omniture

Sorotan Daripada Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer 2021

Alzheimer’s Association
2021-07-30 20:06 168

DENVER, 30 Julai 2021 /PRNewswire/ -- Kajian yang dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer® (AAIC®) 2021 menunjukkan bahawa COVID-19 dikaitkan dengan disfungsi kognitif jangka panjang serta mempercepat patologi dan gejala penyakit Alzheimer. Kajian-kajian ini merupakan antara beberapa kajian baharu yang ditampilkan di AAIC 2021.

"Data baharu ini menunjukkan trend menakutkan yang mempamerkan jangkitan COVID-19 membawa kepada kemerosotan kognitif yang berterusan, bahkan juga gejala Alzheimer," kata Heather Snyder, Ph.D., Naib Presiden, Perhubungan Perubatan dan Saintifik Persatuan Alzheimer. "Dengan lebih daripada 190 juta kes dan 4 juta kematian di seluruh dunia, COVID-19 telah membinasakan seluruh dunia. Adalah penting untuk kita terus mengkaji apakah yang virus ini boleh lakukan terhadap badan dan otak kita."

Data baharu lain yang dilaporkan pada AAIC 2021 termasuklah:

  • Meningkatkan kualiti udara boleh mengurangkan risiko demensia.
  • Prevalens demensia di peringkat global dijangka meningkat hampir tiga kali ganda kepada lebih 152 juta orang menjelang tahun 2050.
  • Golongan transgender dan jantina bukan binari dewasa di Amerika Syarikat cenderung melaporkan masalah ingatan dan pemikiran yang semakin buruk, fungsi yang terbatas serta kemurungan berbanding individu cisgender.
  • Komuniti kulit berwarna minoriti yang kurang diwakili dalam sejarah penyelidikan demensia lebih bersedia untuk mengambil bahagian sekiranya mereka dijemput, mahu menyumbang kepada matlamat kajian itu atau mempunyai ahli keluarga yang menghidap demensia.

Dengan kelulusan aducanumab (Aduhelm, Biogen/Eisai) yang dipercepat FDA untuk kemerosotan kognitif ringan (MCI) dan Alzheimer ringan, terdapat tenaga dan minat baharu terhadap rawatan lain dalam perancangan terapeutik Alzheimer/demensia. Laporan-laporan di AAIC 2021 merangkumi data dan analisis baharu tentang ubat anti-amiloid dalam penyelidikan paling canggih donanemab (Eli Lilly) dan lecanemab (Biogen/Eisai) serta pelbagai pendekatan lain termasuk strategi anti-tau, sasaran anti-radang dan ubat perlindungan saraf dan regeneratif.

"Sebagai organisasi kesihatan sukarela yang terkemuka dalam penyelidikan, penjagaan dan sokongan Alzheimer, Persatuan Alzheimer percaya bahawa kita sedang hidup dalam era kemajuan yang baharu. Pada tahun ini di AAIC, kami melihat berpuluh-puluh pendekatan rawatan baharu yang sedang meningkat dalam ujian klinikal," kata Maria C. Carrillo, Ph.D., Ketua Pegawai Sains Persatuan Alzheimer. "Alzheimer ialah penyakit otak yang kompleks dan kemungkinan besar memerlukan pelbagai strategi rawatan yang dapat menangani penyakit tersebut melalui beberapa cara yang berbeza sepanjang kewujudannya. Rawatan-rawatan ini boleh digabungkan menjadi gabungan terapi yang kukuh apabila ia ditemui dan diluluskan."

AAIC ialah forum perdana tahunan untuk membentang dan membincangkan tentang penyelidikan Alzheimer dan demensia terkini. Acara persidangan hibrid pada tahun ini telah berlangsung secara maya dan secara bersemuka di Denver dan menarik lebih 11,000 hadirin serta lebih 3,000 pembentangan saintifik.

COVID-19 Dikaitkan dengan Disfungsi Kognitif Jangka Panjang yang Mempercepat Gejala Alzheimer  Banyak yang telah dipelajari tentang virus SARS-CoV-2 yang menjadi penyebab kepada koronavirus baharu, sejak bermulanya pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, persoalan utamanya adalah mengenai kesan jangka panjang virus tersebut ke atas badan dan otak kita. Data baharu yang dibentangkan di AAIC 2021 dari Greece dan Argentina menunjukkan bahawa orang dewasa yang lebih lanjut usianya mengalami kemerosotan kognitif jangka panjang, termasuk kekurangan deria bau yang berterusan selepas pulih daripada jangkitan SARS-CoV-2.

