omniture

Tumpu Kerjasama China-CEE Dalam Sesi Prague Forum CEIBS Eropah

China Europe International Business School
2018-09-27 15:45 835

PRAGUE, 27 September 2018 /PRNewswire/ -- Istana Prague yang bersejarah menjadi tempat untuk mengadakan perbincangan yang telus dan membuahkan hasil berhubung bagaimana China dan negara-negara Eropah Tengah dan Timur dapat berganding bahu bersama-sama demi memacu pertumbuhan ekonomi bersama. Dihadiri oleh sekitar 20 peserta, acara ini menyaksikan ucapan-ucapan dasar daripada Duta baharu China ke Republik Czech, T.Y.T. Jianmin Zhang; Gabenor Czech National Bank, En. Jiri Rusnok; Presiden New Silk Road Institute Prague dan Penasihat untuk Presiden Republik Czech, En. Jan Kohout; Presiden CEIBS, Profesor Li Mingjun; dan Profesor Ekonomi dan Kewangan CEIBS, Xu Bin. Ia turut dianjurkan bersama-sama China Europe International Business School (CEIBS) dan New Silk Road Institute Prague.

Tumpu Kerjasama China-CEE Dalam Sesi Prague Forum CEIBS Eropah
Tumpu Kerjasama China-CEE Dalam Sesi Prague Forum CEIBS Eropah

Dalam ucapan rasmi pertama beliau sebagai Duta China ke Republik Czech, T.Y.T. Jianmin Zhang bercakap mengenai keperluan kedua-dua negara untuk bekerjasama, khususnya dengan kemunculan unilateralisme dan fahaman perlindungan di beberapa pelosok dunia. "Perang perdagangan telah mengakibatkan ketegangan dari segi hubungan ekonomi dan perdagangan antara kuasa-kuasa besar dan ketidaktentuan pula meningkat. China sentiasa berpegang pada prinsip-prinsip sistem perdagangan pelbagai hala dan perdagangan bebas… Kami akan lebih terbuka kepada dunia luar," kata beliau. Beliau berkata bahawa hubungan China-Czech telah "berkembang dengan baik" menerusi data yang menunjukkan bahawa pelaburan dua hala berkembang pesat. Langkah seterusnya, menurut beliau adalah untuk mempercepatkan kolaborasi antara kedua-dua pihak.

Isu kolaborasi antara kedua-dua negara turut disentuh oleh Jan Kohout yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri untuk Republik Czech. Beliau menyebut tentang keuntungan yang telahpun diperoleh namun turut menyatakan bahawa "masih banyak yang perlu dicapai" dan mencadangkan aspek-aspek yang dapat mengukuhkan kolaborasi antara kedua-dua pihak. Ramai pelabur Cina, kata beliau, berminat dengan projek-projek infrastruktur, mengambil alih syarikat-syarikat IT dan syarikat-syarikat berteknologi tinggi, selain menjual barangan mereka dalam pasaran CEE yang lebih luas. "Kami turut meletakkan harapan agar China membuka pasaran mereka dengan lebih luas. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah mencapai persefahaman. Kami seharusnya jelas mengenai strategi jangka panjang kami selain undang-undang dan peraturan," kata beliau. "Kami telah menunjukkan kemajuan. Forum hari ini akan menjadi platform hebat yang membolehkan kami bertukar-tukar idea yang dapat memberi inspirasi untuk kolaborasi masa depan. Satu hasil yang mungkin diperoleh daripada forum ini ialah projek-projek masa depan. Kami mengalu-alukan para pelabur Cina ke Republik Czech, khususnya dalam bidang-bidang yang disebutkan sebelum ini." Beliau turut menyebutkan negara beliau sebagai sumber tenaga kerja berkualiti tinggi, minatnya dalam mendapatkan akses ke dalam pasaran Cina dan potensi kedua-dua negara untuk berkolaborasi dalam R&D.

