berbanding golongan lain, namun tanggungjawab keluarga dan pekerjaan boleh menyukarkan usaha mencapai kawalan kewangan yang lebih baik.
Penemuan ini diperoleh daripada Sandwich Generation in Focus, laporan khas Sunlife Asia mengenai tekanan kewangan yang dihadapi oleh golongan dewasa yang membesarkan anak-anak sambil menyara ibu bapa yang semakin berusia atau ahli keluarga lain yang lebih tua.
Lighter with Sunlife direka untuk membantu individu memahami kedudukan kewangan dan keutamaan mereka dengan lebih baik serta mengenal pasti langkah yang boleh diambil untuk mencapai matlamat masing-masing. Siri ini kini tersedia di Indonesia dan dijadualkan dilancarkan di Hong Kong, Malaysia, Filipina dan Vietnam pada penghujung tahun ini. Ia menawarkan pembelajaran ringkas dan praktikal yang sesuai untuk generasi yang kesuntukan masa serta mencari panduan yang dekat dengan kehidupan seharian mereka. Lima topik yang diketengahkan merangkumi pengurusan kewangan harian, keutamaan kewangan, perlindungan kewangan, keperluan keluarga yang saling bersaing serta perancangan masa depan. Individu boleh memulakan pembelajaran berdasarkan perkara yang paling penting bagi mereka dan mengikuti pembelajaran mengikut kadar masing-masing.
David Broom, Ketua Pegawai Pelanggan dan Pengedaran Sunlife Asia, berkata: "Generasi tersepit sebenarnya mengamalkan banyak tabiat yang lazimnya dikaitkan dengan pengurusan kewangan yang baik. Namun begitu, ramai yang masih menghadapi kesukaran untuk mengawal kewangan kerana pendapatan isi rumah yang sama perlu digunakan untuk memenuhi keperluan anak-anak, ibu bapa serta masa depan mereka sendiri."
"Penyediaan lebih banyak maklumat semata-mata tidak semestinya dapat menyelesaikan masalah ini. Individu memerlukan panduan praktikal untuk memahami keutamaan mereka dan menentukan perkara yang perlu ditangani terlebih dahulu. Kami membangunkan Lighter with Sunlife sebagai titik permulaan untuk membantu individu mengambil langkah praktikal ke arah mencapai matlamat mereka."
Lebih Banyak Usaha Dilakukan, Namun Kawalan Kewangan Masih Sukar Dicapai
Generasi tersepit semakin giat mengambil langkah pengurusan kewangan, lebih cenderung memiliki perlindungan kewangan dan lebih bersedia menghadapi kejadian tidak dijangka.
Sepanjang tahun lalu, 67% telah meningkatkan simpanan mereka, berbanding 57% golongan lain, manakala 52% melabur secara berkala berbanding 38%. Kira-kira 41% telah meningkatkan pengetahuan kewangan mereka, berbanding 27% golongan lain, manakala 24% lagi mendapatkan nasihat kewangan profesional berbanding 14%.
Sebanyak dua pertiga (67%) mempunyai perlindungan insurans hayat, berbanding 44% golongan lain, manakala 74% mempunyai perlindungan kesihatan berbanding 51%. Selain itu, lebih separuh daripada mereka mempunyai simpanan kecemasan yang mampu menampung perbelanjaan isi rumah sekurang-kurangnya enam bulan, berbanding kira-kira satu pertiga golongan lain.
Namun begitu, persediaan tersebut kini diuji oleh pelbagai tuntutan yang perlu dipenuhi menggunakan sumber pendapatan isi rumah yang sama. Tanggungjawab keluarga menjadi halangan untuk mencapai kawalan kewangan yang lebih baik bagi 29% responden generasi tersepit yang ditinjau, berbanding 18% golongan lain. Tanggungjawab pekerjaan juga menjadi halangan yang lebih besar, seperti yang dinyatakan oleh hampir satu perempat responden generasi tersepit.
Bagi kebanyakan keluarga, pelbagai keutamaan kewangan perlu dipenuhi secara serentak menggunakan sumber pendapatan yang sama. Perbelanjaan pendidikan, penjagaan anak dan rawatan kesihatan anak-anak perlu ditanggung di samping kos penjagaan kesihatan ibu bapa, sokongan kepada ahli keluarga warga emas serta penjagaan berterusan. Peningkatan kos pendidikan memberikan kesan kewangan yang besar kepada 28% generasi tersepit, manakala 18% menyatakan bahawa kos penjagaan anak merupakan antara perbelanjaan isi rumah yang mencatatkan peningkatan paling ketara sepanjang enam bulan lalu.
Tanggungjawab Penjagaan Keluarga Menyebabkan Persaraan Semakin Tertangguh
Kesan jangka panjang daripada situasi ini semakin jelas: Tanggungjawab keluarga menjadi halangan kepada perancangan persaraan bagi 40% generasi tersepit. Lebih satu perempat (28%) telah menghentikan sementara atau mengurangkan caruman persaraan akibat tanggungjawab menjaga ahli keluarga, manakala 26% menangguhkan usia persaraan yang dirancang.
Keadaan ini memaksa mereka membuat pilihan sukar antara memenuhi keperluan keluarga pada masa kini dengan menjamin keselamatan kewangan pada kemudian hari. Ramai juga menjangkakan tanggungjawab tersebut akan berterusan. Dalam kalangan responden generasi tersepit yang mempunyai tanggungan warga emas, 59% menjangkakan mereka akan terus memberikan sokongan kepada golongan tersebut walaupun selepas bersara.
