omniture

CGTN: Dengan anggota baharu, SCO tumpu kerjasama lebih erat di tengah-tengah cabaran global

CGTN
2023-07-06 12:08 44

BEIJING, 6 Julai 2023 /PRNewswire/ -- Pada hari Selasa, Iran secara rasminya menjadi negara anggota kesembilan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), sebuah pertubuhan kerjasama serantau komprehensif yang meliputi kawasan dan populasi terbesar di dunia.

Kemasukan Iran sepenuhnya dirasmikan di mesyuarat ke-23 Majlis Ketua-ketua Negara pertubuhan berkenaan. Pemimpin-pemimpin SCO menghadiri mesyuarat tersebut secara dalam talian.

Berucap di mesyuarat tersebut, Presiden Cina Xi Jinping mengalu-alukan Iran ke dalam keluarga SCO dan menyeru negara-negara anggota SCO untuk kekal berpadu dan selaras agar dapat membawa lebih kepastian dan tenaga positif kepada keamanan dan pembangunan dunia.

"Harapan rakyat terhadap kehidupan yang bahagia merupakan matlamat kami manakala keamanan, pembangunan dan kerjasama yang saling menguntungkan merupakan trend yang tidak dapat dihalang pada zaman ini," ujar Xi.

Menyeru untuk menjadikan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik, Xi memberitahu pemimpin-pemimpin SCO bahawa China bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota lain untuk melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Sekuriti Global (GSI) dan Inisiatif Tamadun Global (GCI) dengan aktif.

Dalam dunia yang mengalami kegawatan dan transformasi, Presiden Xi mencadangkan GDI, GSI dan GCI mengikut urutannya yang merupakan sumbangan penyelesaian daripada China untuk tadbir urus global. Ketiga-tiga inisiatif berkenaan turut memenuhi keperluan SCO untuk mengukuhkan "tiga tonggaknya", tiga bidang kerjasama yang utama iaitu keselamatan, ekonomi dan pertukaran sesama rakyat.

Menjaga keselamatan bersama

SCO ditubuhkan lebih daripada dua dekad yang lalu dengan misi asas untuk memerangi tiga kuasa iaitu keganasan, fahaman pemisah dan fahaman pelampau. Selama bertahun-tahun, kerjasama keselamatan kekal menjadi tumpuan utama untuk negara-negara anggota dalam rangka kerja SCO.

Bagi memerangi "tiga kuasa" tersebut, anggota-anggota SCO mengorak langkah yang ketara dengan meluaskan perkongsian kecerdasan dan pertukaran maklumat serta menjalankan latihan anti-keganasan secara bersama. Pada tahun 2020 sahaja, negara-negara anggota SCO berupaya mengelakkan lebih 40 serangan pengganas dan memusnahkan lebih daripada 50 kumpulan pengganas.

Pertubuhan berkenaan turut berfungsi sebagai penyumbang utama usaha negara-negara anggota untuk membanteras pengedaran dadah dan jenayah terancang rentas negara serta mengendalikan kekacauan kawasan-kawasan panas serantau melalui mekanisme seperti SCO-Afghanistan Contact Group.

Menyeru untuk mengekalkan keamanan serantau dan menjaga keselamatan bersama, Xi menyatakan bahawa "mengekalkan keamanan dan keselamatan di rantau ini merupakan tanggungjawab kita bersama-sama."

Beliau menambah bahawa China bersiap sedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi melaksanakan GSI, menggalakkan penyelesaian pertikaian antarabangsa melalui dialog dan perundingan serta menggalakkan penyelesaian politik kawasan-kawasan panas antarabangsa dan serantau, agar dapat mewujudkan perisai keselamatan yang kukuh di rantau ini.

