omniture

Pasport Paling Berkuasa di Dunia mempunyai Kebebasan Perjalanan yang Paling Kurang

Henley & Partners
2022-07-19 17:42 42

 

LONDON, 19 Julai 2022 /PRNewswire/ -- Para pemegang pasport dengan akses global paling luas kini merupakan yang paling terbatas dan keberatan untuk menikmati kebebasan perjalanan mereka, menurut maklumat terkini daripada Indeks Pasport Henley berdasarkan data eksklusif dan rasmi daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). Jepun menduduki tempat pertama dalam indeks tersebut — di mana kedudukan asal semua pasport dunia adalah mengikut bilangan destinasi yang boleh diakses tanpa perlu memohon visa terlebih dahulu — dengan skor tertinggi 193 bagi akses tanpa visa atau visa semasa ketibaan, manakala Singapura dan Korea Selatan berada di tempat ke-2, dengan skor sebanyak 192.

Walaupun rekod baharu dicapai dari segi bilangan akses yang diberikan kepada rakyat ketiga-tiga buah negara ini sepanjang sejarah indeks tersebut selama 17 tahun, namun permintaan penumpang antarabangsa di rantau Asia Pasifik hanya mencapai 17% daripada permintaan sebelum Covid berdasarkan statistik terkini IATA, dengan peningkatan kurang daripada 10% bagi kebanyakan waktu sepanjang dua tahun yang lalu. Angka ini ketinggalan jauh di belakang trend global di mana pasaran di Eropah dan Amerika Utara telah pulih sekitar 60% daripada tahap mobiliti perjalanan sebelum krisis. Mengulas dalam Laporan Mobiliti Global Henley S3 2022, Dr. Marie Owens Thomsen, Ketua Pakar Ekonomi IATA menyatakan bahawa bilangan penumpang seharusnya mencapai 83% daripada tahap sebelum pandemik pada tahun 2022: "Menjelang tahun hadapan, kebanyakan pasaran akan menyaksikan trafik mencapai atau melebihi tahap sebelum pandemik, manakala pada tahun 2024, kami menjangkakan situasi ini akan berlaku kepada seluruh industri."

Negara anggota EU mendominasi baki 10 tempat teratas bagi kedudukan terkini dengan Jerman dan Sepanyol di tempat ke-3, dengan akses kepada 190 destinasi tanpa visa. Finland, Itali dan Luxembourg sama-sama menyusul rapat pada kedudukan ke-4 dengan 189 destinasi manakala Denmark, Belanda dan Sweden berkongsi tempat ke-5 yang membolehkan pemegang pasport mereka melakukan perjalanan ke 188 destinasi di seluruh dunia tanpa visa. UK dan AS masing-masing turun satu kedudukan ke tempat ke-6 dan ke-7, manakala Afghanistan kekal di kedudukan terendah dalam indeks tersebut, dengan rakyatnya hanya dapat mengakses 27 destinasi di seluruh dunia tanpa visa. Jurang mobiliti global antara pasport paling berkuasa dengan pasport paling kurang berkuasa di dunia pada masa ini ialah sebanyak 166 destinasi dan ini julung-julung kali terjadi.

Kecamuk perjalanan musim panas 

Ketika kecamuk perjalanan di AS mula reda berikutan cuti hujung minggu Hari Kemerdekaan negara tersebut pada bulan Julai, masalah kekurangan kakitangan dan isu-isu lain memaksa syarikat penerbangan di seluruh Eropah untuk membatalkan beribu-ribu penerbangan, menyebabkan ramai penumpang beratur selama berjam-jam di lapangan terbang utama. Malah Lapangan Terbang Heathrow telah mengarahkan syarikat penerbangan untuk menghentikan penjualan tiket musim panas berikutan lapangan terbang terbesar di UK ini terpaksa berhempas-pulas untuk menangani peningkatan semula dalam perjalanan udara.

Dr. Christian H. Kaelin, Pengerusi Henley & Partners dan pencipta konsep indeks pasport tersebut mengulas bahawa lonjakan permintaan baru-baru ini tidaklah mengejutkan: "Keputusan terkini ini adalah tanda-tanda positif tentang keinginan manusia untuk saling berhubung di seluruh dunia walaupun terdapat sesetengah negara yang beralih ke arah dasar pemencilan dan autarki. Kesan pandemik yang mengejutkan ini belum pernah disaksikan sepanjang hayat kita, dan pemulihan, kebangkitan semula kebebasan perjalanan serta naluri semula jadi kita untuk bergerak dan berhijrah akan mengambil masa."

UAE jelas merupakan pemenang era pandemik

Sepanjang tempoh gejolak pandemik dua tahun yang lalu, terdapat satu fakta yang kekal stabil: iaitu kekuatan pasport UAE yang semakin meningkat, yang kini berada di tempat ke-15 pada kedudukan indeks dengan skor 176 bagi akses tanpa visa atau visa semasa ketibaan. Sepanjang satu dekad yang lalu, negara ini telah mencapai kejayaan yang tiada tandingan sebagai pendaki tertinggi dalam indeks tersebut — pada tahun 2012, ia berada di tempat ke-64 pada kedudukan indeks, dengan skor yang hanya sebanyak 106. Seperti yang ditunjukkan oleh Papan Pemuka Migrasi Kekayaan Persendirian Henley yang terkini, UAE turut menjadi tumpuan dengan minat yang tinggi dalam kalangan para pelabur mewah dan dijangka menyaksikan kemasukan bersih tertinggi bagi Individu Bernilai Tinggi Bersih (HNWI) seluruh dunia pada tahun 2022, dengan ramalan peningkatan bersih seramai 4,000 orang — satu peningkatan dramatik sebanyak 208% berbanding aliran masuk bersih pada tahun 2019, iaitu seramai 1,300 orang dan merupakan salah satu bilangan paling ramai yang pernah direkodkan.

Negara-negara aman mempunyai pasport yang lebih berkuasa

Penyelidikan unik yang dijalankan oleh Henley & Partners yang membandingkan akses tanpa visa sesebuah negara dengan skor Indeks Keamanan Globalnya menunjukkan satu korelasi yang kukuh antara kuasa pasport negara dan keamanannya. Semua negara yang berada pada kedudukan sepuluh teratas Indeks Pasport Henley juga boleh didapati berada pada kedudukan sepuluh teratas indeks Keamanan Global. Begitu juga negara-negara yang berada pada kedudukan terbawah.

Mengulas tentang keputusan dalam Laporan Mobiliti Global Henley S3 2022, Stephen Klimczuk-Massion, Felow Quondam dari Sekolah Perniagaan Saïd Universiti Oxford, berkata: "Pasport anda adalah lebih daripada sekadar kad identiti, dan bergantung pada pasport yang anda miliki serta destinasi yang dituju, ia akan memberi kesan kepada jenis sambutan yang akan diterima, ke mana anda boleh pergi dan sejauh mana keselamatan anda dijamin apabila anda tiba di destinasi tersebut. Kini, anda silap jika anda menganggap bahawa pasport hanyalah dokumen perjalanan yang membolehkan anda bergerak dari destinasi A ke B. Kekuatan atau kelemahan relatif bagi sesebuah pasport negara tertentu secara langsung mempengaruhi kualiti kehidupan pemegang pasport tersebut, bahkan dalam sesetengah keadaan, ia mungkin melibatkan hal berkaitan hidup dan mati."

Baca Siaran Penuh 

 

Source: Henley & Partners
Keywords: Banking/Financial Service Passenger Aviation