omniture

Indeks Keamanan Global: Keamanan Global Bertambah Baik buat Pertama Kali dalam Lima Tahun Namun Dunia Masih Kurang Aman Berbanding Sedekad Lalu

Institute for Economics & Peace (IEP)
2019-06-12 19:10 600

LONDON, 12 Jun 2019 /PRNewswire/ --

Keputusan Utama 

  • Ukraine mencatatkan penambahbaikan terbesar tahun ini; Nicaragua mencatatkan kemerosotan terbesar.
  • Lebih banyak negara merosot dalam aspek penenteraan mereka, 106 negara, berbanding negara yang mengalami peningkatan – meneruskan trend sepanjang dekad.
  • Sejak tahun 2008, keamanan global merosot sebanyak 3.78 peratus dengan 81 negara merosot dan 81 negara bertambah baik, lalu menunjukkan bahawa kemerosotan dalam keamanan umumnya lebih besar berbanding penambahbaikan.

Sorotan Utama Perubahan Iklim 

  • Lebih 400 juta orang menetap di kawasan-kawasan dengan tahap keamanan yang rendah dan mengalami risiko tinggi berlakunya perubahan iklim.
  • Lapan daripada 25 negara paling tidak aman meletakkan 103 juta penduduk pada risiko di kawasan bahaya iklim yang tinggi.
  • Di seluruh wilayah, sub-Sahara Afrika mempunyai keupayaan daya tindak paling lemah terhadap bahaya iklim, yang boleh memburukkan lagi konflik keganasan.

Sorotan Utama Kos KDNK/Ekonomi Keganasan

  • Kesan ekonomi keganasan terhadap ekonomi dunia menurun buat pertama kalinya sejak tahun 2012, yang berjumlah $14.1 trilion pada tahun 2018, atau 11.2 peratus atau $1,853 bagi setiap individu.
  • Negara-negara dengan tahap keamanan yang amat tinggi, secara puratanya mencapai pertumbuhan KDNK per kapita tiga kali ganda lebih tinggi berbanding negara-negara paling tidak aman sejak 60 tahun lalu.
  • Dalam sepuluh negara yang paling terjejas akibat keganasan, purata kos ekonomi keganasan bersamaan dengan 35 peratus KDNK, berbanding hanya 3.3 peratus di negara-negara yang paling kurang terjejas akibat keganasan.

Edisi ke-13 laporan Indeks Keamanan Global (GPI) tahunan, ukuran yang utama di dunia bagi keamanan global, mendedahkan bahawa purata kadar keamanan global bertambah baik buat pertama kalinya dalam tempoh lima tahun. Walau bagaimanapun, meskipun terdapatnya penambahbaikan, dunia masih jauh kurang aman pada masa kini berbanding sedekad lalu, dengan purata kadar keamanan merosot sebanyak hampir 4 peratus sejak tahun 2008. Laporan tahun ini melibatkan kajian baharu berhubung kesan-kesan yang mungkin timbul daripada perubahan iklim terhadap keamanan.

Lapan puluh enam negara telah meningkatkan skor mereka dalam laporan tahun 2019, manakala 76 negara mengalami kemerosotan. Iceland kekal sebagai negara yang paling aman di dunia, kedudukan yang diraih olehnya sejak tahun 2008. Ia turut disertai oleh New Zealand, Austria, Portugal dan Denmark di kedudukan teratas indeks tersebut. Bhutan mencatatkan penambahbaikan terbesar berbanding mana-mana negara dalam senarai 20 teratas, mendaki 43 anak tangga sejak 12 tahun lalu.

Afghanistan kini merupakan negara paling tidak aman di dunia, menggantikan Syria, yang kini merupakan negara kedua paling tidak aman. Sudan Selatan, Yaman dan Iraq mencakupi lima negara selebihnya yang paling tidak aman. Ini merupakan tahun pertama sejak pengenalan indeks tersebut bahawa Yaman disenaraikan antara lima negara paling tidak aman.

Dikeluarkan oleh badan pemikir antarabangsa Institute for Economics & Peace (IEP), laporan GPI merupakan analisis dipacu data yang paling komprehensif setakat ini terhadap keamanan, nilai ekonomi, trend dan bagaimana untuk membangunkan masyarakat yang aman. Laporan berkenaan meliputi 99.7 peratus daripada populasi dunia dan menggunakan 23 penunjuk kualitatif dan kuantitatif daripada sumber-sumber yang amat disegani untuk menyusun indeks tersebut. Penunjuk-penunjuk ini dihimpunkan kepada tiga domain utama: Perbalahan Berterusan, Keselamatan dan Sekuriti dan Penenteraan.