Penemuan ini mengetengahkan salah satu cabaran praktikal yang ditangani menerusi Lighter with Sunlife: cara mengasingkan keperluan keluarga pada masa kini daripada simpanan persaraan jangka panjang serta menyesuaikan perancangan kewangan apabila tanggungjawab berubah.
Wanita Memikul Beban Penjagaan Keluarga yang Lebih Berat
Menurut hasil penyelidikan, tekanan kewangan dan tanggungjawab penjagaan keluarga amat ketara dalam kalangan wanita generasi tersepit. Hampir sembilan daripada 10 wanita generasi tersepit (89%) merupakan pembuat keputusan tunggal atau bersama bagi urusan penjagaan kesihatan anak-anak mereka, berbanding 61% wanita lain. Jurang ini semakin melebar dalam urusan penjagaan kesihatan ahli keluarga yang lebih tua, iaitu 93% berbanding 59%.
Tanggungjawab ini turut menjejaskan kedudukan kewangan wanita itu sendiri. Dalam kalangan wanita generasi tersepit, 36% menangguhkan simpanan persaraan berbanding 31% wanita lain; 37% mengehadkan peluang pelaburan berbanding 28%; dan 26% menanggung hutang atau membuat pinjaman berbanding 18%.
Bagi sesetengah wanita, kesannya turut menjejaskan kesihatan mereka sendiri. Hampir lapan daripada 10 wanita generasi tersepit (79%) tidak mendapatkan rawatan perubatan tertentu demi menampung kos penjagaan ahli keluarga, berbanding lebih separuh (55%) wanita lain.
David Broom berkata: "Penemuan ini menunjukkan betapa mudahnya keperluan individu yang memberikan penjagaan diketepikan daripada senarai keutamaan. Keadaan ini boleh menjejaskan simpanan persaraan, keputusan pelaburan dan, bagi sesetengah individu, penjagaan kesihatan mereka sendiri. Meningkatkan pengetahuan kewangan, mendapatkan perlindungan terhadap kejadian tidak dijangka serta mendapatkan nasihat kewangan yang boleh dipercayai sejak awal dapat membantu keluarga membuat keputusan dengan mengambil kira tanggungjawab semasa dan keselamatan kewangan jangka panjang mereka."
Tumpuan Sunlife terhadap pemerkasaan kewangan di Asia adalah untuk memperluas akses kepada pendidikan kewangan, alat dan penyelesaian praktikal yang dapat membantu individu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat yang mencukupi serta mengambil langkah positif dalam pengurusan kewangan. Dalam jangka panjang, usaha ini dapat membantu meningkatkan daya tahan kewangan, tahap kesiapsiagaan dan keselamatan kewangan.
Cari "Lighter with Sunlife" untuk mengetahui maklumat lanjut.
Laporan penuh Sandwich Generation in Focus boleh didapati di sini.
Maklumat Tentang Sunlife
Sunlife ialah organisasi perkhidmatan kewangan antarabangsa terkemuka yang menyediakan penyelesaian pengurusan aset, kekayaan, insurans dan kesihatan kepada Pelanggan individu dan institusi. Sunlife beroperasi di beberapa pasaran di seluruh dunia, termasuk Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, Ireland, Hong Kong, Filipina, Jepun, Indonesia, India, China, Australia, Singapura, Vietnam, Malaysia dan Bermuda. Setakat 30 September 2026, Sunlife mempunyai jumlah aset di bawah pengurusan bernilai $1.68 trilion. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.sunlife.com.
Sun Life Financial Inc. didagangkan di Bursa Saham Toronto (TSX), Bursa Saham New York (NYSE) dan Bursa Saham Filipina (PSE) di bawah simbol singkatan SLF.
Catatan kepada editor: Semua angka dinyatakan dalam dolar Kanada.
Tumpuan Sunlife terhadap Pemerkasaan Kewangan di Asia
Matlamat kami adalah untuk membantu individu membina jaminan kewangan sepanjang hayat dan menjalani kehidupan yang lebih sihat, dengan pemerkasaan kewangan memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat tersebut. Kami percaya bahawa dengan memperluas akses kepada pendidikan kewangan praktikal, alat dan penyelesaian kewangan yang bersesuaian, kami dapat membantu individu membina pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat yang mencukupi serta mengambil tindakan sewajarnya. Dalam jangka panjang, usaha ini dapat membantu individu lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan dan lebih yakin terhadap kedudukan kewangan mereka pada masa hadapan.
Maklumat tentang penyelidikan
Asia's Sandwich Generation in Focus merupakan analisis sekunder terhadap tiga kajian sedia ada Sunlife Asia yang menggunakan dapatan daripada laporan Sunlife Asia bagi 2026, iaitu: Retirement Reimagined (Menilai Semula Persaraan), Women's Wealth in FocusTumpuan terhadap Kekayaan Wanita) dan Financial Resilience Index (Indeks Daya Tahan Kewangan). Penyelidikan ini meliputi Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Vietnam. Bagi tujuan analisis ini, istilah "generasi tersepit" merujuk kepada golongan dewasa yang menyara anak-anak tanggungan serta ibu bapa yang semakin berusia atau ahli keluarga lain yang lebih tua. Istilah "golongan lain" merujuk kepada responden yang tidak menanggung kedua-dua kumpulan tersebut secara serentak.
Butiran hubungan media: Adam Welch, Pengarah, Komunikasi, Asia, T: +852 9071 1821, adam.welch@sunlife.com