JAKARTA, Indonesia, 8 Mac 2022 /PRNewswire/ -- East Ventures, sebuah firma modal teroka agnostik-sektor perintis bagi pelaburan dalam syarikat pemula teknologi dan yang paling aktif di Indonesia, bersama Katadata Insight Center dan PwC Indonesia melancarkan East Ventures - Indeks Daya Saing Digital 2022 (EV-DCI 2022). Laporan kajian EV-DCI 2022 membentangkan pengukuran daya saing digital Indonesia dengan tema "Menuju Era Keemasan Digital Indonesia."
"Kami berbesar hati kerana sekali lagi dapat membentangkan EV-DCI 2022. Tahun ini, Indonesia mengalami ekonomi digital yang semakin berkembang dan daya saing digital yang semakin meningkat. Kami berharap agar melalui laporan tahunan EV-DCI, East Ventures telah menyediakan maklumat yang mendalam kepada semua pihak berkepentingan dalam mengukuhkan sektor digital agar daya saing digital dapat diagihkan dengan lebih sama rata di Indonesia," kata Willson Cuaca, Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan East Ventures.
EV-DCI 2022 membentangkan data mengenai daya saing digital di 34 wilayah dan 25 bandar/daerah di Indonesia. Daya saing digital di wilayah-wilayah di Indonesia terus menunjukkan trend yang positif. Ini dapat dilihat melalui skor EV-DCI 2022 iaitu 35.2 yang telah meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu 32.1 (2021) dan 2 tahun sebelumnya, iaitu 27.9 (2020).
Panel pakar daripada Katadata Insight Center, Mulya Amri, berkata bahawa peningkatan daya saing digital turut dialami di banyak wilayah di luar Jawa. "Walaupun kedudukan 10 teratas dengan skor EV-DCI tertinggi masih diduduki oleh wilayah-wilayah di Jawa dan Bali, wilayah-wilayah lain terus menunjukkan peningkatan yang cukup bagus dalam daya saing digital" kata Mulya Amri.
Pengurangan jurang daya saing digital juga dapat dilihat daripada nilai spread yang lebih kecil. Nilai spread atau perbezaan antara skor wilayah tertinggi (DKI Jakarta 73.2) dan terendah (Papua 24.9) untuk EV-DCI 2022 ialah 48.3, sementara pada tahun 2021 dan 2020 nilai masing-masing ialah 55.6 dan 61.9. "Nilai spread yang lebih kecil menunjukkan peningkatan dalam daya saing digital wilayah-wilayah dalam kedudukan pertengahan dan bawahan," kata Mulya.
Laporan EV-DCI 2022 turut dilengkapi dengan keputusan daripada tinjauan terhadap 71 syarikat digital, analisis 8 sektor serta perspektif daripada 18 tokoh. Perspektif ini merangkumi penggubal dasar dalam sektor kerajaan termasuk Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Menteri untuk Perusahaan Milik Negara (BUMN), Menteri Kesihatan dan lain-lain. Di samping itu, perspektif ini turut melibatkan pengasas syarikat pemula seperti Ketua Pegawai Eksekutif GoTo, Ketua Pegawai Eksekutif Xendit, Presiden Traveloka dan sebagainya.
Dalam satu temu bual khas, beberapa perspektif mengukuhkan potensi Indonesia ke arah era keemasan digital. Tokoh-tokoh ini menegaskan langkah dan strategi yang diambil oleh mereka berhubung dengan penambahbaikan ekonomi digital.
Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto, berkata bahawa pendigitalan dapat memberi nilai tambahnya sendiri dalam pelbagai bidang. "Pemecutan pendigitan ekonomi, mewujudkan peluang yang sama rata dan pelbagai serta menggalakkan peluang dan produktiviti untuk menjana nilai tambahan," kata Airlangga.
Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan berkata bahawa kecekapan dapat dicapai dengan mendigitalkan sistem kerajaan. "Kerajaan menyasarkan sistem yang lebih cekap dan salah satu cara untuk mencapai sistem ini adalah dengan melaksanakan pendigitalan. Dengan pendigitalan segala-galanya akan dihubungkan, korupsi akan dikurangkan, kecekapan akan menjadi lebih baik dan kami akan menjadi lebih kompetitif," kata Luhut.
Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin berkata bahawa penyeragaman data yang dijalankan oleh pendigitalan dapat menggalakkan pewujudan ekonomi digital dalam sektor kesihatan. "Dengan menyeragamkan data kesihatan, ia dapat disepadukan ke dalam platform, sama ada dalam ubat-ubatan, vaksinasi, hospital, makmal. Harapan kami adalah agar syarikat pemula dapat membangun dan menggunakan platform ini," kata Budi.
MENUJU ERA KEEMASAN DIGITAL INDONESIA
Pertumbuhan ekonomi digital tidak dapat dipisahkan daripada peranan pihak berkepentingan dalam sektor-sektor. Transformasi digital sedang membangun dan menyumbang kepada sektor-sektor penting yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti harian seperti logistik, teknologi kewangan, teknologi pendidikan dan teknologi kesihatan. Transformasi digital juga telah berlaku lebih awal seperti dalam sektor pelancongan dan e-dagang.
Komitmen kerajaan untuk menyokong pertumbuhan dan kesaksamaan ekonomi digital turut dijelaskan melalui beberapa temu bual yang dijalankan dalam penyediaan laporan ini. Luhut berkata bahawa pendigitalan telah mula diaplikasikan secara meluas dalam kerajaan, satu contoh ialah perolehan barangan dan perkhidmatan kerajaan dengan sistem e-katalog.
Selain daripada itu, Budi turut menjelaskan bahawa pengendalian dan pemantauan COVID-19 di Indonesia turut menggunakan pendigitalan. Aplikasi PeduliLindungi dan pelbagai perkhidmatan kesihatan daripada Kementerian Kesihatan boleh dicapai melalui teleperubatan dan secara dalam talian.
Strategi yang tepat untuk mencapai era keemasan digital di Indonesia dapat digambarkan oleh bentuk sebuah rumah. Infrastruktur Teknologi, Maklumat dan Komunikasi (ICT) merupakan tapak asas yang diperlukan merentas sektor-sektor dan institusi-institusi. Pengukuhan infrastruktur ICT mengupayakan pendigitalan dalam pelbagai aspek, seterusnya mempercepatkan pewujudan kerajaan digital, masyarakat digital dan perniagaan digital. Aspek-aspek ini juga perlu diperkukuhkan dengan mengamalkan prinsip-prinsip mampan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi digital jangka panjang.
"Menuju Era Keemasan Digital Indonesia, terdapat lima aspek yang perlu dipertimbangkan. Mempercepatkan pembangunan infrastruktur ICT dapat memudahkan pertumbuhan ekonomi digital yang lebih saksama, mewujudkan tadbir urus digital yang memfokuskan kepada kecekapan dan ketelusan, membangunkan keupayaan bakat digital melalui penambahbaikan sistem dan kemahiran pendidikan, memfokuskan untuk meningkatkan penerimaan teknologi digital dalam pelbagai sektor dan mengamalkan prinsip-prinsip kemampanan bagi mencapai era keemasan ekonomi digital," kata Radju Munusamy, Rakan Kongsi PwC Indonesia.
"East Ventures percaya bahawa mempercepatkan penerimaan pendidigtalan adalah amat penting untuk membina ekosistem digital yang lebih mantap. Walau bagaimanapun, ini hanya dapat dicapai apabila semua pihak berkepentingan bekerjasama untuk mencapainya. East Ventures komited untuk terus menyokong pembangunan ekonomi digital dan membuka jalan untuk era keemasan digital di Indonesia," tambah Willson Cuaca.