Menjadikan 'pai kerjasama' lebih besar

Meliputi tiga perlima daripada benua Eurasia, SCO mewakili hampir separuh daripada penduduk dunia dan lebih 20 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) global yang juga bererti potensi yang jauh lebih besar untuk pembangunan. Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang dicadangkan oleh China pula menawarkan peluang kepada anggota-anggota SCO untuk memanfaatkan potensi dan meningkatkan kerjasama praktikal mereka, khususnya dalam infrastruktur.

Menerusi pembinaan perkhidmatan pengangkutan seperti landasan kereta api the China-Kyrgyzstan-Uzbekistan, saluran paip gas asli China-Asia Tengah dan operasi tetap perkhidmatan kereta api pengangkut China-Eropah, pertalian antara negara-negara anggota SCO menjadi semakin erat secara fizikal.

"Kita harus saling bekerjasama untuk memperluas Jalur dan Jalan sebagai 'laluan kebahagiaan' yang memberi manfaat kepada seluruh dunia," kata Xi dan beliau memberitahu pemimpin-pemimpin SCO bahawa pada ulang tahun ke-10 BRI, China akan mengadakan Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Jalan ketiga.

Zon demonstrasi kerjasama ekonomi dan perdagangan tempatan China-SCO turut membawa faedah-faedah ketara kepada penduduk tempatan. Perdagangannya dengan negara-negara SCO melonjak kepada 8.1 billon yuan (kira-kira $1.1 bilion) pada tahun 2022 daripada 850 juta yuan (kira-kira $117 juta) pada tahun 2019.

Menggalakkan pertumbuhan ekonomi sudah menjadi kebiasaan semua negara di rantau ini, seperti yang ditegaskan oleh Presiden Xi semasa mesyuarat berkenaan. Beliau menyeru anggota-anggota SCO untuk menumpukan pada kerjasama praktikal dan mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Beliau turut berjanji untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi melaksanakan GDI dan menjadikan pai kerjasama yang saling menguntungkan lebih besar sambil menyuarakan penentangan terhadap fahaman perlindungan, sekatan unilateral dan keselamatan negara yang melampau serta menolak langkah-langkah untuk mewujudkan halangan, memisahkan dan memutuskan rantaian bekalan.

Mengeratkan ikatan sesama insan

Negara-negara SCO menempatkan banyak tamadun purba dan kumpulan etnik dengan warisan agama dan budaya yang silih berganti, menjadikan usaha untuk menggalakkan pertukaran silang budaya dan persefahaman begitu diperlukan.

Acara-acara kebudayaan seperti Tahun Bahasa, Tahun Kebudayaan dan Tahun Pelancongan telah diadakan secara berturut-turut antara negara-negara anggota, bertujuan untuk membantu rakyat daripada negara-negara anggota SCO mengenali satu sama lain dengan lebih baik.

SCO turut membangunkan University of Shanghai Cooperation Organization (USCO), yang menggalakkan pertukaran budaya dan akademik antara belia dari negara-negara anggota SCO. Ketika ini, terdapat 82 buah kolej dan universiti di bawah program kerjasama USCO, dengan tujuh hala tuju profesional.

Pada hari Selasa, presiden Cina mengumumkan bahawa dalam tempoh tiga tahun akan datang, China akan menyediakan 1,000 Biasiswa Guru Bahasa Cina Antarabangsa kepada negara-negara anggota SCO, menawarkan 3,000 peluang kem musim panas "Jambatan Cina" ("Chinese Bridge") dan menjemput 100 saintis muda ke China bagi tujuan pertukaran kajian saintifik.

Xi percaya bahawa semua negara di rantau ini bercita-cita untuk melihat pembangunan yang harmoni bagi tamadun-tamadun yang berbeza. "Kami mengalu-alukan semua pihak untuk bekerjasama bagi melaksanakan Inisiatif Tamadun Global, menggalakkan keterangkuman dan kewujudan bersama antara semua tamadun serta meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara semua negara."

https://news.cgtn.com/news/2023-07-04/With-new-member-SCO-eyes-closer-cooperation-amid-global-challenges-1lay4OIVy36/index.html

Source: CGTN
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service