Steve Killelea , Pengasas dan Pengerusi Eksekutif IEP, berkata: "Biarpun keamanan telah bertambah baik dalam GPI tahun 2019, analisis mendalam mendapati terdapatnya campuran trend yang positif dan juga negatif. Meskipun konflik yang mendominasi dekad lalu seperti di Iraq dan Syria telah mula berkurangan, perbalahan baharu telah muncul di Yaman, Nicaragua dan Turki, lalu mengakibatkan sepuluh negara terbawah dalam indeks tersebut mengalami penurunan sebanyak lebih daripada purata global – meningkatkan ketaksamaan global dalam keamanan."

Empat daripada sembilan wilayah di dunia menjadi lebih aman sepanjang tahun lalu. Peningkatan terbesar dalam keamanan berlaku di wilayah Rusia dan Eurasia, diikuti dengan Timur Tengah dan Afrika Utara. Di kedua-dua wilayah, bilangan kematian akibat konflik menurun masing-masing di Ukraine dan Syria. Penurunan kematian akibat konflik dicerminkan oleh penurunan kematian akibat keganasan.

Dua daripada tiga domain GPI telah merosot sepanjang dekad lalu, dengan Perbalahan Berterusan merosot sebanyak 8.7 peratus manakala Keselamatan dan Sekuriti merosot sebanyak 4 peratus. Walau bagaimanapun, bertentangan dengan persepsi orang ramai, domain Penenteraan mencatatkan penambahbaikan 2.6 peratus sejak tahun 2008. Bilangan kakitangan perkhidmatan bersenjata bagi setiap 100,000 orang menurun di 117 negara manakala perbelanjaan ketenteraan sebagai peratusan KDNK menurun di 98 negara dengan hanya 63 negara meningkatkan perbelanjaan mereka.

Steve Killelea berkata: "Kebanyakan trend yang dicatatkan sepanjang dekad lalu menunjukkan tahap kerumitan keamanan dunia. Jelas sekali ia merupakan berita baik bahawa keganasan tajaan pihak kerajaan telah menurun dengan ketara sepanjang dekad lalu, dengan 62 negara meningkatkan skor mereka manakala hanya 42 mengalami kemerosotan. Walau bagaimanapun, pemenjaraan menunjukkan trend bertentangan dengan 95 negara meningkatkan kadar pemenjaraan berbanding 65 negara yang bertambah baik. AS telah mengurangkan kadar pemenjaraan sebanyak 11 peratus sepanjang dekad lalu, walau bagaimanapun, ia masih mengalami kadar pemenjaraan kedua tertinggi di dunia."

Laporan berkenaan turut menganalisis risiko sekuriti yang ditimbulkan oleh perubahan iklim. Analisis dalam laporan tersebut mendapati bahawa anggaran 971 juta orang menetap di kawasan-kawasan yang mengalami pendedahan tinggi atau amat tinggi terhadap bahaya iklim, dengan 400 juta penduduk ini menetap di negara-negara dengan tahap keamanan yang rendah. Sepuluh peratus daripada penduduk ini, atau 103.7 juta orang, menetap di negara-negara yang tersenarai sebagai 25 negara terbawah dalam GPI: Sudan Selatan, Iraq, Libya, Republik Demokratik Congo, Sudan, Korea Utara, Nigeria dan Mexico.

Kesan ekonomi keganasan terhadap ekonomi dunia pada tahun 2018 menurun buat pertama kalinya sejak tahun 2012, berkurangan sebanyak 3.3 peratus kepada $14.1 trilion. Angka ini bersamaan dengan 11.2 peratus daripada aktiviti ekonomi dunia atau $1,853 bagi setiap individu. Penambahbaikan terbesar adalah terhadap konflik bersenjata, lantaran penurunan keamatan konflik di Syria, Colombia dan Ukraine. Terdapat juga pengurangan ketara dalam kesan ekonomi keganasan, yang menurun sebanyak 48 peratus dari tahun 2017 hingga 2018. Bagi sepuluh negara yang paling terjejas akibat keganasan, kesan purata adalah bersamaan dengan 35 peratus daripada KDNK mereka, berbanding hanya 3.3 peratus dalam negara-negara yang paling aman di dunia. Syria mengalami penderitaan paling teruk pada kadar 67 peratus.