PENINGKATAN SKOR TONGGAK INFRASTRUKTUR APABILA JURANG DAYA SAING DIGITAL BERKURANGAN
EV-DCI merupakan pemetaan daya saing digital serantau yang dibentuk daripada tiga sub-indeks, sembilan tonggak dan 50 penunjuk. Sub-indeks konstituennya ialah input, output dan sokongan, dengan tonggak sumber manusia, penggunaan ICT, perbelanjaan ICT, ekonomi, keusahawanan dan produktiviti, guna tenaga, infrastruktur, kewangan serta peraturan dan kapasiti kerajaan tempatan.
Wilayah dengan skor EV-DCI 2022 yang tertinggi masih dipegang oleh DKI Jakarta dengan skor 73.2. Sementara itu, tempat kedua dan ketiga diduduki oleh Jawa Barat dan DI Yogyakarta dengan skor 58.5 dan 49.2. Di samping itu, Kalimantan Timur merupakan salah satu wilayah di luar Jawa yang berjaya menduduki tempat 10 teratas iaitu di tempat ke-7 dengan peningkatan skor 4.5, dengan skor EV-DCI 2022 mencecah 44.0.
Selain daripada Kalimantan Timur, beberapa wilayah di luar Jawa mengalami peningkatan yang cukup bagus dari segi daya saing digital. Sebagai contoh, Bengkulu mengalami peningkatan tertinggi dalam skor 2022 EV-DCI berbanding tahun sebelumnya iaitu 7.8 mata, kepada 39.1. Peningkatan skor ini membuatkan kedudukan Bengkulu turut meningkat 7 anak tangga untuk menduduki tempat ke-12. Papua Barat dan Lampung turut mengalami peningkatan daya saing digital yang signifikan, masing-masing meningkat 11 anak tangga untuk menduduki tempat ke-19 dan enam anak tangga untuk menduduki tempat ke-20.
Tonggak infrastruktur yang merupakan tonggak tertinggi dalam tahun sebelumnya, turut mengalami peningkatan dalam skor untuk EV-DCI 2022. Dalam EV-DCI 2022, tonggak ini meningkat sebanyak 10.5 mata kepada 64.8. Spread pada tonggak infrastruktur turut mengecil sebanyak 8.3 mata atau mencecah 79.0 pada tahun ini, berbanding spread pada tahun sebelumnya iaitu 87.3 mata.
Pengurangan jurang daya saing digital dalam bidang-bidang ini juga diperlihatkan oleh peningkatan dalam skor tonggak keusahawanan dan produktiviti. Tonggak ini meningkat sebanyak 10.1 mata kepada skor 23.6 dalam EV-DCI 2022. Di samping itu, peraturan dan tonggak kapasiti kerajaan tempatan turut meningkat sebanyak 19.1 mata kepada 54.6 pada tahun ini.
Laporan EV-DCI 2022 boleh dimuat turun di www.east.vc/DCI.
Latar Belakang East Ventures
East Ventures ialah sebuah firma modal teroka agnostik-sektor perintis dan terkemuka yang beribu pejabat di Singapura. Ditubuhkan pada tahun 2009, East Ventures telah berubah menjadi platform holistik yang menyediakan pelaburan pelbagai peringkat termasuk Benih dan Pertumbuhan untuk lebih 200 syarikat di Asia Tenggara.
Syarikat yang percaya di peringkat awal mengenai ekosistem syarikat pemula di Indonesia, East Ventures merupakan pelabur pertama dalam syarikat-syarikat unikorn Indonesia, iaitu Tokopedia dan Traveloka. Syarikat-syarikat terkemuka yang lain dalam portfolio ini termasuk Ruangguru, SIRCLO, Kudo (diperoleh oleh Grab), Loket (diperoleh oleh Gojek), Tech in Asia, Xendit, IDN Media, MokaPOS (diperoleh oleh Gojek), ShopBack, KoinWorks, Waresix dan Sociolla.
East Ventures dinamakan sebagai dana modal teroka (VC) berprestasi terunggul yang paling konsisten di seluruh dunia oleh Preqin dan pelabur yang paling aktif di SEA dan Indonesia oleh pelbagai media.