omniture

Microsoft, NXP Semiconductors, IAV dan rakan kongsi mobiliti automotif pamer inovasi pemanduan automatik selamat, terjamin dan diperibadikan di CES 2017

Microsoft Corp.
2017-01-03 16:00 562

LAS VEGAS, 3 Januari 2017 /PRNewswire/ -- Sempena CES 2017 yang berlangsung mulai 4‒8 Januari di Las Vegas, Microsoft Corp., NXP Semiconductors, IAV, dan rakan kongsi mobiliti automotif Cubic Telecom, Esri dan Swiss Re bakal mempamerkan visi kolektif syarikat-syarikat ini terhadap mobiliti hujung-ke-hujung yang selamat dan terjamin menerusi demonstrasi dan pengalaman pemanduan berautomasi tinggi.

Microsoft company logo.
Microsoft company logo.

Bermula dari Gold Lot/North Plaza NP-2, Pusat Konvensyen Las Vegas, para hadirin CES berpeluang memandu uji kenderaan berautomasi tinggi bagi memahami sejauh mana infrastruktur awan dan kepintaran buatan dapat memberikan pengalaman dalam kereta yang diperibadikan. Para hadirin boleh melihat bagaimana kereta dapat "bercakap" dengan kereta lain secara selamat, bagaimana kereta-kereta ini memantau segala yang berlaku di sekitarnya bagi tujuan meningkatkan tahap keselamatan, serta sejauh mana kereta dapat beradaptasi dengan gaya pemanduan berbeza demi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih bersifat peribadi. Para peserta juga boleh mempelajari sejauh mana teknologi-teknologi baharu ini dapat membawakan model-model insurans baharu yang anjal.

Teknologi berikut akan disepadukan ke dalam demonstrasi konsep di CES:

  • Microsoft akan memaparkan senario masa depan yang menunjukkan bot kepintaran buatan dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan pemandu, penglibatan, ciri penyepaduan dengan kalendar dan juga pilihan peribadi. Microsoft juga akan menganalisis keadaan trafik semasa serta kepadatan pejalan kaki dalam masa sebenar berdasarkan data sensor seperti V2X, radar, kamera serta LIDAR, menggunakan Microsoft Azure Cloud.
  • NXP Semiconductors akan mempamerkan keselamatan jalan raya dan aliran lalu lintas yang dipertingkat melalui komunikasi yang selamat antara kenderaan (V2V) serta antara kenderaan dan infrastruktur sekitaran (V2I). Senarai tindakan akan melibatkan amaran perlanggaran, lampu isyarat pintar dan pengesanan pengguna jalan raya yang mudah terdedah kepada bahaya di persimpangan — kesemuanya menggunakan produk RoadLINK automotif NXP. NXP bekerjasama dengan Delphi dan Savari untuk unit dalam kenderaan serta tepi jalan.
  • IAV telah membangunkan teknologi pemanduan berautomasi tinggi. Pemanduan automatik ialah penyumbang utama terhadap usaha untuk memperbaiki masalah kesesakan lalu lintas di bandar dan mengurangkan pencemaran yang berkaitan. Kenderaan panduan berautomasi tinggi ini mampu berhubung dengan infrastruktur, pejalan kaki dan Microsoft Azure Cloud bagi membolehkan kenderaan ini bertindak balas secara automatik dan selamat dalam persekitarannya.
  • Teknologi analitik pemetaan dan ruang Esri, yang berkomunikasi dengan Microsoft Cortana, memberikan konteks geospatial bagi meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya serta meningkatkan pengalaman pemandu secara keseluruhan. Perkhidmatan platform GIS perusahaan Esri yang terdapat dalam Azure Cloud menyediakan kandungan dan analitik geografi untuk memahami tingkah laku pemandu dengan lebih baik, meramalkan keadaan jalan raya bagi memperbaiki aliran lalu lintas, serta berkongsi data sensor kereta terhubung dalam ekosistem. Ciri-ciri ini membolehkan bandar-bandar pintar bertindak lebih pantas terhadap masalah-masalah baharu seperti memperbaiki lopak yang tidak selamat mahupun membuang benda-benda berbahaya dari jalan raya.
  • Model-model insurans pintar Swiss Re mensimulasikan perlindungan insurans yang diperibadikan dan anjal menggunakan teknologi Microsoft Azure bagi menawarkan penyelesaian mobiliti terhubung masa depan.
  • Fungsi ketersambungan 4G LTE penuh daripada Cubic Telecom memperhebat maklumat hibur berkualiti tinggi yang sentiasa tersedia dan akses terhadap pelan perkhidmatan berpakej yang kompetitif, termasuk perkhidmatan kawasan khas Wi-Fi, aplikasi peribadi dan banyak lagi.

