Kajian global tinjau pandangan Kelompok Kepimpinan (C-suite) berhubung kesediaan menghadapi impak Revolusi Perindustrian Keempat pada masyarakat, strategi, tenaga kerja dan pelaburan teknologi
DAVOS, Switzerland, 22 Januari 2018 /PRNewswire/ -- Para eksekutif kanan perniagaan dan pemimpin agensi kerajaan dari serata dunia kurang yakin terhadap kesediaan organisasi mereka untuk mempengaruhi dan memanfaatkan peluang-peluang yang ditawarkan oleh Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), menurut satu laporan kajian oleh Deloitte Global bertajuk "The Fourth Industrial Revolution is Here—Are You Ready?" ("Revolusi Perindustrian Keempat Sudah Tiba—Adakah Anda Bersedia?")
Industri 4.0 dicirikan oleh gabungan antara teknologi fizikal dan digital, seperti analitik, kecerdasan buatan, pengkomputeran kognitif dan internet komunikasi benda (IoT). Deloitte Global menyoal selidik 1,600 eksekutif peringkat kepimpinan dari 19 negara dan menjalankan temubual bersemuka terpilih bagi meninjau kesediaan mereka untuk memanfaatkan Industri 4.0 demi memberi faedah kepada pelanggan, kakitangan, masyarakat dan pihak berkepentingan yang lain.
"Teknologi yang meningkat maju dengan pantas yang memacu Industri 4.0 membawa perubahan pesat dari segi sosial dan ekonomi dalam persekitaran fungsi ketersambungan global dan perubahan demografi yang tiada tandingan," kata Punit Renjen, Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Global. "Ini merupakan saat yang memberi peluang hebat, tetapi turut mengundang risiko. Kami menjalankan kajian ini untuk memahami dengan lebih baik sejauh mana para eksekutif menangani peralihan pervasif dan mengenal pasti segmen yang membolehkan mereka mempengaruhi sejauh mana Revolusi Perindustrian Keempat memberi kesan kepada organisasi mereka dan juga masyarakat dengan lebih berkesan."
Soalan-soalan menumpu pada empat topik utama: impak sosial, strategi, bakat/tenaga kerja dan teknologi. Keputusan tinjauan menunjukkan bahawa meskipun para eksekutif memahami konsep perubahan yang akan dibawa oleh Industri 4.0, mereka kurang yakin bagaimana sepatutnya mereka bertindak untuk mendapat manfaat daripada perubahan sedemikian. Dalam setiap empat segmen impak ini, tinjauan menemui sedikit percanggahan:
Impak Sosial:
Optimisme berbanding pemilikan – Meskipun para eksekutif dapat melihat masa depan yang lebih stabil dengan ketidaksamaan yang rendah, mereka kurang yakin tentang peranan yang dapat dimainkan oleh mereka mahupun organisasi mereka bagi mempengaruhi masyarakat dalam era Industri 4.0.
Strategi:
Statik berbanding dinamik – Para eksekutif mengakui mereka mungkin belum bersedia memanfaatkan perubahan berkaitan Industri 4.0, namun keraguan ini tidak mendesak mereka untuk mengubah strategi.
Bakat/Tenaga Kerja:
Evolusi berbanding revolusi – Para eksekutif tidak yakin mereka mempunyai bakat yang sesuai untuk berjaya dalam Industri 4.0. Walau bagaimanapun, mereka berpendapat mereka melakukan segala yang mereka mampu untuk membangunkan tenaga kerja yang tepat, meskipun bakat kurang menjadi tumpuan dalam senarai keutamaan mereka.
Teknologi:
Tercabar berbanding bersedia – Para eksekutif memahami bahawa mereka perlu melabur dalam teknologi untuk memacu model perniagaan baharu. Walau bagaimanapun, mereka mengalami kesukaran untuk menghasilkan bentuk perniagaan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang Industri 4.0 disebabkan oleh kekurangan penjajaran strategik dalaman serta tumpuan jangka pendek.
Kajian ini mendedahkan bahawa, secara keseluruhan, para eksekutif di seluruh dunia masih berada pada peringkat awal dalam mempersiapkan organisasi mereka untuk memanfaatkan seluruh potensi Industri 4.0. Mereka perlu merebut peluang untuk mengukuhkan hubungan penting yang akan memberi manfaat kepada pelanggan, kakitangan, organisasi, komuniti dan masyarakat mereka secara lebih luas:
"Saya percaya mereka yang berpandangan jauh adalah mereka yang akan berjaya dalam era baharu ini," ujar Renjen. "Mereka akan dapat melihat perkaitan antara perniagaan dan keperluan sosial, antara hasil kewangan dan strategi yang inovatif; antara produktiviti tenaga kerja dan ciri kestabilan serta kesejahteraan orang ramai; antara penggabungan teknologi sedia ada dan penciptaan penyelesaian serba baharu."
Untuk maklumat lannjut dan untuk melihat keputusan penuh kajian, baca laporan di sini.
Kaedah
Forbes Insights, bersama-sama Deloitte Global, menjalankan satu tinjauan global mencakupi 1,603 Ketua Eksekutif demi memahami pandangan mereka terhadap Industri 4.0 dengan lebih baik. Semua responden adalah daripada organisasi-organisasi yang mempunyai pendapatan tahunan melebihi US$1 bilion, dengan purata pendapatan berjumlah US$7.4 bilion. Ketua-ketua Eksekutif tersebut memimpin organisasi di Australia, Brazil, Kanada, China, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Iceland, India, Jepun, Mexico, Belanda, Norway, Afrika Selatan, Sepanyol, Sweden, United Kingdom dan juga Amerika Syarikat. Responden-responden ini mewakili 10 industri, dan tiada industri yang membentuk lebih 12 peratus daripada jumlah sampel. Tinjauan berkenaan dijalankan pada Ogos 2017.
Latar Belakang Deloitte
Deloitte merujuk kepada satu atau lebih Deloitte Touche Tohmatsu Limited, ("DTTL"), jaringan global firma ahlinya, dan entitinya yang berkaitan. DTTL (turut dirujuk sebagai "Deloitte Global") dan setiap firma ahlinya merupakan entiti yang berasingan dan bebas mengikut undang-undang. DTTL tidak menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan. Sila lihat www.deloitte.com/about untuk mengetahui lebih lanjut.
Deloitte ialah penyedia bertaraf global yang terkemuka bagi perkhidmatan audit dan jaminan, perundingan, khidmat nasihat kewangan, khidmat nasihat risiko, perkhidmatan cukai dan yang berkaitan dengannya. Jaringan firma ahli kami di lebih 150 negara dan wilayah menyediakan perkhidmatan kepada empat daripada lima syarikat Fortune Global 500®. Ketahui bagaimana kira-kira 264,000 kakitangan Deloitte mencetuskan impak yang penting di www.deloitte.com.