omniture

CoachHub Kumpul $200J Pusingan Siri C, Dipimpin oleh Sofina dan SoftBank Vision Fund 2 untuk Demokrasikan Kejurulatihan Seluruh Dunia

CoachHub
2022-06-15 08:25 160

Perintis kejurulatihan global memperoleh dana untuk mempercepatkan kebangkitan kejurulatihan di serata dunia.

SINGAPURA, 15 Jun 2022 /PRNewswire/ -- CoachHub, platform kejurulatihan digital global yang terkemuka, menutup pusingan pendanaan Siri C bernilai $200J, dipimpin oleh Sofina dan SoftBank Vision Fund 2. Pusingan berkenaan akan digunakan untuk meningkatkan inovasi produk dan operasi CoachHub selanjutnya dan dalam masa yang sama mempercepatkan pengembangan global syarikat. Susulan pusingan $80J hanya lapan bulan yang lalu, Siri C ini menjadikan jumlah dana syarikat yang tertubuh selama tiga tahun ini kepada $330J. Selain daripada Sofina dan SoftBank Vision Fund 2, pelabur-pelabur sedia ada iaitu Molten Ventures, Silicon Valley Bank/SVBCapital, HV Capital, Signals Venture Capital dan Speedinvest turut mengambil bahagian dalam pusingan berkenaan.

Pusingan pelaburan pertumbuhan yang signikan itu memberi penghormatan kepada daya tarikan cemerlang dan kedudukan pasaran global CoachHub. Pusingan pelaburan ini berlaku tatkala industri pembelajaran korporat mengalami transformasi yang pesat dan segmen kejurulatihan digital pula dijangka berkembang sehingga 100 kali ganda, lalu menyebabkan kebanyakan organisasi utama berusaha untuk melaksanakan kejurulatihan digital secara meluas menjelang hujung dekad ini.

Yanni Pipilis, Rakan Pengurusan di SoftBank Investment Advisers berkata, "Sektor Pembelajaran dan Pembangunan menyaksikan trend sekular yang mantap ke arah pendigitan dan pemperibadian perkhidmatan. Platform digital CoachHub menyasarkan untuk menyediakan pengalaman kejurulatihan yang disesuaikan kepada pekerja pada semua peringkat untuk membantu memajukan kerjaya mereka. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Yannis dan pasukan CoachHub untuk menyokong misi pendemokrasian kejurulatihan mereka."

Sebilangan besar (77%) ahli profesional pembelajaran dan pembangunan merasakan kini terdapat keperluan yang lebih besar untuk melatih dan membangunkan pekerja berbanding sebelum pandemik COVID-19, menurut Tinjauan HR Global CoachHub yang terkini. Kejurulatihan memainkan peranan penting dalam strategi-strategi pembangunan individu dan kini lebih mudah dicapai berbanding sebelum ini dengan platform digital CoachHub yang mudah dan tidak bergantung kepada lokasi.

"Ketika tempat kerja terus beradaptasi dengan kebiasaan model hibrid dan jarak jauh yang baharu, pemimpin-pemimpin memerlukan sokongan individu dan penyelesaian untuk meningkatkan prestasi, penglibatan dan motivasi pekerja di samping menjadikan kesejahteraan sebagai keutamaan," kata Matti Niebelschuetz, Pengasas Bersama CoachHub. "Kejurulatihan digital menawarkan faedah-faedah ini dan banyak lagi, menghasilkan permintaan global yang melonjak untuk perkhidmatan CoachHub."

Disediakan oleh CoachHub kepada pekerja pada semua peringkat kerjaya – bukan sahaja eksekutif peringkat kanan – kejurulatihan meningkatkan kemahiran kepimpinan, meningkatkan prestasi kerja dan akhirnya membina tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan lebih produktif. Melalui aplikasi berasaskan web dan mudah alih, platform kejurulatihan digital hujung-ke-hujung yang revolusioner memadankan pelajar kepada kumpulan dengan lebih daripada 3,500 jurulatih perniagaan bertauliah yang bertutur lebih daripada 60 bahasa dan menetap di 90 negara, merentas kesemua zon waktu. Aplikasi tersebut menggandingkan kecerdasan manusia dengan teknologi kecerdasan buatan untuk memadankan pekerja dengan jurulatih ideal mereka dan menyusun atur pustaka kandungan yang meningkatkan perjalanan pembelajaran mereka.

