HONG KONG, 8 Disember 2023 /PRNewswire/ -- Yidan Prize Foundation, yayasan dermawan global di sebalik anugerah pendidikan tertinggi di dunia ini, menganjurkan Sidang Kemuncak Yidan Prize yang amat dinanti-nantikan di Hong Kong pada 4 Disember, di bawah tema "Idea yang mencetus perubahan: sorotan kepada penyelesaian memajukan pendidikan."
Dalam dunia yang berubah dengan pantas, menjadi amat penting untuk melengkapkan semua pelajar dengan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, agar mereka menjadi warga global yang serba lengkap. Bagi membincangkan bagaimana kita dapat memenuhi keperluan pelajar hari ini dengan lebih baik, Sidang Kemuncak Yidan Prize 2023 menghimpunkan pakar pendidikan, penggubal dasar dan yayasan dermawan untuk meneroka idea inovatif dalam penyelidikan dan amalan—kesemuanya dengan kuasa untuk meluaskan capaian kepada pendidikan yang berkualiti.
Dr Charles CHEN Yidan, Pengasas Yidan Prize, mengalu-alukan para tetamu dari serata dunia, menegaskan bahawa idea dapat mencetuskan perubahan. Beliau berkata, "Pendidik berwawasan yang bersama kita pada hari ini benar-benar percaya akan kuasa idea yang transformatif. Wawasan kolektif mereka menjurus orang ramai untuk memahami bahawa semua pelajar boleh dan mesti berjaya. Mereka mencabar kita untuk mencipta semula rupa bilik darjah dan amalan pengajaran yang baik. Mereka membawa kita kepada kesimpulan bahawa pendidikan yang baik boleh disediakan untuk semua orang. Tindakan mereka membentuk semula pendidikan secara berterusan, mengukuhkan lagi komitmen mereka kepada kepercayaan ini."
Joe Colombano, Ketua, Pejabat Penyelaras Residen PBB di China, memulakan dengan ucaptama mengenai keperluan terhadap pelaburan yang diperbaharui dan inovasi dalam pendidikan. Beliau memikirkan tentang konsep apa yang diertikan oleh kualiti pendidikan pada hari ini dan mencadangkan soalan-soalan bernas bagi menyediakan ruang untuk perbincangan pada hari tersebut. Beliau menegaskan bahawa pendidikan perlu kekal seiring dengan keperluan ekonomi yang berubah-ubah dan menekankan matlamat pendidikan lebih luas melangkaui sekadar pekerjaan semata-mata — sebagai cara untuk semua pelajar mencapai potensi penuh mereka. Colombano menyatakan bahawa pendidikan yang berkualiti adalah lebih daripada satu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), ia juga pemangkin untuk mencapai kesemua 17 SDG.
Bagi panel pertama, pakar pendidikan dari University of Hong Kong menyertai Profesor Michelene (Micki) Chi, Pemenang Yidan Prize untuk Penyelidikan Pendidikan 2023, Michelene (Micki) Chi, Profesor Regents & Profesor Sains dan Pengajaran Kurniaan Dorothy Bray, Mary Lou Fulton Teachers College, Arizona State University. Mereka membincangkan tentang teori perintis Micki mengenai penglibatan kognitif—digelar ICAP—yang memberi rangka kerja terbukti kepada guru untuk memudahkan penglibatan yang berkualiti dalam bilik darjah, membantu menambah baik kaedah pengajaran bermula daripada tadika hingga peringkat sekolah menengah dan selanjutnya. Dikendalikan oleh Dr Christopher Thomas, Pengarah Perkongsian di Yidan Prize Foundation, ahli-ahli panel berbicara tentang bagaimana aktiviti pembelajaran yang interaktif, konstruktif dan aktif membangunkan autonomi pelajar dan menggalakkan kolaborasi.
Dalam panel kedua, Dr Laura Savage, Pengarah Eksekutif, International Education Funders Group (IEFG), berbicara kepada pemimpin yang berjaya merangsang perubahan sosial bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada kuasa pendidikan yang bersifat transformatif. Ahli-ahli Yidan Council of Luminaries, Dr Rukmini Banerji, Vicky Colbert dan Wendy Kopp masing-masing memikirkan tentang pengalaman bersama mereka dalam memangkinkan perubahan sistem dengan memanfaatkan pengaruh misi bersama dan kepimpinan kolektif dan berakar umbi setempat. Mereka berbincang tentang kepentingan pembelajaran asas, perkongsian yang kukuh bersama kerajaan serta masyarakat awam dan bagaimana semua orang—bermula daripada ibu bapa hingga mahasiswa universiti—boleh menjadi ejen perubahan.
Pada sebelah petang, sidang kemuncak tersebut meneroka bagaimana model pengajian tinggi yang inovatif dapat memecahkan halangan kepada kebolehcapaian dan kemampuan. Pemenang Yidan Prize untuk Pembangunan Pendidikan 2023, Shai Reshef, Presiden dan Pengasas, University of the People, berbicara dengan Profesor Arthur Levine, Presiden Emeritus Teachers College, Columbia University, tentang bagaimana kita dapat memastikan pengajian tinggi kekal seiring dengan ekonomi pengetahuan global dan digital kita yang berubah-ubah. Shai menyebut tentang kepentingan menerima teknologi dalam talian sumber terbuka yang berpotensi, agar setiap pelajar yang layak boleh mendapat akses kepada pengajian tinggi yang berkualiti.
Pada sesi terakhir hari itu, Pemenang Yidan Prize untuk Pembangunan Pendidikan 2020 Lucy Lake dan Angeline Murimirwa menyertai Baela Raza Jamil, Ketua Pegawai Eksekutif, Idara-e-Taleem-o-Aagahi dan Ruth Kagia, Bekas Pengarah Pendidikan Global, Bank Dunia, untuk membincangkan tentang kemasukan radikal dalam pendidikan. Mereka berbicara tentang sejauh mana menjadikan mereka yang paling terpinggir dan rentan sebagai keutamaan dalam penggubalan dasar merupakan kunci untuk memacu perubahan dalam dan melalui pendidikan. Ahli-ahli panel menyatakan bahawa kemasukan radikal adalah berani dan tidak menyebabkan penyesalan: setiap pelajar harus dididik dan dilindungi. Persilangan dan kolaborasi dalam kalangan penggubal dasar, penyelidik dan pengamal pendidikan tidak boleh dirunding dalam proses ini.
Meraikan pemenang Yidan Prize 2023
Pada 3 Disember, Profesor Michelene Chi dan Shai Reshef masing-masing dianugerahkan secara rasmi Yidan Prize untuk Penyelidikan Pendidikan 2023 dan Yidan Prize untuk Pembangunan Pendidikan 2023 di Majlis Penganugerahan Yidan Prize. Mereka diiktiraf atas usaha luar biasa mereka dalam mencipta peluang kepada pelajar untuk mencapai potensi mereka. Mereka menyertai komuniti pencetus perubahan pendidikan global Yidan Prize Foundation dan Yidan Council of Luminaries.
Calonkan pencetus perubahan pendidikan bagi Yidan Prize 2024
Yidan Prize dibuka untuk pencalonan hingga 31 Mac 2024. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang peluang atau untuk mencalonkan pencetus perubahan, kunjungi laman sesawang Yidan Prize: https://yidanprize.org/the-prize-and-nominations/nominations.
Profesor Michelene Chi, Pemenang Yidan Prize untuk Penyelidikan Pendidikan 2023 membuka panel, ‘Memikirkan semula cara kita mengajar berdasarkan kepada cara pelajar belajar: mempraktikkan teori’.
Shai Reshef, Pemenang Yidan Prize untuk Pembangunan Pendidikan 2023 menyertai Profesor Arthur Levine untuk sembang santai: ‘Membayangkan semula pengajian tinggi: model baharu untuk kebolehcapaian dan kemampuan’.
LATAR BELAKANG YIDAN PRIZE FOUNDATION
Yidan Prize Foundation ialah sebuah yayasan dermawan global, dengan misi untuk mencipta dunia yang lebih baik melalui pendidikan. Melalui hadiahnya dan jaringan penginovasi, Yidan Prize Foundation menyokong idea dan amalan dalam pendidikan—khususnya, apa yang mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan dan masyarakat secara positif.
Yidan Prize ialah anugerah pendidikan inklusif yang memberi pengiktirafan kepada para individu atau pasukan yang memberi sumbangan besar kepada teori dan amalan pendidikan.