omniture

Indeks Baharu Menunjukkan Negara-negara Perlu Bertindak Segera bagi Mencapai Matlamat Global

Bertelsmann Stiftung
2016-07-14 20:08 738

GUTERSLOH, Jerman dan NEW YORK, 14 Julai, 2016 /PRNewswire/ -- Setahun setelah Sidang Kemuncak PBB terbesar dalam sejarah menerima pakai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Indeks dan Papan Pemuka SDG baharu menunjukkan semua negara menghadapi cabaran besar bagi mencapai matlamat bercita-cita tinggi ini menjelang tahun 2030. Tiada negara yang mampu mencapai SDG, bahkan negara Sweden yang terbaik juga mendapat skor "merah" bagi beberapa matlamat  

Setahun yang lalu, para pemimpin dunia daripada 193 buah negara anggota PBB berhimpun di New York sempena sidang kemuncak terbesar yang diadakan dalam sejarah dan masing-masing menyatakan komitmen terhadap 17 Matlamat Pembangunan Lestari, iaitu satu himpunan objektif bercita-cita tinggi yang terdiri daripada tiga dimensi pembangunan lestari iaitu pembangunan ekonomi, penyertaan sosial dan juga kelestarian alam sekitar. Pada hari ini, Sustainable Development Solutions Network (SDSN) dan Bertelsmann Stiftung melancarkan Indeks dan Papan Pemuka Matlamat Pembangunan Lestari baharu dengan menyediakan kad laporan bagi tujuan memantau tahap kemajuan SDG dan menjamin kebertanggungjawapan. Laporan tersebut menunjukkan sejauh mana para pemimpin dapat menunaikan janji mereka dan turut menggesa negara-negara agar terus berusaha mencapai pembaharuan penting. Indeks dan Papan Pemuka SDG mengumpulkan data tersedia yang melibatkan 149 buah negara bagi menilai kedudukan setiap negara pada tahun 2016 berhubung dengan pencapaian SDG.

(Foto: http://photos.prnewswire.com/prnh/20160712/388809-INFO)

Negara-negara yang paling hampir mencapai matlamat tersebut bukanlah negara-negara ekonomi terbesar, sebaliknya merupakan negara-negara yang bersaiz kecil dan maju: Sweden, Denmark dan Norway merupakan tiga buah negara yang menunjukkan prestasi terbaik. Jerman dan United Kingdom merupakan antara negara G7 yang tersenarai dalam sepuluh negara terbaik. Amerika Syarikat menduduki tempat ke-25 dalam Indeks tersebut, manakala Persekutuan Rusia dan China masing-masing meraih kedudukan ke-47 dan ke-76. Negara-negara miskin dan sedang membangun pula sedia maklum mendapat skor paling rendah bagi Indeks SDG memandangkan negara-negara ini hanya mempunyai sedikit sahaja sumber dalam simpanan mereka: Republik Afrika Tengah, Chad dan Niger berada pada kedudukan bawah dalam Indeks tersebut dan masih banyak yang perlu diusahakan bagi mencapai SDG.

Laporan tersebut turut menekankan cabaran utama yang terdapat pada setiap kawasan: negara-negara OECD berusaha memenuhi matlamat tersebut dari segi ketidaksamaan, penggunaan lestari, perubahan iklim dan ekosistem, manakala kebanyakan negara-negara sedang membangun menghadapi masalah besar untuk menyediakan perkhidmatan sosial asas serta akses infrastruktur buat penduduk mereka. Asia Timur dan Asia Selatan berjaya mengatasi kebanyakan negara-negara sedang membangun, namun cabaran yang masih belum diatasi masih wujud dalam sektor kesihatan dan pendidikan. Bagi Amerika Latin dan Caribbean, tahap ketidaksamaan yang amat tinggi adalah antara isu yang paling mencabar. Walaupun terdapatnya kemajuan penting yang dicapai beberapa tahun ini di Afrika Sub-Sahara, kawasan paling miskin di dunia ini menghadapi cabaran besar dalam hampir kesemua SDG. Kemiskinan tegar, kelaparan dan kesihatan menjadi isu utama dan usaha peningkatan yang besar perlu dibuat.

"Para pemimpin dunia telah dapat meyakinkan orang ramai pada sidang kemuncak bersejarah yang berlangsung tahun lalu. Kini, kita perlu memastikan para pemimpin ini dapat melaksanakan segala yang mereka utarakan. Tahun pertama pelaksanaan matlamat ini adalah amat penting bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari sehingga tahun 2030," kata Aart De Geus, CEO dan Pengerusi Bertelsmann Stiftung.

"Matlamat Pembangunan Lestari adalah satu matlamat tambahan yang sukar dicapai, namun boleh terlaksana sekiranya negara-negara berusaha mencapai matlamat ini dengan hala tuju yang jelas dan penuh keazaman. Indeks dan Papan Pemuka SDG dapat membantu setiap negara merangka tujuan yang praktikal bagi mencapai Matlamat tersebut," kata Jeffrey D. Sachs, Pengarah SDSN.

Latar belakang kajian 

Sempena majlis Forum Politik Pembangunan Lestari Peringkat Tinggi dan perhimpunan peringkat menteri di New York (18 - 20 Julai 2016), Bertelsmann Stiftung dan UN Sustainable Development Solutions Network (SDSN) membentangkan kajian perbandingan pertama dunia berhubung Matlamat Pembangunan Lestari untuk 149 buah negara. SDSN merupakan sebuah persatuan yang terdiri daripada institut-institut penyelidikan yang bergabung bagi menyokong objektif baharu PBB. Bertelsmann Stiftung ialah salah sebuah yayasan terbesar di Jerman. Yayasan ini berperanan untuk menggalakkan penyertaan sosial buat semua.

Sebarang maklumat lanjut dan untuk mendapatkan laporan negara yang lengkap dalam bahasa Inggeris sila ke:
http://www.bertelsmann-stiftung.de atau www.unsdsn.org/

Pakar-Pakar Kami:
Christian Kroll, Telefon: +49(0)5241-81-81471,
Tel. bimbit: +49-173-660-1646
E-Mel: christian.kroll@bertelsmann-stiftung.de
Michael Shank, Telefon: +1-212-870-2473
E-Mel: michael.shank@unsdsn.org

Source: Bertelsmann Stiftung
Keywords: Environmental Products & Services Green Technology Environmental Issues Not for profit