SHENZHEN, China, 8 Julai 2021 /PRNewswire/ -- Pasaran untuk tenaga solar semakin panas di seluruh dunia, dengan lebih banyak negara menyertai Race to Zero, "satu kempen global untuk menghimpunkan kepimpinan dan sokongan daripada perniagaan, bandar, wilayah, [dan] pelabur demi pemulihan karbon sifar yang sihat dan berdaya tahan," memetik secara langsung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ini merupakan usaha global yang bersepadu untuk memerangi perubahan iklim. Singapura, negara-bandar kecil dan kekurangan sumber tidak terkecuali dan pulau ini kini menempatkan salah satu ladang Fotovolta (PV) terapung luar pesisir yang terbesar di dunia, satu projek puncak-5 MW yang telah dijalankan di Selat Johor.
Dibangunkan oleh Sunseap Group, penyedia penyelesaian tenaga solar di Singapura, loji janakuasa solar berasaskan air laut berkeluasan lima hektar ini bersamaan dengan saiz lima buah padang bola sepak. Dengan 13,312 panel solar, 40 penyongsang dan lebih daripada 30,000 apungan, ia dianggarkan menghasilkan sehingga 6,022,500 kWj tenaga setahun, membekalkan kuasa yang mencukupi untuk 1250 rumah pangsa awam empat-bilik di pulau tersebut dan mengimbangi anggaran 4258 tan karbon dioksida.
PV Solar: Langkah Lazim yang Seterusnya untuk Singapura Menangani Perubahan Iklim
Pada tahun 2021, kerajaan Singapura mengumumkan Rancangan Hijau Singapura 2030. Inisiatif seluruh negara ini untuk memajukan agenda negara Singapura terhadap pembangunan mampan adalah susulan daripada pengumumannya yang dibuat pada tahun 2020 bahawa Singapura akan bermatlamat untuk mengurangkan separuh daripada emisi gas rumah hijau puncaknya menjelang tahun 2050. Visinya adalah untuk mencapai emisi sifar bersih menjelang tahun 2050, namun begitu matlamat ini hanya dapat dicapai sekiranya negara ini mengurangkan dengan ketara pergantungannya kepada bahan bakar fosil. Justeru itu, pencarian kaedah alternatif untuk menjana kuasa elektrik adalah penting, memandangkan gas asli bertanggungjawab terhadap 97% daripada penjanaan kuasa elektrik di Singapura.
Terhad dengan saiznya yang kecil, Singapura kekurangan akses kepada sumber tenaga asli dan boleh diperbahaui seperti angin dan kuasa hidroelektrik. Walau bagaimanapun, terletak berhampiran khatulistiwa, Singapura memperoleh purata sinaran suria tahunan yang tinggi. Ringkasnya, ia mendapat banyak cahaya matahari. Oleh itu, salah satu sasaran utama di bawah Rancangan Hijau 2030 adalah untuk meningkatkan penggunaan tenaga solar sebanyak empat kali ganda kepada puncak-1.5 GW menjelang tahun 2025, dengan rancangan selanjutnya untuk mencapai puncak-2 GW menjelang tahun 2030.
Walau bagaimanapun, agar Singapura mencapai matlamatnya yang bercita-cita tinggi ini dan menyerlahkan potensi sebenar PV solar mesra alam, ia perlu beralih kepada teknologi canggih.
Keadaan Tidak Menggalakkan Menuntut Teknologi Diperkuatkan
Kekangan ruang Singapura membuatkan Sunseap untuk memfokuskan luar pesisir, ke laut terbuka sebagai kaedah alternatif yang berdaya maju untuk tenaga boleh diperbaharui, yang akhirnya menggunakan sistem PV di perairan pantai. Dengan berbuat demikian, Sunseap turut meraih satu lagi pencapaian: membina sistem kabel bawah laut yang menghubungkan platform terapung ke tanah besar, lalu mewujudkan jaringan pengagihan elektrik 22 KV.
Tidak seperti jasad air di kawasan pedalaman, laut terbuka tertakluk kepada pelbagai keadaan dan terdedah kepada perubahan, bermula daripada turun naik suhu dan gelombang besar bergelora hinggalah sifat menghakis air masin. Keadaan yang tidak menggalakkan tersebut, digabungkan dengan pengotoran biologi yang biasa ditemui di perairan tropika yang hangat, yang mana mikroorganisma, tumbuhan, alga dan haiwan kecil berkumpul di atas permukaan, berpotensi mempercepatkan degradasi komponen sistem PV, seperti penyongsang.
