omniture

Kes Demensia Global Diramalkan Meningkat Tiga Kali Ganda Menjelang Tahun 2050

Alzheimer’s Association
2021-07-27 22:00 82

Analisis baharu menunjukkan penurunan dalam prevalens demensia hasil dari pendidikan, berbanding dengan peningkatan faktor risiko kesihatan jantung

DENVER, 27 Julai 2021 /PRNewswire/-- Trend positif dalam capaian pendidikan global dijangka akan mengurangkan prevalens demensia di seluruh dunia sebanyak 6.2 juta kes menjelang tahun 2050. Sementara itu, jangkaan trend dalam tabiat merokok, indeks jisim tubuh yang tinggi dan gula darah tinggi dijangka akan meningkatkan prevalens dengan jumlah yang hampir sama: 6.8 juta kes. Kedua-dua keputusan tersebut adalah menurut data prevalens global baharu yang dilaporkan pada Alzheimer's Association International Conference® (AAIC®) 2021 (Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer) di Denver, Colorado dan secara maya.

Dengan ramalan yang digabungkan ini, para penyelidik dari Institut untuk Metrik dan Penilaian Kesihatan di Sekolah Perubatan University of Washington telah melaporkan pada AAIC 2021 bahawa mereka menganggarkan bilangan pesakit demensia akan mencapai hampir tiga kali ganda iaitu lebih 152 juta orang menjelang tahun 2050. Peningkatan tertinggi dalam prevalens ini diunjurkan akan berlaku di Afrika sub-Sahara timur, Afrika Utara dan Timur Tengah.

"Peningkatan gaya hidup golongan dewasa di negara-negara maju dan tempat-tempat lain — termasuk peningkatan capaian kepada pendidikan dan perhatian yang lebih besar terhadap isu-isu kesihatan jantung — telah mengurangkan insiden dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi jumlah bilangan pesakit demensia masih meningkat disebabkan penuaan populasi," kata Maria C. Carrillo, PhD, Ketua Pegawai Sains Persatuan Alzheimer. "Di samping itu, obesiti, diabetes dan gaya hidup tidak aktif dalam kalangan golongan muda meningkat dengan cepat dan ini merupakan faktor-faktor risiko untuk menghidap demensia."

National Institute on Aging (Institut Kebangsaan tentang Penuaan) A.S. menganggarkan bahawa peratus individu berumur lebih 65 tahun adalah sebanyak 16% daripada populasi dunia menjelang tahun 2050 — meningkat daripada 8% pada tahun 2010.

Dua kajian prevalens/insiden yang lain juga telah dilaporkan pada AAIC 2021. Penemuan utama merangkumi:

  • Setiap tahun, dianggarkan 10 daripada setiap 100,000 individu menghidap demensia dengan permulaan awal (sebelum berumur 65 tahun). Ini sepadan dengan 350,000 kes baharu demensia permulaan awal pada setiap tahun di seluruh dunia.
  • Dari tahun 1999 hingga 2019, kadar kematian di A.S. akibat Alzheimer dalam keseluruhan populasi meningkat secara signifikan daripada 16 kepada 30 kematian bagi setiap 100,000 orang, peningkatan sebanyak 88%.
  • Antara kesemua kawasan di A.S., kadar kematian Alzheimer didapati paling tinggi di kawasan luar bandar di wilayah Timur Tengah-Selatan A.S. dengan kadar kematian akibat Alzheimer berjumlah 274 bagi setiap 100,000 orang yang berumur melebihi 65 tahun.

Prevalens Demensia Global Dijangka Meningkat dengan Pantas hingga Tahun 2050
Untuk meramalkan prevalens demensia global dengan lebih tepat dan menghasilkan anggaran di peringkat negara, Emma Nichols, MPH, seorang penyelidik Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan di Sekolah Perubatan University of Washington dan rakan-rakan sekerjanya telah memanfaatkan data dari tahun 1999 hingga 2019 daripada kajian Beban Penyakit Global (GBD), satu set anggaran yang komprehensif tentang trend kesihatan di seluruh dunia. Kajian ini juga bertujuan untuk memperbaiki ramalan terdahulu dengan menggabungkan maklumat tentang trend dalam faktor risiko demensia.

Nichols dan pasukannya telah mendapati bahawa demensia akan meningkat daripada anggaran sebanyak 57.4 (50.4 hingga 65.1) juta kes di seluruh dunia pada tahun 2019 kepada anggaran sebanyak 152.8 (130.8 hingga 175.6) juta kes pada tahun 2050. Peningkatan tertinggi diperhatikan di Afrika sub-Sahara timur, Afrika Utara dan Timur Tengah. Analisis mereka mencadangkan bahawa sebahagian besar daripada unjuran peningkatan kes mungkin disebabkan oleh pertumbuhan dan penuaan populasi walaupun kepentingan relatif kedua-dua faktor ini adalah berbeza mengikut wilayah di seluruh dunia.

