omniture

Data Daftar Pemfibrilan Atrium Global Menunjukkan Kawalan Antipenggumpalan Rendah dan Skor Risiko Tinggi Meningkatkan Kematian serta Angin Ahmar

Thrombosis Research Institute (TRI)
2015-06-24 14:30 312

TORONTO, 24 Jun 2015 /PRNewswire/ --

-- Keputusan satu tahun daripada Daftar GARFIELD-AF menunjukkan kawalan VKA yang rendah dan skor risiko tinggi meningkatkan kematian serta angin ahmar dalam kalangan pesakit yang baru didiagnosis dengan pemfibrilan atrium (AF) --

Data sebenar daripada hampir 17,200 orang pesakit yang didaftarkan dalam Daftar Antipenggumpalan Global dalam Lapangan – Pemfibrilan Atrium (GARFIELD-AF) mengesahkan kegagalan untuk mencapai pengurusan yang mencukupi untuk antipenggumpalan dengan antagonis vitamin K (VKA) serta skor risiko tinggi yang berkait dengan peningkatan risiko kematian dan angin ahmar dalam kalangan pesakit dengan AF bukan injap. Semua penemuan ini dibentangkan dalam dua pembentangan lisan semasa Kongres Persatuan Trombosis dan Hemostatis Antarabangsa (ISTH) 2015 hari ini.

"Pesakit dengan pemfibrilan atrium yang baru didiagnosis yang dijejaki dalam Daftar GARFIELD-AF membawa beban penyakit yang penting dalam tahun pertama selepas diagnosis," kata Profesor Ajay Kakkar, Profesor Pembedahan di Kolej Universiti London, dan Pengarah Institut Penyelidikan Trombosis. "Data yang baru-baru ini dibentangkan daripada kajian GARFIELD-AF itu menekankan faedah keberkesanan antipenggumpalan untuk pesakit tertentu yang baru didiagnosis dengan pemfibrilan atrium."

Pembentangan semasa kongres ISTH adalah seperti berikut:

Profil risiko dan keputusan selepas satu tahun bagi pesakit yang baru didiagnosis dengan pemfibrilan atrium: Keputusan daripada GARFIELD-AF

Insiden angin ahmar/embolisme sistemik, kematian, dan pendarahan banyak yang berlaku setahun selepas baru diagnosis dengan AF bukan injap telah dianalisis dengan ciri garis dasar pesakit serta terapi antitrombosis yang disediakan semasa diagnosis. Keputusan menunjukkan: 

  • Kematian merupakan beban tertinggi dalam tahun pertama selepas diagnosis AF
  • Skor risiko lebih tinggi (CHA2DS2-VASc dan HAS-BLED) dikaitkan dengan risiko kematian yang semakin meningkat, angin ahmar/SE dan kejadian pendarahan yang banyak
  • Merokok, usia ≥75 tahun, ketiadaan rawatan antipenggumpalan dan penyakit ginjal turut dikaitkan dengan risiko kematian yang semakin meningkat, angin ahmar/SE, dan kejadian pendarahan yang banyak
  • Kegagalan jantung pada garis dasar dikaitkan dengan risiko kematian yang semakin meningkat, namun, hipertensi di garis dasar mengurangkan risiko kematian

Kualiti kawalan antagonis vitamin K dan keputusan selepas satu tahun: Perspektif global daripada daftar GARFIELD-AF

Kajian ini menganalisis masa dalam julat terapeutik (TTR) nisbah dinormalkan antarabangsa (menggunakan julat sasaran 2.0-3.0) dalam kalangan pesakit dengan AF bukan injap yang baru didiagnosis berhubung dengan demografi, tempat penjagaan dan keputusan selepas satu tahun. TTR merupakan penunjuk kualiti kawalan VKA dan boleh juga digunakan sebagai penunjuk hasil. Garis panduan Persatuan Kardiologi Eropah menyarankan TTR sebanyak ≥70%.[1]. Keputusan ini menunjukkan:

