omniture

Daripada Alzheimer's Association International Conference 2020: Ujian Darah untuk Penyakit Alzheimer? Penanda Protein tau Bawa kita Selangkah Lebih Hampir

Alzheimer's Association
2020-07-29 22:36 649

CHICAGO, 29 Julai 2020 /PRNewswire/ -- Satu ujian darah yang ringkas untuk penyakit Alzheimer akan menjadi suatu kemajuan yang besar untuk individu-individu — dan yang berisiko — menghidap penyakit tersebut, keluarga, doktor dan juga penyelidik.

Di Alzheimer's Association International Conference® (AAIC®) 2020, para saintis melaporkan keputusan pelbagai kajian mengenai kemajuan "ujian" darah untuk versi tak normal protein tau, salah satu yang mungkin dapat mengesan perubahan dalam otak 20 tahun sebelum simptom-simptom demensia muncul. Laporan ini memberi tumpuan khususnya pada bentuk protein tau tertentu yang dikenali sebagai p-tau217, yang kelihatannya paling spesifik untuk penyakit Alzheimer dan yang paling awal menunjukkan perubahan yang dapat diukur.

Perubahan pada protein otak amiloid dan tau serta pembentukannya menjadi gumpalan yang mana masing-masing dikenali sebagai plak dan kekusutan, merupakan ciri-ciri fizikal penentu bagi penyakit Alzheimer dalam otak. Pembentukan kekusutan tau dipercayai amat berkait rapat dengan kemerosotan kognitif. Dalam keputusan yang baru dilaporkan ini, tahap darah/plasma p-tau217, salah satu bentuk tau yang terdapat dalam kekusutan ini, juga dilihat berkait rapat dengan pembentukan amiloid.

Pada masa kini, perubahan otak yang berlaku sebelum simptom-simptom demensia Alzheimer muncul hanya dapat dinilai dengan andal oleh imbasan tomografi pancaran positron (PET) dan daripada pengukuran protein amiloid dan tau dalam bendalir serebrospina (CSF). Kaedah-kaedah ini mahal dan bersifat invasif. Selain itu, ia seringkali tidak tersedia kerana ia tidak dilindungi oleh insurans atau sukar untuk diakses, atau kedua-duanya.

"Terdapat keperluan yang segera terhadap alat-alat diagnostik yang ringkas, murah, tidak invasif dan mudah didapati untuk penyakit Alzheimer. Teknologi pengujian baharu juga dapat menyokong pembangunan ubat-ubatan menerusi banyak cara. Umpamanya, dengan membantu mengenal pasti individu yang tepat untuk menjalani ujian klinikal dan dengan mengesan impak terapi yang diuji," kata Maria C. Carrillo, Ph.D., ketua pegawai sains Alzheimer's Association. "Kemungkinan pengesanan awal dan keupayaan untuk menghalang menerusi rawatan sebelum berlakunya kerosakan yang signifikan terhadap otak akibat penyakit Alzheimer akan membawa perubahan kepada individu, keluarga dan sistem rawatan kesihatan kita."

Umpamanya, ujian darah akan membolehkan penafsiran dan pemahaman mengenai perkembangan penyakit Alzheimer dalam populasi yang lebih besar, lebih pelbagai dan lebih teguh.

"Meskipun laporan-laporan ini memberangsangkan, ini merupakan keputusan awal dan kami masih belum mengetahui berapa lama masa yang akan diambil sehinggalah ujian ini dapat disediakan untuk kegunaan klinikal. Ia perlu diuji dalam kajian berskala besar dan jangka panjang seperti ujian klinikal penyakit Alzheimer," tambah Carrillo. "Di samping itu, kami perlu meneruskan kajian bagi memperhalusi dan menentusahkan ujian yang merupakan suatu pembangunan yang paling terkini – termasuk bendalir serebrospina dan biopenanda pengimejan PET."

P-tau217 Darah Mengesan Penyakit Alzheimer (contohnya Kedua-dua Plak dan Kekusutan) dengan Ketepatan Tinggi
Sebagaimana yang dilaporkan di AAIC 2020, sebuah pasukan penyelidik antarabangsa telah mengenal pasti biopenanda berasaskan darah yang amat tepat bagi mengesan penyakit Alzheimer dengan mengukur tahap p-tau217 dalam darah dan mengesahkan dapatan dalam populasi yang berbilang dan pelbagai. Para saintis mendapati bahawa, "kejituan diagnosis p-tau217 darah adalah setinggi kaedah diagnostik yang telah mantap, termasuk pengimejan tomografi pancaran positron (PET) dan biopenanda bendalir serebrospina, yang bersifat invasif, mahal dan kurang tersedia."

Pasukan penyelidikan ini dipimpin oleh Oskar Hansson, M.D., Ph.D., dari Lund University, Sweden dengan kerjasama Sebastian Palmqvist, M.D., Ph.D. dan Shorena Janelidze, Ph.D. dari Lund, Eric Reiman, M.D., dari Banner Alzheimer's Institute, AS, Jeffrey Dage, Ph.D., dari Eli Lilly, AS dan rakan-rakan penyelidikan yang lain. Penyelidik-penyelidik Lund University membentangkan keputusan di AAIC dan ia turut diterbitkan secara dalam talian.

