omniture

CGTN: Bagaimana China mengukuhkan kerjasama vaksin untuk memerangi COVID-19

CGTN
2022-12-16 00:16 51

BEIJING, 16 Disember 2022 /PRNewswire/ -- Sejak penularan COVID-19, dunia telah berlumba mengejar masa, memerangi pandemik kerana ia mencetuskan huru-hara di seluruh dunia. Membangunkan vaksin yang selamat dan berkesan merupakan salah satu langkah yang paling penting dalam perjuangan memerangi virus ini.

Sejak hampir tiga tahun yang lalu, China telah melakar kemajuan dalam penyelidikan vaksin COVID-19 dan mengambil langkah-langkah yang konkrit ke arah memenuhi komitmennya untuk menjadikan vaksin sebagai kepentingan awam global.

China berada di hadapan dalam penyelidikan vaksin

Dalam bulan Januari 2020, para penyelidik Cina mendedahkan dengan cepat jujukan genom penuh virus ini setelah penularan wabak pertama pada penghujung tahun 2019. Keputusan untuk menyiarkan data secara terbuka dipuji oleh para saintis global.

Jeremy Farrar, seorang penyelidik perubatan dan pengarah di Wellcome Trust, sebuah yayasan amal berpangkalan di London untuk penyelidikan kesihatan, menggambarkannya sebagai "berpotensi menjadi detik yang benar-benar penting dalam kesihatan awam global-perlu diraikan" dalam satu ciapan.

Dalam bulan Mac 2020, vaksin vektor adenovirus yang dibangunkan oleh sebuah pasukan yang diketuai oleh saintis perubatan ketenteraan Cina, Chen Wei menjadi vaksin pertama di China yang diluluskan untuk memasuki peringkat percubaan klinikal.

Selepas fasa percubaan pertama lengkap, fasa percubaan kedua bermula dalam bulan April. Ketika itu, vaksin COVID-19 China merupakan yang pertama di dunia yang memasuki fasa percubaan klinikal kedua, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kajian vaksin COVID-19 yang lain telah dijalankan secara serentak, termasuk vaksin tidak aktif yang dibangunkan oleh China National Pharmaceutical Group (Sinopharm) dan vaksin tidak aktif daripada syarikat farmaseutikal berpangkalan di Beijing, Sinovac.

Ketika virus ini terus bermutasi, China terus memajukan kajian vaksinnya sejak tiga tahun yang lalu. Setakat bulan Oktober 2022, sekurang-kurangnya 46 vaksin COVID-19 telah diuji dalam percubaan ke atas manusia di peringkat domestik dan lebih 20 menjalani percubaan klinikal luar negara.

Antaranya, tiga vaksin monovalen tidak aktif untuk varian Omicron diuji bagi imunisasi berurutan di tanah besar Cina, Hong Kong dan juga Emiriah Arab Bersatu.

Usaha untuk mengukuhkan kerjasama vaksin global

Vaksin China memainkan peranan yang penting dalam tindak balas global terhadap pandemik, menawarkan lebih banyak pilihan kepada negara-negara semasa berlakunya pemisahan vaksin di seluruh dunia.

Dalam bulan Mei 2021, WHO menyenaraikan vaksin COVID-19 Sinopharm untuk kegunaan kecemasan. Ia merupakan vaksin Cina pertama yang diiktiraf secara rasmi oleh WHO dan vaksin keenam yang diluluskan untuk kegunaan kecemasan di peringkat global.

WHO memasukkan vaksin ini dalam senarai kegunaan kecemasan lantaran ciri "keselamatan, keberkesanan dan kualiti," kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu taklimat akhbar.

Dalam bulan berikutnya, satu lagi vaksin tidak aktif yang dihasilkan oleh Sinovac mendapat kelulusan daripada WHO untuk kegunaan kecemasan.

Dibandingkan dengan vaksin-vaksin lain yang dibuat oleh Moderna dan Pfizer ketika itu, vaksin tidak aktif daripada China mempunyai kelebihan: Ia boleh disimpan dan dibawa dalam peti sejuk standard pada suhu 2-8 darjah Celsius. Ia sesuai khususnya untuk negara-negara sedang membangun yang tidak mempunyai kemudahan penyimpanan dan pengangkutan vaksin yang cukup untuk menyimpan sejumlah besar vaksin pada suhu rendah.