  • Kawalan VKA yang lemah dikaitkan dengan risiko kematian yang semakin meningkat dan angin ahmar/embolisme sistemik (SE)
  • TTR yang semakin meningkat daripada 60% hingga 70% mengurangkan risiko angin ahmar/SE
  • Kurang daripada pesakit yang didiagnosis di hospital mempunyai kawalan yang bagus berbanding pesakit yang didiagnosis di pejabat atau klinik antipenggumpalan/pusat trombosis.
  • Pengambilan alkohol yang banyak adalah lebih kerap dalam kalangan pesakit dengan kawalan yang lemah
  • Secara keseluruhan, kawalan VKA yang bagus merupakan kepentingan klinikal yang utama

Analisis GARFIELD-AF baharu ini dibuat berdasarkan data daripada Kohort 1 dan 2, yang termasuklah 17,168 orang pesakit yang direkrut antara tahun 2010 dan 2013.

GARFIELD-AF merupakan inisiatif penyelidikan akademik bebas, yang diketuai oleh jawatankuasa pandu antarabangsa yang bernaung di bawah Institut Penyelidikan Trombosis (TRI), London, UK. Sehingga ke hari ini, GARFIELD-AF telah merekrut lebih 40,000 orang pesakit yang baru didiagnosis dengan AF di 35 buah negara, menjadikannya salah satu kajian pemerhatian terbesar dalam bidang terapeutik ini. Dengan pengambilan pesakit bagi Kohort 5 yang bakal dimulakan, Daftar itu bakal mengambil sehingga 57,000 orang pesakit.

Latar Belakang Daftar GARFIELD-AF

GARFIELD-AF merupakan kajian prospektif pemerhatian berbilang pusat peringkat antarabangsa bagi pesakit yang baru didiagnosis dengan AF. Ia akan mengikuti secara prospektif 57,000 orang pesakit daripada sekurang-kurangnya 1,000 buah pusat di 35 buah negara di negara-negara benua Amerika, Eropah Timur dan Barat, Asia, Afrika, serta Australia. Permulaan Daftar ini berlaku serentak dengan permulaan era rawatan antipenggumpal bukan vitamin K (NOAC) untuk AF.

Pemahaman kontemporari AF adalah berdasarkan data yang dikumpul melalui ujian percubaan klinikal terkawal. Walaupun ia penting untuk menilai keberkesanan dan keselamatan rawatan baharu, percubaan ini tidak mewakili amalan klinikal harian, oleh itu, ketidakpastian masih wujud tentang beban dan pengurusan kehidupan sebenar bagi penyakit ini. GARFIELD-AF ingin menyediakan pemahaman tentang impak terapi antipenggumpalan ke atas komplikasi tromboembolus dan komplikasi pendarahan yang dilihat dalam populasi pesakit itu. Ia akan menyediakan pemahaman yang lebih baik tentang peluang berpotensi bagi memperbaiki penjagaan dan hasil klinikal antara kumpulan pesakit berperwakilan, berkepelbagaian dan merentasi populasi berbeza. Ini seharusnya dapat membantu pakar perubatan dan sistem penjagaan kesihatan menggunakan inovasi dengan cara yang sesuai bagi memastikan hasil yang terbaik bagi pesakit serta populasi.

Daftar itu dimulakan pada Disember 2009. Empat ciri rekaan utama bagi protokol GARFIELD-AF yang memastikan gambaran yang menyeluruh serta mewakili AF adalah:

  • Lima kohort berturutan untuk pesakit prospektif yang baru didiagnosis, memudahkan perbandingan tempoh masa berbeza dan menggambarkan perubahan rawatan serta hasil keputusan.
  • Tapak penyiasat yang dipilih rawak dalam pengagihan ketetapan penjagaan AF kebangsaan yang ditugaskan dengan teliti, memastikan populasi pesakit yang didaftarkan adalah berperwakilan.
  • Pendaftaran pesakit yang layak secara berturutan, tanpa mengira terapi bagi menghapuskan bias pemilihan berpotensi.
  • Data susulan yang dikumpul selama minimum 2 tahun dan sehingga 8 tahun selepas diagnosis, untuk menghasilkan pangkalan data menyeluruh bagi keputusan dan hasil rawatan dalam amalan klinikal harian.

