omniture

2022 Yidan Prize - anugerah tertinggi di dunia dalam pendidikan - dianugerahkan kepada Dr Linda Darling-Hammond dan Profesor Yongxin Zhu

Yidan Prize Foundation
2022-09-29 09:01 103

HONG KONG, 29 September 2022 /PRNewswire/ -- Yidan Prize Foundation menganugerahi Dr Linda Darling-Hammond dan Profesor Yongxin Zhu dengan 2022 Yidan Prize, anugerah pendidikan yang tertinggi di dunia. Anugerah berkenaan mengiktiraf hasil usaha mereka yang inovatif dalam memperkasa pendidik dan menggalakkan akses yang inklusif dan saksama kepada pendidikan, bagi memastikan setiap pelajar dapat mencapai potensi penuh mereka.

Dr Linda Darling-Hammond (kiri), Penerima Hadiah Yidan Prize untuk Penyelidikan Pendidikan 2022 dan Profesor Yongxin Zhu (kanan), Penerima Hadiah Yidan Prize untuk Pembangunan Pendidikan 2022
Dr Linda Darling-Hammond (kiri), Penerima Hadiah Yidan Prize untuk Penyelidikan Pendidikan 2022 dan Profesor Yongxin Zhu (kanan), Penerima Hadiah Yidan Prize untuk Pembangunan Pendidikan 2022

Ditubuhkan pada tahun 2016, Yidan Prize Foundation mempunyai misi untuk mencipta dunia yang lebih baik melalui pendidikan. Mengikuti proses penghakiman bebas yang ketat, Dr Linda Darling-Hammond dan Profesor Yongxin Zhu masing-masing menerima 2022 Yidan Prize untuk Kajian Pendidikan dan 2022 Yidan Prize untuk Pembangunan Pendidikan.

"Kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada penerima-penerima hadiah 2022 Yidan Prize kami, Dr Linda Darling-Hammond dan Profesor Yongxin Zhu. Mereka berdua memainkan peranan penting dalam memperkasa guru dan belia kami dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam abad ke-21. Hasil usaha mereka jelas menunjukkan impak transformatif yang diberikan oleh guru kepada pelajar mereka. Apabila pelajar pula mendapat guru yang hebat, mereka mempunyai peluang yang besar," kata En. Edward Ma, Ketua Setiausaha Yidan Prize Foundation.

Mengiktiraf kecemerlangan untuk mencetuskan perubahan sebenar yang boleh diskala dalam bidang pendidikan 

Dr Linda Darling-Hammond, Profesor Emeritus Pendidikan Charles E. Ducommun, Stanford University, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Learning Policy Institute, dianugerahkan 2022 Yidan Prize untuk Kajian Pendidikan atas hasil usaha beliau dalam membentuk dasar dan amalan pendidikan berkisarkan kaedah yang paling saksama dan berkesan untuk mengajar dan belajar. Kajian beliau mendedahkan pelbagai cara kanak-kanak belajar dan bagaimana cara yang terbaik untuk mendidik mereka—dan menyalurkan pandangan berkenaan ke dalam program pembangunan pendidik yang mantap dan mentransformasikan sekolah-sekolah yang menyokong para guru secara holistik untuk mengubah kehidupan kanak-kanak.

"Dengan dorongan yang tidak berbelah bahagi untuk melihat setiap pelajar mencapai potensi penuh mereka, tanpa mengira latar belakang sosial, jantina dan geografi mereka, Linda menghabiskan hidup beliau dengan membina alat kajian yang menyokong dasar dan amalan untuk mencipta peluang pendidikan yang lebih baik dan lebih adil. Pengaruh beliau ke atas dasar awam membantu penggubal dasar membentuk perubahan yang positif untuk kanak-kanak pada skala besar," kata En. Andreas Schleicher, ketua panel penghakiman Yidan Prize untuk Kajian Pendidikan serta pengarah untuk Directorate of Education and Skills OECD.

Menerusi dana Yidan Prize, Linda akan mempertingkatkan hasil usaha kritikal beliau di Educator Preparation Laboratory (EdPrepLab): jaringan yang memfokuskan untuk menyokong program persediaan guru bertumpukan pelajar, berfokuskan kesaksamaan, yang berteraskan sains pembelajaran dan pembangunan serta mempersiapkan guru untuk membantu semua pelajar belajar dengan cara yang diperkasa. Beliau akan meluaskan jangkauan EdPrepLab, menambah program baharu, melabur dalam kajian baharu tentang program yang berkesan, serta mewujudkan ruang yang membolehkan pendidik, penyelidik dan penggubal dasar berkongsi dan belajar daripada satu sama lain dengan mudah.

Profesor Yongxin Zhu, Pengasas, New Education Initiative (NEI) dan Profesor, Sekolah Pendidikan, Soochow University, dianugerahkan 2022 Yidan Prize untuk Pembangunan Pendidikan atas hasil usaha beliau meningkatkan kualiti pengajaran dan mentrasformasikan hasil pembelajaran di China. Program-program NEI beliau menyokong kesejahteraan dan pembangunan para guru, mendekati lebih 8,300 sekolah, lebih 500,000 guru dan 8 juta pelajar di seluruh China—lebih separuh daripadanya berada di kawasan luar bandar dan terpencil. Dengan membawakan seluruh komuniti pelajar bersama-sama, NEI mentransformasikan persekitaran rumah menjadi ruang pembelajaran yang positif serta memupuk pendekatan kolaboratif terhadap pembelajaran. Para guru, pelajar dan keluarga saling bekerjasama ke arah mencapai matlamat pembelajaran yang jelas, memperdalam hasil pendidikan melangkaui tumpuan ke atas pengajaran-untuk-menguji dan peperiksaan.

