omniture

Lembaga pelaburan Filipina untuk perniagaan: perbaharui CSR, cipta model Perniagaan Inklusif

Philippine Board of Investments
2018-08-08 12:50 2769

MANILA, Filipina, 8 Ogos 2018 /PRNewswire/ -- Lembaga Pelaburan Filipina (BOI) menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk memanfaatkan pilihan Pelan Keutamaan Pelaburan (IPP) 2017-2019 untuk Perniagaan Inklusif bagi mengembangkan model-model perniagaan lestari daripada program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sedia ada. Dengan mengikuti langkah daripada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2015-2030, BOI menekankan peranan penting sektor swasta dalam membasmi kemiskinan.

"CSR menjadi tindak balas tradisi oleh sektor swasta terhadap nasib golongan miskin. Dengan beralih daripada CSR kepada Perniagaan Inklusif, para usahawan dapat membantu golongan miskin dengan cara yang dapat menjana pertumbuhan perniagaan dan mewujudkan impak sosial," kata Penolong Setiausaha Perdagangan Filipina dan Ketua Urusan BOI Ceferino Rodolfo.

Meskipun CSR bukanlah untuk menjana keuntungan, Perniagaan Inklusif melatih masyarakat untuk menjadi pembekal dan rakan niaga agar mereka memiliki sumber mata pencarian yang lebih stabil.

Menurut Business+, satu kajian bersama oleh BOI dan Pusat Sektor Swasta untuk Pembangunan Antarabangsa Istanbul (IICPSD) Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), syarikat-syarikat dapat mencipta model-model Perniagaan Inklusif mereka tanpa mengira saiz.

Perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME), yang membentuk 99.57 peratus daripada perusahaan Filipina, mempunyai kefleksibelan yang lebih baik untuk menyesuaikan model-model Perniagaan Inklusif. Di sisi yang lain, model-model Perniagaan Inklusif dalam syarikat-syarikat besar mempunyai capaian untuk memberikan skala impak yang lebih luas.

Sewaktu menyepadukan masyarakat-masyarakat miskin dalam perniagaan, rantaian nilai adalah penting untuk mencipta model-model Perniagaan Inklusif, pembangunan kemahiran pula penting terhadap kelestarian perniagaan. Pembekal bersaiz kecil, sebagai contoh, memerlukan latihan dalam bidang pemasaran, keusahawanan dan kewangan bagi membangunkan kemahiran dan menjamin bekalan berkualiti tinggi. Business+ turut menyarankan kolaborasi berbilang sektor yang dipertingkat untuk membawakan pengalaman pembelajaran ini.

Untuk membolehkan Perniagaan Inklusif berkembang maju, persekitaran kawal selia yang kondusif adalah penting. Sebagai contoh, Filipina telahpun memperkenalkan insentif untuk model-model Perniagaan Inklusif yang layak. Di bawah IPP, perusahaan-perusahaan sederhana dan besar dalam sektor pelancongan dan perniagaan tani yang menggabungkan perusahaan mikro dan kecil dalam rantaian nilai mereka boleh menerima pelepasan cukai selama lima tahun.

Walau bagaimanapun, model-model Perniagaan Inklusif turut tersedia dalam industri-industri Filipina yang lain seperti kesihatan, kewangan dan tenaga.

"Bagi mencipta model Perniagaan Inklusif, syarikat-syarikat memerlukan tahap kepakaran dan pengalaman yang tertentu. Membuat peralihan daripada CSR kepada IB adalah peluang untuk syarikat-syarikat terlibat dalam kolaborasi berbilang sektor tatkala mereka berusaha memenuhi pengetahuan dan keupayaan yang diperlukan," kata Rodolfo.

Source: Philippine Board of Investments
Keywords: Banking/Financial Service Corporate Social Responsibility Small Business Services