Sejak penubuhannya tiga tahun lalu, CoachHub telah berkembang dengan pesat. Pusingan pendanaan yang terkini ini akan mendorong pengembangan yang selanjutnya dengan penekanan khusus ke atas Amerika Syarikat. Syarikat ini merancang untuk menambah bilangan pekerjanya daripada 850 pekerja seluruh dunia kepada lebih daripada 1,000 pekerja menjelang akhir tahun ini. Syarikat ini menawarkan perkhidmatan kepada ekonomi-ekonomi global yang paling utama dan bekerjasama dengan perusahaan-perusahaan multinasional besar seperti Coca-Cola, Danone, Toyota, LVMH, L'Oréal, Credit Suisse dan Twitter.

CoachHub disokong oleh lebih daripada 150 jurutera produk dan Makmal Kejurulatihan (Coaching Lab) dalaman bertaraf dunia yang menggaji sepasukan dengan 30 saintis tingkah laku terkemuka dan diketuai oleh Prof. Dr. Jonathan Passmore, ahli psikologi profesional ternama dan penyelidik kejurulatihan. CoachHub Science Council ialah pasukan pakar dan pendidik sains tingkah laku antarabangsa yang membantu mendorong penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk syarikat ini dengan menukarkan bukti saintifik kepada tawaran kejurulatihan digital berasaskan sains. Syarikat ini turut mengekalkan perkongsian yang strategik bersama organisasi-organisasi terkenal seperti EMCC Global.

"Kami percaya kejurulatihan 1:1 akan terus menjadi salah satu cara yang paling berkesan untuk meningkatkan kemahiran sosio-emosi dan kepimpinan yang diperlukan untuk berkembang maju di tempat kerja yang semakin rumit dan berkembang pesat. Sebagai sebuah syarikat yang berusaha untuk mendemokrasikan akses kepada kejurulatihan yang berkualiti, misi CoachHub seiring dengan strategi Pelaburan Bertanggungjawab kami. Kami tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan mereka bagi memajukan cita-cita global mereka," kata Harold Boël, Ketua Pegawai Eksekutif, Sofina.

Pusingan pendanaan ini berlaku susulan pengembangan CoachHub ke dalam pasaran Asia serta pemerolehan platform kejurulatihan Perancis yang terkemuka MoovOne serta penyedia Austria yang terkemuka Klaiton Coaching, seterusnya meningkatkan kedudukan CoachHub menjadi peneraju kategori global.

Latar Belakang CoachHub 

CoachHub  ialah platform pembangunan bakat global terkemuka yang membolehkan organisasi-organisasi mencipta program kejurulatihan yang diperibadikan, boleh diukur dan boleh diskala untuk seluruh tenaga kerja, tanpa mengira jabatan dan tahap kekananan. Dengan berbuat demikian, organisasi-organisasi mampu meraih pelbagai faedah termasuk peningkatan penglibatan pekerja, tahap produktiviti yang lebih tinggi, prestasi kerja yang lebih baik dan peningkatan pengekalan. Kumpulan jurulatih global CoachHub terdiri daripada lebih 3,500 jurulatih perniagaan bertauliah di 90 negara merentas enam benua dengan sesi-sesi kejurulatihan tersedia dalam lebih 60 bahasa untuk menawarkan perkhidmatan kepada lebih daripada 500 pelanggan. Program-program kami adalah berdasarkan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) termaju daripada Makmal Kejurulatihan kami, dipimpin oleh Prof. Jonathan Passmore serta Lembaga Saintifik kami. CoachHub disokong oleh pelabur-pelabur teknologi yang terkemuka, termasuk Sofina, SoftBank Vision Fund 2, Molten, Silicon Valley Bank, HV Capital, Partech, Signals Venture Capital dan Speedinvest. Pada September 2021, CoachHub memperoleh perintis kejurulatihan digital Perancis MoovOne dan pada Februari 2022, bahagian kejurulatihan Klaiton di Austria, untuk membina jaguh global yang memfokuskan kepada pendemokrasian kejurulatihan.

Latar Belakang Sofina

Sofina ialah sebuah syarikat pelaburan yang dikawal dan dikendalikan oleh keluarga yang disenaraikan di Euronext Brussels, mengurus aset-asetnya sendiri bernilai kira-kira €11 bilion. Sofina beraspirasi untuk menjadi rakan kongsi pilihan usahawan dan keluarga yang memimpin syarikat-syarikat yang semakin berkembang dengan menyokong mereka menerusi modal jangka panjang dan nasihat sokongan. Visi yang sama dan penyelarasan kepentingan yang mantap bersama rakan-rakan kongsinya adalah sangat penting dalam pelaksanaan strategi mampannya. Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.sofinagroup.com.

 

Source: CoachHub
Keywords: Banking/Financial Service