Pesakit yang terlibat mestilah telah didiagnosis dengan AF bukan injap pada 6 minggu sebelumnya dan mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko tambahan angin ahmar; oleh itu, mereka merupakan calon berpotensi untuk terapi antipenggumpalan bagi mencegah darah beku yang akan menyebabkan angin ahmar. Terpulang kepada penyelidik untuk mengenal pasti faktor (atau faktor-faktor) risiko angin ahmar seseorang pesakit, yang tidak perlu dihadkan kepada hanya yang termasuk dalam markah risiko yang telah ditetapkan. Pesakit akan dimasukkan sama ada mereka menerima terapi antipenggumpalan atau tidak, agar strategi serta kegagalan rawatan semasa dan pada masa depan boleh difahami dengan baik berhubung dengan profil risiko tersendiri pesakit.

Daftar GARFIELD-AF dibiayai oleh geran penyelidikan tanpa had daripada Bayer Pharma AG.

Beban AF

Hampir 2% daripada populasi global menghidap AF.[2] Kira-kira 6 juta orang di Eropah[3], 3-5 juta orang di Amerika Syarikat[4],[5] dan sehingga 8 juta orang di China menghidap AF.[6],[7] Dianggarkan kadar prevalens ini akan bertambah sekurang-kurangnya dua kali ganda menjelang tahun 2050 ketika populasi global meningkat usia. AF memberi peningkatan lima kali ganda dalam risiko angin ahmar, dan satu daripada lima kes angin ahmar disebabkan oleh aritmia ini. Angin ahmar iskemik yang berkait dengan AF selalunya membawa maut, dan pesakit yang masih hidup biasanya akan menjadi kurang upaya dengan lebih kerap dan teruk serta berkemungkinan besar akan menderita pengulangan serangan berbanding pesakit dengan punca angin ahmar lain. Akibatnya, risiko kematian daripada angin ahmar berkaitan AF meningkat dua kali ganda dan kos penjagaan turut meningkat sebanyak 50%.[8]

AF berlaku apabila sebahagian atria mengeluarkan isyarat elektrik yang tidak teratur. Ini menyebabkan ruang jantung mengepam terlalu cepat dan tidak sekata, lalu tidak membenarkan darah dipam keluar sepenuhnya.[9] Akibatnya, darah akan bertakung, membeku dan menyebabkan trombosis, yang merupakan pembunuh kardiovaskular nombor satu di dunia.[10] Jika darah beku keluar daripada atrium kiri, ia boleh tersekat dalam arteri bahagian tubuh yang lain, termasuk otak. Darah beku pada arteri yang terdapat di dalam otak akan membawa kepada serangan angin ahmar. Sembilan puluh dua peratus daripada angin ahmar yang membawa maut terjadi disebabkan oleh trombosis.[10] Pesakit AF juga berisiko tinggi untuk mengalami kegagalan jantung, kelesuan kronik, dan masalah ritma jantung lain.[11] Angin ahmar merupakan punca utama kematian serta ketidakupayaan jangka masa panjang di seluruh dunia - setiap tahun 6.7 juta orang maut[12] dan 5 juta orang kekal cacat.[13]

Latar Belakang TRI 

TRI merupakan yayasan amal serta institut penyelidikan berbilang disiplin yang dikhususkan untuk mengkaji trombosis dan gangguan berkaitan. Misi TRI adalah untuk menyediakan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan pendidikan trombosis, untuk membangunkan strategi baharu bagi mencegah dan merawat trombosis sekali gus memperbaiki kualiti penjagaan, memajukan hasil keputusan klinikal, dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan. TRI merupakan ahli Sistem Sains Kesihatan Akademik Rakan Kongsi Universiti Kolej London.

