KUALA LUMPUR, Malaysia, 2 Disember 2021 /PRNewswire/ -- DoctorOnCall, platform kesihatan digital pertama dan terbesar di Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama dengan Kumpulan Perubatan Qualitas dalam usaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 kepada penduduk yang masih belum disuntik, termasuk warga asing dan remaja berusia lebih 12 tahun.
Inisiatif tersebut akan menyediakan sistem tempahan dalam talian yang pantas, mudah dan selamat bagi penduduk mendapatkan tempahan vaksinasi dua dos vaksin Sinovac yang disediakan di 77 klinik Qualitas seluruh negara, terutama di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Pulau Pinang.
Penyediaan kemudahan itu membolehkan penduduk membuat tempahan vaksinasi dengan mudah kerana mereka hanya perlu memilih slot yang terdapat di mana-mana klinik Qualitas untuk temujanji seawal 9 pagi sehingga 6 petang.
Program ini juga menyediakan peluang yang lebih luas kepada individu yang mungkin terlepas atau tidak menerima temujanji vaksin dalam aplikasi MySejahtera mereka sebelum ini. Program vaksinasi swasta ini juga merupakan yang pertama memperkenalkan tempahan temujanji vaksinasi dalam talian dengan turut menyediakan dos penggalak vaksin Sinovac.
Sebagai mendokong usaha kerajaan mengurangkan penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat, Qualitas turut menyediakan suntikan vaksin penggalak percuma Pfizer yang dibekalkan kerajaan, di samping vaksin penggalak Sinovac berbayar pada harga RM99 untuk setiap suntikan, bermula dari 1 Disember.
Segala proses kemudahan tempahan dalam talian tersebut dipantau oleh pengamal profesional berpengalaman di DoctorOnCall, termasuk urusan membuat peringatan segera dan perkhidmatan susulan bagi memastikan kelancaran program. Program tersebut juga merupakan sebahagian daripada dasar dan pelan vaksinasi kebangsaan kerana maklumat dan status vaksin penerima suntikan akan dikemaskini dalam MySejahtera sebaik sahaja pelanggan menerima suntikan.
Pada awal tahun ini, DoctorOnCall juga telah menganjurkan program vaksinasi di pusat PPV untuk pekerja asing dan imigran dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Projek tersebut berjaya memberikan suntikan beribu-ribu dos vaksin kepada penerima dengan cepat dan berkesan di sepanjang tempoh kempen yang berjalan dalam masa singkat.
"DoctorOnCall sentiasa berada di hadapan menyokong program imunisasi kerajaan dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dan penduduknya mendapat suntikan vaksinasi COVID-19. Kerjasama ini juga merupakan sebahagian daripada usaha sektor swasta dalam memastikan seluruh penduduk di negara ini divaksin sepenuhnya.
"Kami amat percaya bahawa terdapat keperluan untuk orang ramai diberi kebenaran memilih vaksin pilihan mereka, satu keperluan yang ditetapkan untuk dipenuhi oleh program vaksin swasta. Program ini berfungsi selari dengan Program Imunisasi Kebangsaan untuk membantu penduduk yang masih belum divaksinasi atau yang memerlukan suntikan penggalak," kata Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama DoctorOnCall, Maran Virumandi.
"Kumpulan Perubatan Qualitas pula komited untuk memainkan peranan kami dalam program vaksinasi nasional. Itu adalah antara alasan kenapa kami menawarkan jualan suntikan penggalak vaksin Sinovac untuk masyarakat mudah mendapatkannya. Kami juga memberikan subsidi kepada semua yuran profesional bagi membolehkan harga vaksin di bawah RM100 dan seterusnya membantu negara merealisasikan pengambilan suntikan penggalak yang lebih tinggi.
"Klinik kami di seluruh Malaysia menawarkan dos utama dan penggalak bagi vaksin Sinovac atau Pfizer - kepada sesiapa yang layak. Kami mempunyai rangkaian klinik terbesar di Malaysia yang menawarkan vaksinasi dan dengan memberi orang ramai pilihan vaksin, kami berharap mereka akan menyertai kami dalam usaha memerangi penularan virus itu," kata Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Qualitas Medical Group, Dr Junaidi Ismail.
Kadar pemulihan Malaysia dalam menghadapi penularan pandemik COVID-19 berjalan dengan baik. Walaupun pelaksanaan suntikan vaksin agak terlewat dan terpaksa dilaksanakan secara berperingkat tetapi Malaysia telah berjaya mendapatkan lebih daripada 77.8 peratus daripada jumlah populasi yang telah divaksin (sehingga 1 Disember 2021).
Lanjutan program kepada remaja berumur 12 tahun ke atas juga terbukti berjaya dilaksanakan dengan pesat, dengan semakin ramai remaja mendapat suntikan vaksin sepenuhnya sebelum mereka menyambung semula persekolahan dan aktiviti harian yang lain. Namun begitu, masih terdapat beberapa kekurangan dalam sistem yang menyebabkan 20.8 peratus penduduk masih belum divaksinasi.
Kebanyakan penduduk yang lebih berumur masih ragu-ragu terhadap vaksin. Dengan perkongsian strategik ini, Doctor On Call dan Qualitas berharap dapat menarik perhatian penduduk mengenai pentingnya mendapatkan vaksin dan suntikan penggalak. Mereka kini ditawarkan proses membuat tempahan temu janji yang lebih mudah dan selesa.
Maklumat lanjut, sila layari: https://bit.ly/3ll7LB6
Mengenai DoctorOnCall
DoctorOnCall adalah platform kesihatan digital pertama dan terkemuka di Malaysia dan laman web kami telah dikunjungi seramai 2 juta rakyat Malaysia untuk perundingan telekesihatan, farmasi dalam talian, penghantaran ubat, kandungan kesihatan, dan perkhidmatan tempahan doktor dan doktor pakar. Sejak ditubuhkan pada tahun 2016, DoctorOnCall telah menjalin kerjasama dengan syarikat insurans utama, agensi pihak ketiga, hospital, farmasi dan syarikat perusahaan. Antaranya termasuk Prudential, Zurich, Allianz, Great Eastern, Caring Pharmacy, TMC Life Sciences dan Columbia Asia Hospital. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.doctoroncall.com.my/
Mengenai Kumpulan Perubatan Qualitas
Dengan rekod prestasi lebih 20 tahun dalam penjagaan kesihatan utama, Kumpulan Perubatan Qualitas telah berjaya membuktikan kedudukan mereka yang strategik di Malaysia, Singapura dan Australia dengan dibarisi para doktor, pengurus dan kakitangan penjagaan kesihatan yang berpengalaman. Perkhidmatan penjagaan kesihatan utamanya yang komprehensif menawarkan platform serantau untuk meningkatkan penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada semua. Qualitas Health Malaysia memiliki dan menguruskan 146 klinik dan pusat penjagaan utama di hampir setiap negeri di negara ini.
Untuk maklumat lanjut. sila layari https://qualitashealth.com.my/