omniture

IGCF 2016: Para Pakar Menekankan Peranan Komunikasi Kerajaan untuk Memerangi Fahaman Pelampau, Mempengaruhi Pendapat Golongan Muda dan Membentuk Wacana Hak Asasi Manusia

IGCF 2016 (International Government Communication Forum 2016)
2016-03-21 20:39 405

SHARJAH, UAE, 21 Mac 2016 /PRNewswire/ -- Peranan penting komunikasi kerajaan dalam pelbagai bidang, termasuk untuk memerangi fahaman pelampau, dalam usaha mendekati generasi lebih muda dalam sesebuah negara serta isu hak asasi manusia yang sering dibincangkan, ditegaskan oleh pakar dari dalam dan luar negara pada hari pertama Forum Komunikasi Kerajaan Antarabangsa (IGCF 2016)  kali kelima di Sharjah.

  (Foto: http://photos.prnewswire.com/prnh/20160320/346053 )

Dalam satu sesi panel bertajuk 'Menangani Fahaman Pelampau: Komunikasi Kerajaan dan Pembentukan Budaya Kemanusiaan', para penceramah menekankan keperluan komunikasi kerajaan untuk menggalakkan toleransi serta membantu menamatkan diskriminasi serta sektarianisme. Ahli panel menggalakkan komunikasi kerajaan bagi menonjolkan imej sebenar Islam sebagai agama yang sederhana dan menghormati hak serta tanggungjawab individu, berbanding agama yang menumpukan terhadap fahaman pelampau dan kebencian terhadap pihak lain.

Sesi tersebut dihadiri oleh Yang Teramat Mulia Sheikh Dr Sultan bin Mohamed Al Qasimi, Ahli Majlis Tertinggi dan Pemerintah Sharjah, yang merasmikan IGCF 2016.

Menggesa penyatuan pendekatan untuk memerangi fahaman pelampau, mantan Perdana Menteri Perancis France Dominique de Villepin berkata: "Komunikasi tidak seharusnya berlaku sehala daripada pihak kerajaan kepada rakyat. Maklum balas rakyat kepada pihak kerajaan juga perlu. Jika komunikasi tidak berlaku dua hala, maka ia adalah satu propaganda dan propaganda menimbulkan lebih kekecewaan serta kebencian kerana rakyat ingin menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah."

Menekankan peranan komunikasi kerajaan dengan generasi lebih muda, T.Y.T. Sheikh Sultan bin Ahmed Al-Qasimi, Pengerusi Pusat Media Sharjah berkata: "Belia pada abad ke-21 lantang menyuarakan pendapat mereka terhadap sebarang isu melalui media sosial. Kini, kerajaan perlu menyasarkan generasi yang mampu dan mahu meluahkan pendapat serta yang terbuka terhadap semua budaya. Kita perlu mendengar suara mereka bagi memanfaatkan idea inovatif serta kemampuan mereka untuk terus membangunkan negara dan masyarakat kita."

Amal Alamuddin Clooney berkata: "Hak asasi manusia menjadi bahasa yang digunakan oleh negara untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan menjadi kayu pengukur bagi mengadili semua negara… Kerajaan perlu lantang bersuara dan terlibat dalam komunikasi berkaitan hak asasi manusia bersama masyarakat antarabangsa."

Bertemakan 'Rakyat untuk Kemakmuran', IGCF 2016 diwujudkan untuk menilai hubungan simbiotik antara kerajaan dan rakyat, serta meninjau bagaimana komunikasi kerajaan menyentuh pelbagai aspek berbeza dalam kehidupan seharian rakyat melalui kesannya terhadap sektor sosioekonomi yang utama.

Source: IGCF 2016 (International Government Communication Forum 2016)
Keywords: Education Publishing/Information Service Workforce Management/Human Resources Corporate Social Responsibility Federal and state legislation Not for profit