Tambahan pula, Nichols dan pasukannya meramalkan prevalens demensia disebabkan oleh tabiat merokok, indeks jisim tubuh tinggi (BMI) dan glukosa plasma tinggi sewaktu berpuasa, menggunakan hubungan yang dijangkakan antara faktor-faktor risiko ini dengan prevalens demensia. Mereka mendapati bahawa peningkatan sebanyak 6.8 juta kes demensia secara global antara tahun 2019 dan 2050 khususnya disebabkan oleh perubahan jangkaan dalam faktor-faktor risiko ini. Secara berasingan dan sebaliknya, para penyelidik mendapati bahawa perubahan yang dijangkakan pada tahap pendidikan akan menyebabkan penurunan prevalens demensia kepada 6.2 juta individu di seluruh dunia antara tahun 2019 dan 2050. Jika dilihat secara bersama, trend bertentangan ini semakin hampir saling mengimbangi.

"Anggaran ini akan membolehkan pembuat dasar dan pembuat keputusan untuk lebih memahami jangkaan peningkatan jumlah individu yang menghidap demensia serta pemacu kepada peningkatan ini dalam keadaan geografi tertentu," kata Nichols. "Peningkatan besar yang dijangkakan dalam jumlah individu menghidap demensia menekankan keperluan penting untuk penyelidikan yang memberi tumpuan kepada penemuan rawatan yang mengubah suai penyakit dan campur tangan kos rendah yang berkesan untuk mencegah atau menangguhkan permulaan demensia."

Diterbitkan baru-baru ini  dalam Alzheimer's & Dementia: The Journal of the Alzheimer's Association (Alzheimer & Demensia: Jurnal Persatuan Alzheimer), Nichols dan pasukannya menggunakan set data yang sama untuk menganggarkan kadar kematian disebabkan Alzheimer telah meningkat sebanyak 38.0% antara tahun 1990 dan 2019.

"Tanpa rawatan yang berkesan untuk menghentikan, memperlahan atau mencegah Alzheimer dan semua jenis demensia, jumlah ini akan meningkat selepas tahun 2050 dan terus memberi impak kepada individu, pengasuh, sistem kesihatan dan kerajaan di seluruh dunia," kata Carrillo. "Sebagai tambahan kepada terapeutik, adalah penting untuk meneroka intervensi yang disesuaikan dengan budaya yang mengurangkan risiko demensia melalui faktor-faktor gaya hidup seperti pendidikan, diet dan senaman."

Kajian untuk Melindungi Kesihatan Otak Melalui Intervensi Gaya Hidup bagi Mengurangkan Risiko oleh Persatuan Alzheimer A.S. (U.S. POINTER) (PENUNJUK A.S.) ialah ujian klinikal selama dua tahun untuk menilai sama ada intervensi gaya hidup yang menyasarkan banyak faktor risiko secara serentak mampu melindungi fungsi kognitif pada golongan dewasa yang lebih tua yang berisiko tinggi terhadap penurunan kognitif.

Anggaran Insiden untuk Demensia Permulaan Lebih Muda Mencadangkan 350,000 Kes Baharu setiap Tahun
Data tentang demensia permulaan lebih muda (younger-onset dementia, YOD), sejenis demensia yang menunjukkan permulaan simptom berlaku sebelum usia 65 tahun, adalah sangat terhad. Untuk memahami dengan lebih baik insiden YOD, Stevie Hendriks, MSc, seorang pelajar di Maastricht University di Belanda dan rakan-rakan sekerjanya menjalankan tinjauan literatur sistematik terhadap semua kajian yang diterbitkan dalam tempoh 30 tahun yang lalu yang melaporkan angka tentang bilangan orang yang mengalami demensia sebelum berusia 65 tahun.

Hendriks dan pasukannya mendapati bahawa secara keseluruhan, kadar insiden global ialah 10 kes baharu setiap tahun bagi setiap 100,000 orang. Mereka juga mendapati bahawa insiden ini meningkat seiring dengan usia. Ini menunjukkan bahawa sekitar 350,000 orang di seluruh dunia menghidap demensia permulaan lebih muda pada setiap tahun. Kadar insiden untuk golongan lelaki dan wanita adalah sama dan tertinggi bagi penyakit Alzheimer, diikuti dengan demensia vaskular dan demensia frontotemporal.

"Penemuan kami akan meningkatkan kesedaran dalam profesional penjagaan kesihatan, para penyelidik dan pembuat dasar kerana ia menunjukkan terdapat jumlah yang signifikan terhadap orang yang baru menghidap demensia permulaan muda pada setiap tahun," kata Hendriks. "Ini menunjukkan perlunya pelaburan dalam penjagaan kesihatan yang disesuaikan untuk kumpulan pesakit istimewa ini dan lebih banyak penyelidikan tentang cara kita memberi sokongan terbaik serta mencegah dan merawat demensia permulaan muda."

"Pesakit Alzheimer permulaan lebih muda menghadapi cabaran yang unik berkaitan diagnosis, keluarga, pekerjaan, kewangan, penjagaan masa hadapan dan — dengan tindakan FDA baru-baru ini — pilihan rawatan yang berpotensi. Namun begitu, sokongan dan maklumat adalah tersedia," kata Kristen Clifford, Ketua Pegawai Program Persatuan Alzheimer. "Dan anda mempunyai kuasa untuk membuat perancangan baharu dan menentukan cara anda memilih untuk menjalani kehidupan terbaik anda dengan penyakit ini."