Data baharu ini merupakan laporan pertama daripada satu konsortium antarabangsa termasuk Persatuan Alzheimer dan pasukan-pasukan dari hampir 40 buah negara — yang mengkaji kesan jangka panjang COVID-19 pada sistem saraf pusat.

Meningkatkan Kualiti Udara Dapat Mengurangkan Risiko Demensia, Berdasarkan Beberapa Kajian
Meningkatkan kualiti udara dapat meningkatkan fungsi kognitif dan mengurangkan risiko demensia, menurut beberapa kajian yang dilaporkan di AAIC 2021. Antara penemuan-penemuan utama adalah:

  • Pengurangan jirim zarahan halus (PM2.5) dan bahan cemar berkaitan dengan trafik (NO2) selama 10 tahun dikaitkan dengan pengurangan sebanyak 14% dan 26%, masing-masing di dalam risiko demensia dan penurunan kognitif yang lebih perlahan pada wanita A.S. yang lebih berusia, berdasarkan hasil daripada Kajian Memori Inisiatif Kesihatan Wanita-Epidemiologi Hasil Kesihatan Kognitif (WHIMS-ECHO).
  • Dalam satu kajian Perancis, pengurangan kepekatan PM2.5 selama lebih 10 tahun dikaitkan dengan 15% pengurangan risiko demensia daripada semua punca dan 17% pengurangan risiko Alzheimer.
  • Pendedahan jangka panjang terhadap bahan cemar udara dikaitkan dengan tahap beta amiloid yang lebih tinggi di dalam kohort A.S. yang besar, menunjukkan kemungkinan hubungan biologi antara kualiti udara dan perubahan fizikal otak yang mentakrifkan penyakit Alzheimer, menurut pasukan dari Universiti Washington.

Kes Demensia Global Dijangka Meningkat Tiga Kali Ganda Menjelang 2050
Trend positif dalam capaian pendidikan global dijangka akan mengurangkan prevalens demensia di seluruh dunia sebanyak 6.2 juta kes menjelang tahun 2050. Sementara itu, trend berlawanan yang dijangka dalam pertambahan tabiat merokok, indeks jisim tubuh yang tinggi dan gula darah tinggi dijangka akan meningkatkan prevalens dengan jumlah yang hampir sama: 6.8 juta kes. Satu pasukan dari Universiti Washington menggunakan unjuran data kesihatan yang dikumpul dan dianalisis oleh konsortium penyelidik di seluruh dunia antara tahun 1990 dan 2019 sebagai sebahagian daripada kajian Beban Penyakit Global. Turut dilaporkan pada AAIC 2021 ialah:

  • Setiap tahun, dianggarkan 350,000 individu menghidap demensia permulaan awal (sebelum usia 65) di seluruh dunia, menurut penyelidik dari Belanda. Untuk memenuhi keperluan perkhidmatan bagi populasi ini, Persatuan Alzheimer telah membantu melancarkan Kajian Longitud Penyakit Permulaan Awal Alzheimer (LEADS) untuk melihat perkembangan penyakit permulaan awal ini.
  • Dari tahun 1999 hingga 2019, kadar kematian di A.S. akibat Alzheimer dalam keseluruhan populasinya meningkat secara signifikan daripada 16 kepada 30 kematian bagi setiap 100,000 orang, iaitu peningkatan sebanyak 88%, menurut penyelidik di Universiti Emory. Di antara kesemua kawasan di A.S., kadar kematian Alzheimer adalah yang tertinggi di kawasan luar bandar di wilayah Timur Selatan-Tengah A.S. dengan kadar kematian akibat Alzheimer berjumlah 274 bagi setiap 100,000 orang yang berumur melebihi 65 tahun. Kadar kematian Alzheimer terendah ditemui di rantau Atlantik Tengah.