Gabenor Czech National Bank (CNB), Jiri Rusnok turut menyebutkan tentang bagaimana kedua-dua negara bekerjasama dan dapat terus bekerjasama dalam bidang kewangan. Hubungan kerja ini yang bermula pada tahun 2010 menerusi MOU bersama Suruhanjaya Pengawalseliaan Perbankan China (CBRC) dan CNB, salah satu daripada yang pertama ditandatangani oleh CBRC bersama pihak berkuasa penyeliaan EU, dikukuhkan pada tahun 2016 apabila pengurusan krisis dimasukkan ke dalam skopnya. Dalam ucapan beliau, En. Rusnok menggariskan beberapa dasar yang diperlukan untuk memberi jaminan pada masa depan, kestabilan kewangan bersama di bawah Inisiatif Jalur & Jalan (BRI) yang diterajui China. Beliau turut menyebutkan tentang bagaimana pasaran kewangan kedua-dua negara dapat mengukuhkan kerjasama mereka. "Kami memerlukan sistem perbankan yang mantap, kami perlu mengurangkan faktor-faktor negatif demi perlindungan pengguna dan kami turut memerlukan literasi kewangan," kata beliau. Kemudian, beliau memberi contoh-contoh faedah-faedah yang dilihat daripada sistem "penyeliaan bersepadu" CNB yang membolehkan tumpuan pada risiko sistemik, sinergi perkongsian maklumat, sokongan teknikal dan profesional yang kukuh serta proses membuat keputusan yang berautonomi. Beliau turut menyatakan bahawa terdapatnya penggabungan peraturan pasaran kewangan dan penyeliaan di peringkat negara yang mewujudkan keadaan untuk pertukaran dan penyepaduan yang berkesan terhadap data berkaitan, dan penggabungan yang berpotensi untuk kerja-kerja analitikal. "Kami sedang mengusahakan perkongsian pengetahuan dan pengalaman dengan rakan-rakan sejawat Cina kami, sebagai contoh mengenai topik-topik seperti kestabilan kewangan," kata beliau. "Saya benar-benar percaya bahawa kami dapat berganding bahu bersama-sama untuk berkongsi lebih banyak pengalaman sesama kami."

Aspek-aspek untuk kerjasama yang berpotensi pada masa depan antara China dan Republik Czech, kata beliau, termasuk kestabilan kewangan dan ujian tekanan; penyeliaan pasaran kredit pengguna dan sektor kewangan bukan perbankan; selain dasar makro-prudential yang dapat mencegah inflasi dalam pasaran aset, membina penampan modal yang mencukupi dan melihat penyelarasan dengan dasar monetari. Beliau turut bercakap mengenai cabaran-cabaran mendatang yang boleh menjadi halangan kepada visi kerjasama beliau, termasuk apa yang disebut oleh beliau sebagai "ketidakseimbangan yang besar dalam perdagangan bersama", tadbir urus yang kurang telus dan struktur pemilikan beberapa entiti Cina serta strategi pelaburan yang tidak jelas melibatkan beberapa pelabur Cina. "Hubungan Czech-Cina masa depan seharusnya saling menguntungkan," tegas beliau. "Kami benar-benar mengalu-alukan inisiatif yang diambil oleh China untuk membuka pasaran mereka selanjutnya kepada dunia luar. Kami percaya ini dapat membantu kami untuk menggalakkan kerjasama yang selanjutnya."

Tema hubungan yang saling menguntungkan diteruskan oleh Profesor Ekonomi dan Kewangan CEIBS, Xu Bin yang menggunakan data ekonomi untuk memberikan pengajaran yang boleh dipelajari oleh China dan Republik Czech antara satu sama lain dan menekankan bagaimana mereka dapat berkolaborasi. Beliau menunjukkan persamaan antara kedua-dua negara: perkhidmatan menyumbang bahagian yang besar terhadap KDNK mereka dan membantu kedua-dua negara mengekalkan tahap pengangguran yang rendah, kedua-duanya amat menarik perhatian kepada pelabur-pelabur luar, kedua-duanya masih berkembang (secara relatifnya) amat pantas dan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara dipacu oleh modal dan teknologi. Setelah memberikan perbandingan makroekonomi kedua-dua negara tersebut, Prof. Xu kemudiannya menekankan enam perkara yang dapat dipelajari oleh China daripada Republik Czech termasuk bagaimana untuk melaksanakan pembandaran namun masih mengekalkan warisan budayanya; bagaimana untuk meningkatkan perdagangan dalam perkhidmatan; bagaimana menyediakan rawatan kesihatan kepada penduduk yang meningkat usia; bagaimana mencari keseimbangan yang tepat dalam cukai ke atas pendapatan, keuntungan dan laba modal; bagaimana menangani pencemaran udara; dan bagaimana mengurus kadar pertukaran dengan jayanya serta isu-isu sektor kewangan lain yang berkaitan dengan perdagangan antarabangsa serta pelaburan langsung asing.