Kawasan Luar Bandar di Amerika Selatan Mengalami Beban Kematian Alzheimer Tidak Seimbang
Walaupun purata jangka hayat telah meningkat dengan ketara selama beberapa dekad yang lalu di Amerika Syarikat, terdapat peningkatan dalam perbezaan kadar kematian populasi bandar dan luar bandar. Perbezaan ini mungkin disebabkan oleh pelbagai ketaksamaan kesihatan yang dialami oleh penduduk luar bandar berbanding dengan penduduk bandar yang merangkumi status sosio-ekonomi yang lebih rendah, tahap penyakit kronik yang lebih tinggi, ketersediaan perkhidmatan internet yang terhad dan kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan termasuk penjagaan utama.

Untuk memahami secara khusus tentang variasi geografi dalam kematian penyakit Alzheimer, Ambar Kulshreshtha, MD, PhD. dan rakan-rakan sekerjanya dari Emory University menggunakan data dari Pusat Statistik Kesihatan Nasional untuk mengkaji trend kadar kematian Alzheimer antara tahun 1999 dan 2019 mengikut tahap urbanisasi.

Kulshreshtha dan pasukannya mendapati bahawa dari tahun 1999 hingga 2019, kadar kematian akibat Alzheimer dalam populasi keseluruhan meningkat secara signifikan daripada 16 kepada 30 kematian bagi setiap 100,000 orang, peningkatan sebanyak 88%. Kawasan luar bandar di seluruh Amerika Syarikat menunjukkan kadar kematian yang lebih tinggi akibat Alzheimer berbanding kawasan bandar. Kadar tersebut paling tinggi di kawasan luar bandar di wilayah Timur Tengah-Selatan dengan bilangan 274 kematian bagi setiap 100,000 orang yang berumur 65 tahun dan ke atas, iaitu lebih tiga kali ganda berbanding kawasan bandar di rantau Atlantik Tengah yang mempunyai kadar kematian paling rendah.

"Hasil kajian kami menunjukkan terdapat peningkatan dalam perbezaan kadar kematian Alzheimer antara kawasan bandar dan luar bandar. Perbezaan ini mungkin berkaitan dengan atau mungkin disebabkan oleh perbezaan kesihatan bandar dan luar bandar yang lain termasuk akses kepada penjagaan utama dan perkhidmatan kesihatan yang lain, tahap sosio-ekonomi, masa untuk diagnosis dan peningkatan pada kadar warga tua Amerika yang mendiami kawasan ini," kata Kulshreshtha. "Mengenal pasti dan memahami punca-punca perbezaan kesihatan ini adalah penting bagi memperuntukkan sumber-sumber kesihatan awam dan sosial utama dengan sewajarnya."

Kajian ini sebahagiannya dibiayai oleh Persatuan Alzheimer.

Tentang Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer (AAIC)
Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer (AAIC) ialah perhimpunan penyelidik dari seluruh dunia yang terbesar yang memberi tumpuan kepada penyakit Alzheimer dan penyakit demensia yang lain. Sebagai sebahagian daripada program penyelidikan Persatuan Alzheimer, AAIC berfungsi sebagai pemangkin untuk menjana pengetahuan baharu tentang demensia dan memupuk komuniti penyelidikan yang penting dan bersepadu.
laman utama AAIC 2021: www.alz.org/aaic/
bilik berita AAIC 2021: www.alz.org/aaic/pressroom.asp
tanda pagar AAIC 2021: #AAIC21

Tentang Persatuan Alzheimer
Persatuan Alzheimer menjadi peneraju dalam usaha menyembuhkan penyakit Alzheimer dan semua jenis demensia yang lain — dengan mempercepat penyelidikan global, mendorong pengurangan risiko dan pengesanan awal, serta memaksimumkan penjagaan dan sokongan yang berkualiti. Visi kami adalah dunia tanpa Alzheimer dan kesemua demensia lain. Sila layari alz.org atau hubungi Talian Bantuan 24/7 di 800.272.3900.

  • Emma Nichols, MPH, et al. The estimation of the global prevalence of dementia from 1990-2019 and forecasted prevalence through 2050: An analysis for the Global Burden of Disease (GBD) study 2019. (Pembiaya: Gates Ventures)
  • Stevie Hendriks, MSc, et al. The incidence of young onset dementia: a systematic review and meta-analysis.(Pembiaya: Alzheimer Nederland; Gieskes-Strijbis Foundation; Dutch Knowledge Center on Young-Onset Dementia)
  • Ambar Kulshreshtha, MD, PhD, Alzheimer's Disease Mortality High in Rural Areas in South: 1999-2019. (Pembiaya: Persatuan Alzheimer)

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1579813/Alzheimers_Association_International_Conference_2021_Logo.jpg?p=medium600

Source: Alzheimer’s Association
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Mental Health Publishing/Information Service Senior Citizens Survey, Polls & Research