Petikan kata-kata

"Memandangkan kereta menjadi lebih pintar, ia memerlukan lebih banyak perisian dan keupayaan analitik," kata Kevin Dallas, naib presiden korporat, bahagian pembangunan perniagaan untuk Microsoft. "Kolaborasi di CES 2017 ini merupakan satu lagi contoh yang menunjukkan sejauh mana kami bekerjasama untuk terus menguji, mengenal pasti apa yang boleh dikekalkan dan membantu pembuat kereta membawakan pengalaman yang benar-benar diperibadikan kepada pemandu dan perkhidmatan yang mampu mempelajari tingkah laku unik dan boleh membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa."

"Kereta panduan kendiri haruslah benar-benar selamat dan terjamin," kata Lars Reger, naib presiden kanan dan ketua pegawai teknologi automotif di NXP Semiconductors. "Pertama, ia memerlukan: pelbagai sensor berprestasi tinggi; kedua: sistem lakuran pengesanan dan sensor berkuasa, lengkap dengan sambungan awan; dan ketiga: sistem yang cekap untuk peneraju industri. Kami begitu teruja apabila melihat kesemua ini dihimpunkan dalam pameran yang kami adakan bersama di CES."

"IAV mempunyai beberapa kenderaan ujian yang memperlihatkan keadaan semasa bagi teknologi masa depan ini di Eropah dan Amerika Syarikat," kata Karsten Schulze, naib presiden kanan, bahagian keselamatan aktif dan bantuan pemandu di IAV. Kenderaan-kenderaan tersebut telahpun dipandu berbatu-batu jauhnya dengan hampir tiada campur tangan daripada pemandu."

Para hadirin di CES yang berminat untuk melihat demonstrasi kenderaan terhubung secara langsung boleh mengambil bahagian dalam acara pemanduan, bertempat di Gold Lot/North Plaza NP-2 mulai 5-8 Januari. Para eksekutif daripada semua syarikat yang mengambil bahagian akan berada di tapak acara bagi menjelaskan tentang teknologi ini.

Demonstrasi media

Rakan-rakan media boleh menempah demonstrasi pada hari media bertarikh 4 Januari atau pada waktu lain hingga 8 Januari. Hantarkan permintaan anda melalui e-mel untuk menetapkan masa.

Microsoft (Nasdaq "MSFT" @microsoft) ialah syarikat platform dan produktiviti peneraju untuk dunia yang mengutamakan mudah alih serta awan, dan matlamatnya adalah untuk memperkasa setiap individu dan setiap organisasi di seluruh dunia bagi meraih lebih banyak kejayaan.

Pautan laman sesawang semua rakan kongsi
Microsoft (Nasdaq "MSFT" @Microsoft): www.microsoft.com
NXP Semiconductors (NASDAQ "NXPI" @NXP): www.nxp.com/automotive
IAV Automotive Engineering: https://www.iav.com/
Esri: (@Esri): http://www.esri.com/
Swiss Re: http://www.swissre.com/
Cubic Telecom: (@cubictelecom): http://www.cubictelecom.com

Logo - http://mma.prnewswire.com/media/24227/microsoft_corp_logo226_9217jpg.jpg

Source: Microsoft Corp.
Related Stocks:
NASDAQ:MSFT
Related Links:
Keywords: Computer Software Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Trade show news