Dengan memanfaatkan kepakarannya dalam mengintegrasikan Kecerdasan Buatan (AI) dan awan, Huawei memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) terkini ke dalam peralatan PV untuk mengoptimumkan penjanaan kuasa. Sunseap memilih Huawei untuk membekalkan penyongsang rentetan pintar yang terbukti di lapangan, Huawei SUN2000-90KTL-H2 bagi menjadikan ladang solar terapung lebih cekap, lebih selamat dan lebih andal.
"Kami berbesar hati kerana dipilih oleh Sunseap, iaitu penyedia penyelesaian tenaga solar Singapura, untuk menyediakan penyongsang solar yang utama dalam industri kepada salah satu projek apungan-PV luar pesisir yang terbesar di dunia," kata Bruce Li, Pengarah Urusan Perniagaan Kuasa Digital Perusahaan Asia-Pasifik Huawei. "Sebagai pakar dalam mengintegrasikan teknologi elektronik digital dan kuasa, Huawei komited untuk membantu orang ramai dan industri di seluruh dunia untuk mendapat manfaat daripada tenaga solar bersih dengan penyelesaian PV Pintar inovatifnya, mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui. Kami tidak sabar-sabar untuk bekerjasama erat dengan Sunseap dan menyumbang kepada Rancangan Hijau Singapura 2030."
Memberi Kuasa kepada "Rancangan Hijau" Singapura dengan Penyelesaian PV Pintar
Penyongsang Huawei telahpun menyumbang ke arah penjanaan gigawatt kuasa elektrik di seluruh sistem kuasa solar utiliti seluruh dunia, seraya memperlihatkan keupayaan syarikat untuk beroperasi dengan jayanya dalam apa jua skala dan di bawah sebarang keadaan. Di samping itu, penyongsang berkenaan telah menjalani beberapa ujian melibatkan kakisan garam dan pelesapan haba, bagi menunjukkan daya tahannya terhadap persekitaran dan suhu yang mencabar bermula daripada -55°C hingga 80°C. Dengan menggunakan penyongsang Huawei, Sunseap berupaya untuk memperkemas proses Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) platform terapung serta mencegah karat serta haus dan lusuh yang biasa pada bahan.
Selain daripada faedah-faedah prestasi, reka bentuk modular memastikan agar penggunaan menjadi pantas dan mudah dengan pelarasan minimum diperlukan di lapangan. Kemudahan penggunaan berkenaan merupakan satu lagi pembeza kritikal yang mendorong Sunseap untuk memilih Huawei sebagai rakan teknologinya.
Shawn Tan, Naib Presiden Kejuruteraan di Sunseap, berkata: "Ciri kemudahalihan penyongsang rentetan Huawei merupakan ciri penting kerana ia membolehkan kami memasang penyongsang terus pada platform terapung, bersebelahan panel PV. Ini dapat menghapuskan keperluan untuk hos kabel Arus Terus (DC) dan kotak penggabung DC, mengurangkan kos dan masa penggunaan. Lantaran reka bentuk unik penyongsang, haba dilesapkan dengan lebih cekap, lalu meningkatkan keandalan keseluruhan dalam seluruh sistem PV solar."
Dengan melaksanakan penyongsang rentetan pintar Huawei, Sunseap juga telah memperkemas proses O&M dan kini juruteranya berupaya melakukan dengan mudah pemeriksaan rutin harian dari jauh. Wilson Tsen, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pengurusan Projek di Sunseap, mengulas: "Hasil daripada Penyelesaian PV Pintar Huawei dan platform O&Mnya yang pintar, kami dapat melakukan pemeriksaan runtin dan servis peralatan loji, apungan dan tali tambat dengan sangat mudah dan senang. Teknologi Huawei benar-benar merupakan satu pengubah keadaan: kami bukan sahaja dapat mendiagnosis masalah loji dari jauh, bahkan kami juga dapat menyelesaikan masalah tanpa perlu berada di lapangan secara fizikal."
Penyempurnaan projek ini dan masa yang diambil untuk membolehkan grid terhubung diharapkan akan dapat menjadi rangka tindakan untuk negara-negara lain yang mengalami kekurangan tanah dan padat penduduknya di rantau ini untuk melancarkan inisiatif yang serupa.
Frank Phuan, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sunseap, menyatakan: "Rancangan Hijau daripada kerajaan Singapura merupakan komitmen padu terhadap perubahan iklim dan loji puncak-5 MW apungan luar pesisir yang kami miliki di sini hanyalah satu langkah kecil ke arah laluan menuju keneutralan karbon. Saya berharap agar pada masa depan, Sunseap dan Huawei akan terus menyumbang kepada landskap tenaga bersih di Singapura ini."