"Profesor Zhu berjaya menangani beberapa cabaran yang paling sukar diatasi dalam bidang pendidikan: meningkatkan kesaksamaan dan keterangkuman. Hasil usaha beliau menggalakkan penghargaan kepada nilai pembelajaran untuk pertumbuhan peribadi dengan menambah baik kaedah membaca, menulis dan berkomunikasi. Beliau telah berjaya mengubah secara beransur-ansur bagaimana para guru mendekati pembangunan profesional dan bagaimana pelajar belajar di bilik darjah dan di rumah. Mungkin yang paling penting, beliau mengingatkan kepada kita tentang kepentingan kegembiraan dan kesejahteraan untuk setiap pelajar," kata Dorothy K. Gordon, ketua panel penghakiman Yidan Prize untuk Pembangunan Pendidikan dan Ahli Lembaga UNESCO Institute for Information Technologies in Education.

Profesor Yongxin Zhu merancang untuk menggunakan dana Yidan Prize bagi meluaskan jangkauan NEI di kawasan pedalaman yang terpencil di China dan membangunkan hab pembelajaran berasaskan awan, meningkatkan kualiti pendidikan dan menyediakan akses yang inklusif dan saksama kepada pendidikan untuk semua pelajar.

"Yidan Prize memperjuangkan idea yang paling inovatif dalam pendidikan dan membantu meluaskannya agar seramai mungkin orang dapat mendapat manfaatnya. Justeru itu, para penerima hadiah kami penting untuk mentransformasikan pendidikan di seluruh dunia—dan melaluinya, menemui masa depan yang lebih cerah untuk semua pelajar," kata Dr Koichiro Matsuura, Pengerusi Jawatankuasa Penghakiman Yidan Prize dan bekas Ketua Pengarah UNESCO.

Yidan Prize Foundation memperjuangkan pencetus perubahan dalam bidang pendidikan  

Yidan Prize memberi pengiktirafan kepada para individu atau pasukan yang memberi sumbangan besar kepada teori dan amalan pendidikan. Setiap penerima hadiah akan dianugerahkan sebanyak HK$30 juta (kira-kira AS$3.9 juta, dikongsi secara saksama untuk pasukan), separuh daripadanya akan berfungsi sebagai dana projek untuk membantu mereka meluaskan projek pendidikan mereka dan menyokong lebih ramai pelajar secara global.

Penerima Hadiah 2021 Yidan Prize untuk Kajian Pendidikan, Profesor Eric A. Hanushek menggunakan dana Hadiah tersebut untuk menubuhkan Yidan African Fellows Program, sebuah jaringan felow dasar tempatan dengan tujuan untuk menambah baik proses membuat keputusan pendidikan merentas Afrika sub-Sahara. Di India, Penerima Hadiah 2021 Yidan Prize untuk Pembangunan Pendidikan Dr Rukmini Banerji bekerjasama dengan Pratham untuk membangunkan, menguji dan memperhalusi program tahun-tahun awal dan meluaskan kolaborasi dengan kerajaan tempatan. Program-program ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 35,000 orang kanak-kanak dalam 650 komuniti.

Pencalonan 2023 Yidan Prize dibuka dalam bulan Oktober

Yidan Prize terus mengalu-alukan pencalonan untuk memberi penghormatan kepada pencetus perubahan dalam bidang pendidikan, mereka yang memberi impak positif kepada pelajar di seluruh dunia menerusi penyelesaian pembelajaran yang bersifat transformatif, boleh diskala dan mampan.

LATAR BELAKANG YIDAN PRIZE FOUNDATION 

Yidan Prize Foundation ialah sebuah yayasan kebajikan global, dengan misi untuk mencipta dunia yang lebih baik melalui pendidikan. Melalui hadiahnya dan jaringan penginovasi, Yidan Prize Foundation menyokong idea dan amalan dalam pendidikan—khususnya, apa yang mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan dan masyarakat secara positif.

Yidan Prize ialah anugerah pendidikan inklusif yang memberi pengiktirafan kepada para individu atau pasukan yang memberi sumbangan besar kepada teori dan amalan pendidikan.

https://yidanprize.org 

Kedua-dua hadiah direka bentuk untuk memberi impak: penerima-penerima hadiah menerima pingat emas dan HK$30 juta (dikongsi secara saksama untuk pasukan), separuh daripadanya merupakan dana projek sebanyak HK$15 juta untuk membantu mereka meningkatkan usaha mereka
Kedua-dua hadiah direka bentuk untuk memberi impak: penerima-penerima hadiah menerima pingat emas dan HK$30 juta (dikongsi secara saksama untuk pasukan), separuh daripadanya merupakan dana projek sebanyak HK$15 juta untuk membantu mereka meningkatkan usaha mereka

Source: Yidan Prize Foundation
Keywords: Education Higher Education Awards