omniture

Toku Umum Lanjutan Siri A kepada AS$10j ketika ia Percepatkan Pertumbuhan APAC

Toku
2022-10-28 10:53 308

SINGAPURA, 28 Oktober 2022 /PRNewswire/ -- Toku, satu-satunya penyedia komunikasi awan khusus Asia Pasifik (APAC), hari ini mengumumkan lanjutan pusingan Siri A yang bernilai AS$5 juta, menjadikan jumlah dananya kepada AS$10 juta.


Pusingan yang dilanjutkan ini dipimpin bersama oleh Delivery Hero Ventures dan OSK Ventures International Malaysia dengan penyertaan daripada Betatron Venture Group.

"Kami teruja untuk mengalu-alukan baik pelabur baharu mahupun pelabur yang kembali untuk menyertai kami dalam misi kami untuk mencipta semula pengalaman pelanggan (CX) untuk Asia Pasifik," kata Thomas Laboulle, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Toku. "Ketika ekonomi digital APAC terus matang, pengalaman pelanggan muncul sebagai pembeza penting dan pemacu nilai yang utama untuk perniagaan. Kami berbesar hati kerana pelabur kami berkongsi visi yang sama dengan kami untuk membina masa depan CX di rantau ini."

Toku mempunyai jalan yang jelas menuju keuntungan, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 128 peratus sepanjang empat tahun yang lalu, termasuk keputusan kewangan yang diramalkan untuk Tahun Fiskal 2022 berakhir pada 31 Disember 2022. Syarikat ini menghampiri setengah bilion interaksi pelanggan yang diproses setiap tahun dalam 17 pasaran di APAC.

"Lanjutan dana ini benar-benar menunjukkan keyakinan bahawa kami berada di landasan yang betul dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengupaya pengalaman pelanggan yang utama di Asia Pasifik, untuk perniagaan yang beroperasi di rantau ini," tambah Laboulle.

Kajian terkini oleh Toku mendedahkan bahawa pengguna semakin mengharapkan standard perkhidmatan yang proaktif dan interaksi diperibadikan diberikan. Sebagai contoh, 71 peratus responden berkata mereka akan berasa kecewa sekiranya sesebuah syarikat tidak mempunyai nombor tempatan untuk dihubungi apabila diperlukan dan 67 peratus memilih untuk berkomunikasi dalam persekitaran aplikasi jenama bagi pengalaman yang disatukan.

Jangkaan yang semakin berkembang dan standard yang semakin meningkat ini menekankan kepentingan penglibatan pelanggan yang moden dalam ekonomi digital.

Toku bekerjasama dengan jenama-jenama serantau yang terkemuka seperti foodpanda, Gojek, Lenskart, Decathlon dan JCDecaux bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah utama dalam pengalaman pelanggan mereka, tetapi juga memanfaatkan cabaran mereka untuk mencapai pertumbuhan.

"Toku mendapat reputasi kerana melangkaui jangkaan pelanggannya," kata Brendon Blacker, Rakan Pengurusan di Delivery Hero Ventures. "Kami berasa sangat teruja untuk terus bekerjasama dengan Thomas dan pasukan beliau bagi mengupayakan lebih banyak perusahaan di seluruh APAC untuk meneruskan perjalanan transformasi digital mereka bersama Toku."

Dana untuk mempercepatkan pengembangan serantau

Bagi memperkasa lebih banyak perniagaan APAC untuk merebut dan mentransformasikan cabaran CX mereka menjadi peluang, Toku akan memanfaatkan lanjutan pendanaan baharu untuk mengukuhkan kehadiran tempatan dengan pantas di Malaysia, Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Korea Selatan dan Filipina. Ia juga bermatlamat untuk menggandakan jumlah pekerjanya kepada 200 yang mantap menjelang tahun 2024.

"Dengan pengalaman pelanggan menjadi tumpuan perhatian yang sangat penting untuk perniagaan hari ini, pengembangan Toku yang dipercepatkan di seluruh APAC menerusi pusingan pendanaan ini akan membolehkan lebih banyak syarikat memberi hasil yang memberi impak. Kami berkongsi visi yang sama dengan Thomas untuk memperkasa perniagaan dengan penyelesaian Toku yang berkeupayaan dan teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan pertumbuhan tinggi mereka di hadapan," kata Amelia Ong, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif OSK Ventures International.