Tinjauan serantau:

  • Keamanan di Asia-Pasifik bertambah baik dalam ketiga-tiga domain GPI tahun lalu, sebahagian besarnya lantaran peningkatan dalam pembiayaan penjagaan keamanan PBB dan pengurangan demonstrasi ganas serta kematian akibat konflik dalaman. Walau bagaimanapun, kesan keganasan terus bertambah buruk, sebagaimana konflik dalaman yang diperjuangkan dan konflik luaran yang diperjuangkan. China mendaki dua anak tangga ke tempat ke-110, mendahului Algeria di tempat ke-111 dan di belakang Djibouti iaitu di tempat ke-109.    
  • Amerika Tengah dan Caribbean merosot dalam ketiga-tiga domain tahun lalu. Tujuh negara bertambah baik manakala lima negara merosot, namun demikian, sebagaimana biasanya berlaku penurunan keamanan, kemerosotan adalah lebih besar berbanding penambahbaikan.   
  • Eropah, wilayah yang paling aman di dunia, menjadi sedikit lebih aman pada tahun 2018 yang meneruskan trend sepanjang dekadnya. Dua puluh dua daripada 36 negara di Eropah bertambah baik. Eropah terus mendominasi kedudukan teratas dalam indeks tersebut, menyumbang 17 daripada 25 negara yang paling aman.   
  • Keamanan di Timur Tengah dan Afrika Utara, wilayah yang paling tidak aman di dunia, meningkat sedikit tahun lalu, berdasarkan penambahbaikan di 11 negara. Syria bukan lagi negara paling tidak aman di dunia dan pemulihan mula dapat dilihat di Iraq.   
  • Keamanan di Amerika Utara merosot tahun lalu, mencatatkan kemerosotan wilayah kedua terbesar. Kanada menunjukkan sedikit penambahbaikan dalam skor keseluruhan, namun demikian, kemerosotan di Amerika Syarikat adalah lebih besar dan diburukkan oleh peningkatan kadar pembunuhan, jenayah keganasan dan ketidakstabilan politik. Tatkala Kanada kekal sebagai salah satu daripada sepuluh negara yang paling aman di dunia, AS jatuh empat anak tangga ke tempat ke-128 – antara Afrika Selatan dan Arab Saudi.
  • Meskipun sebahagian besar Rusia dan Eurasia masih kurang aman berbanding purata global, ia merupakan salah satu daripada tiga wilayah yang bertambah baik dalam setiap domain GPI tahun lalu, seraya membawa kepada penambahbaikan serantau yang terbesar. Rusia jatuh satu anak tangga ke kedudukan 154, mendahului Republik Demokratik Congo di tempat ke-155 dan di belakang Pakistan di tempat ke-153.  
  • Hanya Colombia, Uruguay dan Chile bertambah baik di Amerika Selatan tahun lalu, manakala wilayah selebihnya, iaitu lapan negara lagi mengalami kemerosotan. Venezuela kini merupakan negara yang paling tidak aman di Amerika Selatan manakala Brazil mencatatkan penurunan kelima terbesar di seluruh dunia. 
  • Purata skor Asia Selatan bertambah baik tahun lalu lantaran penambahbaikan di Nepal, Pakistan dan Bhutan. Walau bagaimanapun, wilayah masih menduduki tempat kedua terbawah, hanya di hadapan wilayah berjirannya, MENA.
  • Di sub-Sahara Afrika, 27 daripada 44 negara di wilayah mengalami kemerosotan dalam aspek keamanan, mengakibatkan kepada kelemahan dalam ketiga-tiga domain GPI, manakala 12 daripada 23 penunjuk wilayah tersebut bertambah baik dan lapan merosot.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.visionofhumanity.org

CATATAN UNTUK EDITOR
Laporan penuh GPI, artikel dan peta interaktif disediakan di: www.visionofhumanity.org 
Twitter: https://twitter.com/GlobPeaceIndex (#GlobalPeace19)
Facebook: www.facebook.com/globalpeaceindex 

Latar Belakang Indeks Keamanan Global (GPI)
Ini merupakan edisi ke-13 GPI: ukuran utama di dunia bagi keamanan global yang dikeluarkan oleh Institute for Economics and Peace (IEP). Ia mengukur aspek konflik, keselamatan dan sekuriti domestik serta antarabangsa yang berterusan dalam masyarakat dan tahap penenteraan di 163 negara serta wilayah dengan mengambil kira 23 penunjuk.

Latar Belakang Institute for Economics and Peace
IEP ialah badan pemikir antarabangsa dan bebas yang dikhususkan untuk mengalihkan tumpuan dunia kepada keamanan sebagai ukuran positif, boleh dicapai dan ketara terhadap kesejahteraan dan kemajuan umat manusia. Ia mempunyai pejabat-pejabat di Sydney, Brussels, New York, The Hague, Bandar Raya Mexico dan Harare.

Logo - https://mma.prnewswire.com/media/792052/IEP_Logo.jpg  

 

Source: Institute for Economics & Peace (IEP)
Keywords: Advertising Aerospace/Defense Computer/Electronics Homeland Security Publishing/Information Service Accounting news, issues Economic news, trends, analysis Survey, Polls & Research Data Analytics