Dalam bulan Mei 2022, vaksin COVID-19 CONVIDECIA dibangunkan oleh pembangun Cina CanSino Biologics diberi kebenaran oleh WHO untuk kegunaan kecemasan. Ia merupakan vaksin Cina ketiga selepas Sinopharm dan Sinopec yang diperakui oleh Penyenaraian Kegunaan Kecemasan WHO.

"Dunia amat memerlukan pelbagai vaksin COVID-19 bagi menangani ketidaksamaan akses yang amat besar di seluruh dunia," kata Dr Mariangela Simao, penolong ketua pengarah WHO untuk mengakses produk kesihatan, dalam satu siaran berita pada bulan Jun 2021.

Beliau turut menggesa pihak pengeluar untuk mengambil bahagian dalam skim Akses Global Vaksin COVID-19 (COVID-19 Vaccines Global Access, COVAX), satu inisiatif dunia yang bertujuan untuk memastikan akses yang sama rata kepada vaksin COVID-19 untuk negara-negara kaya mahupun miskin agar dapat memastikan pandemik ini dalam keadaan terkawal.

Sejak China menyertai COVAX dalam bulan Oktober 2020, ia terus menawarkan bantuan vaksin kepada negara-negara kurang maju. Dalam bulan Ogos 2021, China berjanji untuk menyediakan 2 bilion dos vaksin COVID-19 kepada dunia sepanjang tahun 2021 dan menawarkan $100 juta kepada COVAX.

"Kami mengalu-alukan sumbangan daripada China ini, yang akan mengupayakan akses yang selanjutnya kepada vaksin COVID-19 kepada yang paling berisiko di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana," kata Dr Seth Berkley, Ketua Pegawai Eksekutif Gavi, Vaccine Alliance.

Langkah-langkah lain termasuk $ 2 bilion bagi bantuan antarabangsa daripada China untuk membantu negara-negara sedang membangun bertindak balas kepada impak COVID-19 dan membina mekanisme kerjasama untuk hospital-hospital Cina untuk bergandingan dengan 30 hospital Afrika.

Setakat Mei 2022, China telah menyediakan bahan-bahan antiwabak kepada 153 negara dan 15 pertubuhan antarabangsa termasuk 2.2 bilion dos vaksin COVID-19. Negara ini turut menghantar kumpulan pakar perubatan ke 34 negara dan berkongsi pengalamannya dalam tindak balas wabak dengan lebih daripada 180 negara serta pertubuhan antarabangsa.

Rakyat diutamakan dalam strategi antipandemik China

Sejak bermulanya pandemik, China menganggap langkah melindungi orang ramai dan nyawa mereka sebagai keutamaan tertinggi, tanpa mengira sama ada mereka berada di dalam atau luar negara.

Setakat 7 Disember 2022, kira-kira 3.45 bilion suntikan vaksin telah diberikan di seluruh negara. Lebih 228 juta orang berusia 60 tahun ke atas mendapat vaksinasi penuh, menyumbang sebanyak 86 peratus daripada jumlah penduduk dalam kumpulan umur ini.

Warganegara Cina luar negara juga ditawarkan dengan vaksin COVID-19. Dalam tempoh tiga bulan selepas China memperkenalkan program vaksin "Spring Sprout" dalam bulan Mac 2021, lebih daripada 1.18 juta rakyat Cina luar negara di lebih 150 negara telah disuntik dengan vaksin Cina atau asing.

Kerajaan China meluaskan liputan program suntikan ini kepada warga asing yang menetap di China dengan memberi vaksin Cina kepada warganegara asing pada umur yang layak dan memberi rawatan yang tepat pada masanya kepada mereka yang dijangkiti virus COVID-19. Negara ini turut menyelaraskan langkah-langkah pencegahan dan kawalan untuk warga asing yang memasuki China.

https://news.cgtn.com/news/2022-12-14/How-China-strengthens-vaccine-cooperation-to-battle-COVID-19-1fL8JwjK6Ri/index.html

 

 

 

 

Source: CGTN
Keywords: Biotechnology Computer/Electronics Health Care/Hospital Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service Advocacy Group Opinion Clinical Trials/Medical Discoveries