Transgender Dewasa Lebih Cenderung Mengalami Penurunan Kognitif Subjektif, Kemurungan   Golongan transgender dan jantina bukan binari dewasa di Amerika Syarikat cenderung melaporkan masalah ingatan dan pemikiran yang semakin buruk, fungsi yang terbatas serta kemurungan berbanding orang dewasa cisgender (bukan transgender), menurut dua kajian yang dilaporkan di AAIC 2021. Penemuan utama merangkumi:

  • Golongan transgender dewasa - individu yang memperkenalkan diri dengan jantina yang berbeza daripada yang ditentukan untuk mereka semasa kelahiran — lebih cenderung untuk melaporkan kekeliruan atau kehilangan ingatan yang semakin teruk (penurunan kognitif subjektif, atau SCD) dan dua kali ganda lebih cenderung untuk melaporkan fungsi yang terbatas yang berkaitan dengan SCD, seperti kemampuan yang berkurangan untuk bekerja, menawarkan khidmat sukarela atau bersosial, menurut penyelidik di Universiti Emory.
  • Prevalens kemurungan jauh lebih tinggi pada golongan transgender dan jantina bukan binari dewasa (individu yang memperkenalkan diri di luar binari lelaki/wanita) (37%) berbanding cisgender dewasa (19.2%), menurut satu pasukan dari Universiti Wisconsin.
  • Tidak banyak yang diketahui tentang demensia dan gangguan kognitif dalam kalangan individu transgender. Walau bagaimanapun, golongan transgender dewasa mengalami lebih banyak gangguan kesihatan yang dianggap sebagai faktor risiko demensia, termasuk penyakit kardiovaskular, kemurungan, diabetes, penggunaan tembakau/alkohol dan obesiti. Ketaksamaan sosial juga memainkan peranan dalam meningkatkan risiko gangguan kognitif.

Menangani Kepelbagaian dalam Ujian Klinikal Alzheimer
Semasa di AAIC 2021, Institut Penuaan Nasional (NIA) iaitu sebahagian daripada Institut Kesihatan Nasional A.S., telah melancarkan alat dalam talian baharu iaitu Outreach Pro, untuk membantu para penyelidik dan klinisian meningkatkan kesedaran dan penyertaan dalam ujian klinikal penyakit Alzheimer dan demensia lain, terutamanya dalam kalangan komuniti yang kurang diwakili. Penemuan penting lain yang dilaporkan buat pertama kali di AAIC 2021 termasuklah:

  • Individu yang kurang diwakili dalam sejarah penyelidikan adalah yang paling bersedia untuk menjalani ujian klinikal secara sukarela sekiranya mereka dijemput untuk mengambil bahagian (85%), mahu menyumbang kepada matlamat penyelidikan (83%) atau mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit tersebut (74%), menurut satu pasukan dari Universiti Wisconsin.
  • Mereka juga mendapati bahawa responden Afrika-Amerika, Sepanyol/Latin dan Orang Asli Amerika lebih cenderung menjadi sukarelawan jika diminta oleh orang yang sebangsa dengannya dan lebih mengambil berat daripada orang Kulit Putih tentang gangguan pada pekerjaan dan tanggungjawab keluarga serta ketersediaan pengangkutan dan penjagaan anak.
  • Kriteria pengecualian ujian klinikal Alzheimer yang biasa digunakan berpotensi untuk mempengaruhi warga Afrika Amerika dan Sepanyol/Latin secara tidak seimbang, yang mungkin berperanan dalam bilangan pendaftaran mereka yang berkurangan dalam penyelidikan, menurut penyelidik NIA.

Tentang Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer (AAIC)
Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer (AAIC) ialah perhimpunan penyelidik terbesar dari seluruh dunia yang memberi tumpuan kepada penyakit Alzheimer dan penyakit demensia yang lain. Sebagai sebahagian daripada program penyelidikan Persatuan Alzheimer, AAIC berfungsi sebagai pemangkin untuk menjana pengetahuan baharu tentang demensia dan memupuk komuniti penyelidikan yang penting dan bersepadu.

Laman utama AAIC 2021: www.alz.org/aaic/ 
bilik berita AAIC 2021: www.alz.org/aaic/pressroom.asp 
tanda pagar AAIC 2021: #AAIC21

Tentang Persatuan Alzheimer
Persatuan Alzheimer ialah sebuah organisasi kesihatan sukarela yang dikhususkan untuk penjagaan, sokongan dan penyelidikan Alzheimer di seluruh dunia. Misi kami adalah untuk menerajui usaha menyembuhkan penyakit Alzheimer dan semua jenis demensia yang lain — dengan mempercepat penyelidikan global, mendorong pengurangan risiko dan pengesanan awal, serta memaksimumkan penjagaan dan sokongan yang berkualiti. Visi kami adalah dunia tanpa Alzheimer dan kesemua demensia lain®. Layari alz.org atau hubungi 800.272.3900.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1579813/Alzheimers_Association_International_Conference_2021_Logo.jpg?p=medium600 

 

Source: Alzheimer’s Association
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries Senior Citizens Survey, Polls & Research