Forum ini diadakan bertepatan dengan detik bersejarah: tahun ke-40 reformasi dan keterbukaan China, ulang tahun ke-15 Perkongsian Strategik Komprehensif China-EU dan ulang tahun ke-5 Inisiatif Jalur & Jalan. China menganggap CEE sebagai pemacu yang berpotensi untuk pertumbuhan ekonomi Eropah, selain sebagai rakan kongsi dan destinasi penting untuk pelaburan serta sebagaimana yang disebut oleh Presiden CEIBS Profesor Li Mingjun dalam ucapan alu-aluan beliau, Republik Czech ialah komponen penting dalam hubungan China dengan CEE. "Pertukaran politik, ekonomi dan budaya antara kedua-dua negara terus berkembang maju dan perdagangan dua hala telah dibangunkan dengan baik. China ialah rakan dagangan terbesar Republik Czech di luar EU dan sumber kedua terbesar bagi barangan import di Republik Czech; sementara itu, Republik Czech ialah rakan dagangan kedua terbesar China di Eropah Tengah dan Timur," ujar beliau. "Di bawah visi inisiatif 'Satu Jalur, Satu Jalan' China dan 'kerjasama 16+1', meneruskan momentum 'Zaman Keemasan' hubungan China-Czech, kami berada di sini hari ini dengan penuh harapan, untuk menyediakan platform bagi tujuan pertukaran pandangan dan kerjasama antara perusahaan-perusahaan." Beliau turut menyebutkan tentang usaha yang telahpun dilakukan oleh CEIBS berhubung hal ini, seperti kolaborasi tahun lalu dengan SINO-CEE Fund untuk melancarkan ERICEE, satu inisiatif yang menjurus kepada kolaborasi akademik CEIBS dengan 16 negara CEE, badan pemikir peringkat negaranya dan sekolah-sekolah perniagaan yang ternama, serta menyediakan sokongan intelektual kepada jabatan-jabatan negeri yang berkaitan bagi tujuan kerjasama di CEE. Kesemua usaha ini dilengkapkan dengan forum Prague yang menjadi "penghubung untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi Eropah demi menggalakkan kerjasama perniagaan antara China dan Eropah," kata Prof. Li. 

Acara ini dilengkapkan dengan dua perbincangan panel yang menampilkan barisan eksekutif Cina dan Czech. Perbincangan pertama mencakupi amalan dan contoh untuk melabur dalam kedua-dua negara. Ahli-ahli panel terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif SINO-CEEF Eropah, Jin Chen; Presiden Dewan Perniagaan Czech, Vladimir Dlouhy; Pengarah Eksekutif COSCO SHIPPING Lines (Eropah Tengah) s.r.o., Zhongming Luo; Presiden Zhejiang Huajie Investment Development Co., Ltd. Fengde Zhang; dan Pengerusi Deloitte (Republik Czech) Josef Kotrba.

Hari tersebut diakhiri dengan perbincangan panel mengenai "Ruang Baharu untuk Kerjasama China-Czech" yang menyaksikan input daripada Pengerusi Lembaga dan Pengarah Urusan di CEZ ESCO, Kamil Cermak; Pengerusi Persatuan Perusahaan-perusahaan bersaiz Kecil dan Sederhana Republik Czech, Karel Havlicek; Pengurus Negara di Dahua Technology Czech s.r.o, Zhenyu Hu; Pengerusi Lembaga di Czech General Aircraft, Petr Hyl; dan Pengurus Kumpulan Perniagaan Huawei Technologies (Czech), Peter Basek.

Forum ini merupakan salah satu daripada lima forum yang dianjurkan oleh CEIBS, sekolah perniagaan antarabangsa yang terkemuka di China, bersama-sama rakan-rakan kongsi di seluruh Eropah. Acara-acara ini merupakan sebahagian daripada inisiatif CEIBS Insights 2018 yang lebih luas, dilancarkan bagi menyambut ulang tahun ke-15 Perkongsian Strategik Komprehensif China-EU dengan melihat peranan yang dimainkan oleh CEIBS dan terus memainkannya dalam memupuk hubungan China-Eropah. Sebelum acara Prague, CEIBS menganjurkan forum-forum di Munich dan London masing-masing pada 17 dan 19 Julai. Acara seterusnya dalam siri Forum Eropah CEIBS Insights 2018 akan diadakan di Paris pada 19 Oktober dan Zurich pada 24 Oktober.

Latar Belakang CEIBS

China Europe International Business School (CEIBS) ialah antara sekolah perniagaan antarabangsa yang terkemuka di Asia, yang mana ia merupakan satu-satunya yang tersenarai serentak dalam senarai 30 program MBA, EMBA dan Pendidikan Eksekutif terbaik dalam Financial Times.

CEIBS mempunyai lebih 20,000 alumni dari lebih 80 negara di seluruh dunia dan telah menyediakan rangkaian program pengurusan yang luas untuk lebih 150,000 eksekutif di dalam dan luar negara. Pasukan fakulti CEIBS dilengkapi secara unik untuk memberikan gabungan antara Keluasan China dan Keluasan Global dari segi pengajaran dan penyelidikan.

CEIBS mempunyai kampus-kampus di Shanghai, Beijing, Shenzhen, Zurich dan Accra.

Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20180926/2248175-1

Source: China Europe International Business School
Keywords: Banking/Financial Service Education Higher Education