Syarikat ini akan terus melabur dalam inovasi dan teknologi bagi mencipta semula pengalaman pelanggan yang holistik untuk ekonomi yang mengutamakan digital. Ini termasuk menyatukan pengalaman pelanggan dan pengalaman pekerja ke dalam satu platform semua-dalam-satu untuk merangsang perjalanan pelanggan yang diperibadikan untuk perniagaan di APAC.

"Toku berciri tipikal bagi perniagaan bingkas, berkembang pantas yang ingin kami laburkan di Betatron. Sudahpun bekerjasama dengan pasukan Toku sejak tahun 2019, kami amat yakin dengan keupayaan mereka untuk memodenkan perkhidmatan komunikasi yang kritikal dan untuk berkembang pesat ke seluruh APAC walaupun berlatarbelakangkan ketidaktentuan ekonomi," kata Matthias Knobloch, Rakan Pengurusan & Ketua Pegawai Eksekutif Betatron Venture Group.

Kit Media

Sila klik di sini untuk mengakses kit media bagi pengumuman ini.

Latar Belakang Toku

Beribu pejabat di Singapura, Toku mencipta penyelesaian komunikasi awan dan penglibatan pelanggan direka khas untuk mencipta semula pengalaman pelanggan untuk perusahaan. Portfolio penyelesaian komunikasi perniagaan awan syarikat ini termasuk API Boleh Diprogramkan, Pusat Perhubungan dan Telefoni Korporat.

Toku menggabungkan kepakaran tempatan, infrastruktur dalam-negara serantau dan jangkauan global untuk membantu perniagaan mengatasi kerumitan transformasi digital dalam pasaran APAC dan meningkatkan CX mereka dengan penyelesaian komunikasi awan misi-kritikal.

Toku bekerjasama dengan organisasi-organisasi yang pelbagai seperti Gojek, foodpanda, JCDecaux, Decathlon serta pelbagai agensi kerajaan untuk memindahkan komunikasi mereka ke awan dan mencipta cara baharu untuk berinteraksi dengan pelanggan mereka.

Dengan Toku, pemindahan ke awan menjadi jauh lebih mudah. Ketahui lebih lanjut di toku.co dan LinkedIn.

Latar Belakang Delivery Hero Ventures

Ditubuhkan pada Januari 2021, Delivery Hero Ventures ialah sebuah firma modal teroka bebas yang disokong oleh Delivery Hero, platform penghantaran makanan dan perdagangan pantas global yang terkemuka. Misi Delivery Hero Ventures adalah untuk menyokong generasi pengasas yang seterusnya yang mengubah beberapa industri yang paling dinamik di seluruh dunia. Bahagian penting dalam proposisi nilai dana ini ialah keupayaan untuk memanfaatkan ekosistem unik Delivery Hero untuk memberi manfaat kepada pengasas dan membantu mereka mengembangkan perniagaan yang terkemuka di dunia.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.dhventures.vc.

Latar Belakang OSK Ventures International

Ditubuhkan dalam tahun 2000, OSK Ventures International Berhad ("OSKVI") ialah sebuah syarikat ekuiti persendirian yang disenaraikan secara terbuka yang menyediakan modal untuk syarikat-syarikat bermula daripada syarikat pemula penjana hasil hinggalah syarikat yang mengalami pertumbuhan peringkat akhir. OSKVI memiliki rekod prestasi yang berjaya dalam memupuk pelbagai syarikat untuk memperdagangkan jualan dan tawaran awam awal. Fokus pelaburan semasanya melibatkan teknologi perusahaan dan perkhidmatan kewangan.

Maklumat lanjut tentang OSKVI boleh didapati di www.oskvi.com.

Latar Belakang Betatron Venture Group

Betatron Venture Group ialah Dana Modal Teroka yang melabur dalam syarikat-syarikat aset-ringan yang berkembang pantas di seluruh Asia (kecuali tanah besar China). Dengan pejabat-pejabat di Singapura dan Hong Kong, dana ini melabur dalam pusingan Benih hingga Siri A. Betatron memfokuskan kepada syarikat-syarikat B2B yang mendigitalkan industri-industri terbesar di rantau ini, termasuk kewangan, logistik dan penjagaan kesihatan.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi: www.betatron.co

 

Source: Toku
Keywords: Computer Networks Computer/Electronics Telecommunications Venture Capital