Untuk maklumat lanjut, lawati http://www.tri-london.ac.uk/garfield.

  1. Camm AJ, Lip GY, De Caterina R, et al. 2012 focused update of the ESC Guidelines for the management of atrial fibrillation: an update of the 2010 ESC Guidelines for the management of atrial fibrillation. Ditulis dengan sumbangan khas Persatuan Ritma Jantung Eropah. Eur Heart J. 2012;33(21):2719-47.
  2. Davis RC, Hobbs FD, Kenkre JE, et al. Prevalence of atrial fibrillation in the general population and in high-risk groups: the ECHOES study. Europace 2012; 14(11):1553-9. 6/16/15. Boleh didapati di: http://europace.oxfordjournals.org/content/14/11/1553.long
  3. The Lancet Neurology. Stroke prevention: getting to the heart of the matter. Lancet Neurol 2010; 9(2):129. 6/16/15. Boleh didapati di: http://www.atrialfibrillation.org.uk/files/file/Articles_Medical/Lancet%20Neurology-%20getting%20to%20the%20heart%20of%20the%20matter.pdf
  4. Naccarelli GV, Varker H, Lin J, et al. Increasing prevalence of atrial fibrillation and flutter in the United States. Am J Cardiol 2009; 104(11):1534-9.
  5. Colilla S, Crow A, Petkun W, et al. Estimates of current and future incidence and prevalence of atrial fibrillation in the U.S. adult population. Am J Cardiol 2013; 112(8):1142-7. 6/16/15. Boleh didapati di: http://www.ajconline.org/article/S0002-9149(13)01288-5/fulltext
  6. Zhou Z, Hu D. An epidemiological study on the prevalence of atrial fibrillation in the Chinese population of mainland China. J Epidemiol 2008; 18(5):209-16. 6/16/15. Boleh didapati di: https://www.jstage.jst.go.jp/article/jea/18/5/18_JE2008021/_pdf
  7. Hu D, Sun Y. Epidemiology, risk factors for stroke, and management of atrial fibrillation in China. JACC 2008; 52(10):865-8. 6/16/15. Boleh didapati di: http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0735109708021141
  8. European Heart Rhythm Association; European Association for Cardio-Thoracic Surgery, Camm AJ, Kirchhof P, Lip GY, et al. Guidelines for the management of atrial fibrillation: the Task Force for the Management of Atrial Fibrillation of the European Society of Cardiology (ESC). 8/22/14. Eur Heart J 2010; 31(19):2369-429. 6/16/15. Boleh didapati di: http://eurheartj.oxfordjournals.org/content/early/2010/09/25/eurheartj.ehq278.full
  9. National Heart, Lung, and Blood Institute. What is Atrial Fibrillation? 6/16/15. Boleh didapati di: http://www.nhlbi.nih.gov/health/dci/Diseases/af/af_what.html
  10. International Society on Thrombosis and Haemostasis. About World Thrombosis Day. Boleh didapati di: http://www.worldthrombosisday.org/about/
  11. American Heart Association. Why Atrial Fibrillation (AF or AFib) Matters. 8/22/14. Boleh didapati di: http://www.heart.org/HEARTORG/Conditions/Arrhythmia/AboutArrhythmia/Why-Atrial-Fibrillation-AF-or-AFib-Matters_UCM_423776_Article.jsp
  12. World Health Organization. The top 10 causes of death. Fact sheet N°310. Dikemas kini Mei 2014. 6/16/15. Boleh didapati di: http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs310/en/
  13. World Heart Federation. The global burden of stroke. 6/16/15. Boleh didapati di: http://www.world-heart-federation.org/cardiovascular-health/stroke/

Sumber: Thrombosis Research Institute (TRI)

Source: Thrombosis Research Institute (TRI)
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries