LONDON, November 26, 2014 /PRNewswire/ -- Hari ini, pemimpin global, penggubal dasar, para profesional industri serta ilmuwan menyeru negara seluruh dunia berusaha lebih giat lagi untuk membantu 350 juta orang yang menderitai kemurungan.[1] Bertemu semasa sidang kemuncak 'Krisis Kemurungan Global: Derita Kurun Ke-21?', para peserta, termasuk Kofi Annan, bekas Setiausaha Agung PBB, Norman Lamb, Wakil Rakyat, Menteri Negeri untuk Penjagaan dan Sokongan United Kingdom serta Nick Hækkerup, Menteri Kesihatan Denmark, menekankan yang sistem penjagaan kesihatan, perniagaan dan juga orang awam perlu berganding bahu untuk memerangi kemurungan.
Kofi Annan berucap kepada delegasi: "Kemurungan mengakibatkan pelbagai impak dan dimensi. Apa yang membahayakan adalah perkara ini mungkin menyukarkan usaha memberi maklum balas yang koheren dan berkesan. Kita mesti membina perkongsian yang seluas mungkin dan menggunakan sumber berkesan untuk mengatasi semua cabaran ini. Saya tidak memandang remeh terhadap kesukaran cabaran ini, tetapi saya telah melihat bagaimana kemajuan dapat dicapai dalam keadaan yang paling mencabar sekali pun. Kita ada ilmu untuk menangani kemurungan, kini kita perlu mencari keinginan dan sumber untuk menggunakan ilmu ini bagi mengubah kehidupan ratusan dan jutaan orang."
"Saya harap pertemuan hari ini telah memberi orang ramai pemahaman lebih jelas tentang impak signifikan kemurungan serta kesannya ke atas masyarakat dan ekonomi. Kami telah meneliti langkah yang diambil pihak kerajaan dan perniagaan bagi menangani impak kemurungan dan mengambil kira amalan terbaik untuk menangani isu ini," kata Profesor David Haslam, Pengerusi, Institut Kebangsaan untuk Kesihatan dan Kecemerlangan Penjagaan. "Namun begitu, masih ada banyak lagi yang perlu dilakukan. Sudah tiba masanya untuk mengorak langkah menuju ke masa hadapan yang menyaksikan keseluruhan kualiti kehidupan pesakit yang menderitai kemurungan akan menjadi lebih baik serta impak ekonomi kemurungan dapat dikurangkan."
Kemurungan kini merupakan punca utama ketidakupayaan seluruh dunia.[2] Di Eropah, ia merupakan punca lebih 7 peratus kematian sebelum masanya[3] dan kini mengakibatkan kerajaan Eropah mengalami kerugian lebih €92 bilion setiap tahun.[4]
Lebih suku warga negara pada usia boleh kerja dianggarkan telah menderita sejenis penyakit mental termasuk kemurungan,[5] lalu mengakibatkan tekanan hebat ke atas produktiviti ekonomi dan kebajikan masyarakat. Kerugian persendirian dan kemasyarakatan juga telah menjadi signifikan, termasuk kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi untuk individu dan majikan, bebanan ke atas keluarga dan penjaga serta komplikasi serius ke atas pesakit itu sendiri.[4],[6]
"Kemurungan boleh menjadi penyakit yang sangat membinasakan dan saya bertekad untuk memastikan sesiapa yang terjejas akibatnya mendapat segala sokongan yang mereka perlukan. Kami sedang mencapai kemajuan – England merupakan peneraju dunia dalam memperbaiki akses kepada terapi perbualan, kami ada pelan pemecah kebiasaan yang bakal mengubah penjagaan kesihatan mental dan saya telah mencabar setiap syarikat FTSE 100 untuk memerangi diskriminasi dengan mendaftar bersama program Masa untuk Berubah (Time to Change)," kata Norman Lamb, Wakil Rakyat, Menteri Negeri untuk Penjagaan dan Sokongan, United Kingdom. "Tetapi masih ada usaha yang perlu dilakukan oleh Kerajaan dan banyak pihak lain. Perkhidmatan kesihatan; penyelidik; sekolah; dan tidak kurang juga majikan, semuanya memainkan peranan penting dalam memastikan sesiapa yang menderitai kemurungan akan mendapat sokongan yang mereka perlukan."
Alastair Campbell, Komunikator, Penulis dan Perancang Strategi, serta Duta untuk kempen Masa untuk Berubah, telah bercakap di khalayak umum tentang pengalaman beliau sendiri menderitai kemurungan. Kata beliau: "Tiada sesiapa pun pada masa kini yang tidak kenal seseorang yang menderitai kemurungan. Namun begitu, kemurungan masih dicengkam stigma dan penyisihan, malah masih ada lagi golongan yang tidak rela mengakuinya sebagai sejenis penyakit. Ia salah satu penyakit paling dahsyat yang wujud. Oleh itu, Kerajaan perlu memberi keutamaan yang sama kepada kesihatan mental seperti keutamaan yang diberikan kepada kesihatan fizikal. Memandangkan ia memberi kesan kepada populasi boleh kerja, ada manfaatnya pihak kerajaan dan perniagaan bekerjasama untuk menangani isu ini. Saya menyambut baik keutamaan yang begitu tinggi yang diberikan oleh The Economist terhadap isu ini dan berharap pihak lain akan turut menyusul."
"OECD mendapati gangguan mental seperti kemurungan merugikan sehingga 4 peratus daripada KDNK negara OECD, boleh menggandakan dua atau tiga kali kebarangkalian untuk menganggur, meningkatkan bilangan orang yang tercicir daripada aliran pendidikan serta mengekang rawatan masalah kesihatan fizikal. Beberapa langkah mesti diambil untuk melaksanakan sepenuhnya rawatan dan campur tangan yang boleh berkesan," kata Francesca Colombo, Ketua Divisyen Kesihatan, OECD. "Walaupun kenyataan yang kemurungan sudah pun dikenal pasti oleh begitu ramai pihak berkepentingan adalah amat signifikan, perbincangan hari ini menunjukkan masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan. Sangat penting agar semua pihak menggembleng tenaga untuk meningkatkan kepentingan pengurusan dan rawatan kemurungan sebagai isu kesihatan awam yang serius dan memastikan komitmen daripada semua pihak agar dapat memastikan keputusan keseluruhan dapat diperbaiki."
Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.depression.economist.com
Pertemuan Krisis Kemurungan Global telah dianjurkan oleh The Economist Events, dan ditaja oleh H. Lundbeck A/S.
Sertai perbincangannya di Twitter melalui #depressionsummit dan @EconomistEvents.
Latar Belakang The Economist Events
The Economist Events merupakan penyedia terkemuka untuk forum antarabangsa bagi eksekutif kanan yang ingin mendapatkan maklumat baharu tentang isu strategik. Semua pertemuan ini termasuklah persidangan industri, acara pengurusan serta perbincangan meja bulat kerajaan yang diadakan di seluruh dunia. Sebagai sebahagian daripada The Economist Group, The Economist Events merupakan jenama yang sangat dihormati dengan sejarah selama 162 tahun dan reputasi yang tiada tandingannya untuk kecemerlangan dan kebebasan. Setiap pertemuan yang dirancang oleh The Economist Events menyediakan objektif dan analisis termaklum. Pertemuan kami menyediakan forum peringkat tinggi yang luar biasa agar eksekutif kanan boleh mendapatkan maklumat, saling bertukar pandangan dan turut membandingkan strategi.
http://www.economistinsights.com/events
Rujukan
Untuk pertanyaan akhbar sila hubungi:
Sumber: The Economist Events