Mereka mengkaji tiga kohort berbeza yang terdiri daripada lebih 1,400 kes, termasuk kajian berasaskan klinikal yang besar dari Sweden (kajian BioFINDER-2), kohort dengan pengesahan neuropatologi penyakit Alzheimer (Kajian Arizona mengenai Penuaan dan Gangguan Neurodegeneratif) dan lingkungan keluarga besar yang menghidap penyakit Alzheimer yang berpunca daripada genetik (pendaftaran Alzheimer dominan-autosom Colombia). Mereka menganalisis biopenanda percubaan semasa yang lain (p-tau217, p-tau181, Aβ42/40 dan rantaian ringan neurofilamen) dalam darah mahupun bendalir serebrospina, serta menjalankan pengimejan PET untuk patologi tau dan amiloid.

Dapatan utama daripada kajian berkenaan ialah p-tau217 darah dapat membezakan penyakit Alzheimer daripada gangguan neurodegeneratif lain dengan ketepatan diagnosis antara 89 dan 98 peratus. Dalam kajian ini, penilaian p-tau217 adalah lebih tepat untuk penyakit Alzheimer daripada ujian berasaskan darah untuk p-tau181, rantaian ringan neurofilamen atau nisbah 42/40 beta amiloid, serta pengimejan resonans magnetik (MRI). Bahkan, menurut penyelidik-penyelidik ini, prestasinya adalah serupa dengan kaedah yang ketara lebih mahal seperti pengimejan PET dan biopenanda bendalir serebrospina.

Penyelidik-penyelidik turut mendapati bahawa p-tau217 yang dianalisis dalam darah yang dikumpul semasa hidup dapat mengesan perubahan otak tau yang diukur dalam tisu otak yang dianalisis selepas meninggal dunia. Perubahan otak protein tau ini dianggap berkaitan dengan pengumpulan plak amiloid. P-tau217 dapat membezakan individu-individu yang mempunyai plak dan kekusutan daripada mereka tanpa patologi penyakit Alzheimer dengan ketepatan mencecah 89%, mereka yang mempunyai plak dan kekusutan yang lebih ekstensif dengan ketepatan mencecah 98% dan hasil daripada pengimejan PET tau dengan ketepatan mencecah 93%.

Tahap p-tau217 meningkat kira-kira tujuh kali ganda dalam penyakit Alzheimer, manakala dalam individu-individu dengan penyakit Alzheimer yang disebabkan oleh gen, tahap protein ini telah mula meningkat 20 tahun sebelum bermulanya gangguan kognitif. "Ujian ini, setelah ditentusahkan dan disahkan, membuka kemungkinan untuk membuat diagnosis awal penyakit Alzheimer sebelum peringkat demensia, yang amat penting untuk ujian klinikal yang menilai terapi baharu yang mungkin dapat menghentikan atau memperlahankan proses penyakit berkenaan," kata Hansson.

Amiloid Darah dan P-tau merupakan Penanda Tepat Amiloidosis Otak, Tauopati
Bagi memajukan penyelidikan mengenai ujian darah untuk penyakit Alzheimer, Suzanne Schindler, M.D., Ph.D., dari Washington University School of Medicine di St. Louis dan rakan-rakan sejawat menilai prestasi pelbagai ukuran amiloid dan tau dalam darah.

Menggunakan spektrometri jisim, para saintis memetakan protein tau plasma darah dan membandingkan keputusan ini dengan pengukuran CSF dan pengimejan PET. Berbanding dengan bentuk tau p-tau181 yang lebih dikenali, mereka mendapati bahawa p-tau217 lebih berkait rapat dengan pembentukan plak amiloid dalam otak sebagaimana yang diukur oleh imbasan PET.

Di samping itu, dapatan mereka menunjukkan bahawa pengukuran tahap beberapa bentuk p-tau yang berbeza dalam darah dari masa ke masa membolehkan doktor-doktor dan penyelidik-penyelidik untuk mengesan peringkat-peringkat perkembangan penyakit Alzheimer dalam kalangan individu yang menghidap penyakit berkenaan.

Menurut penyelidik-penyelidik tersebut, ujian darah untuk penyakit Alzheimer yang menggabungkan kedua-dua pengukuran amiloid dan tau mungkin membolehkan diagnosis demensia yang lebih awal dan lebih tepat dibuat bukan sahaja dalam peserta penyelidikan tetapi juga pesakit klinikal.

Para saintis melancarkan Kajian untuk Menilai Amiloid dalam Darah dan Pengimejan yang Berkaitan dengan Demensia (SEABIRD) bagi membangunkan dan mengesahkan biopenanda darah penyakit Alzheimer dalam kohort yang lebih pelbagai dan mewakili wilayah St. Louis yang lebih besar. SEABIRD akan merekrut lebih daripada 1,100 individu termasuk kepelbagaian dari segi bangsa, status sosioekonomi, sejarah perubatan dan status kognitif.

P-tau217 Plasma Setanding dengan P-tau181 untuk Membezakan Antara Penyakit Alzheimer dan Degenerasi Lobar Frontotemporal
Kajian-kajian terkini menunjukkan bahawa p-tau181 adalah lebih tiga kali ganda tinggi dalam kalangan mereka yang menghidap Alzheimer berbanding dengan warga emas yang sihat atau individu yang menghidap penyakit neurodegeneratif yang dikenali sebagai degenerasi lobar frontotemporal (FTLD). Di AAIC 2020, Elisabeth Thijssen, M.Sc. dan Adam L. Boxer, M.D., Ph.D., daripada UCSF Memory and Aging Center serta rakan-rakan sejawat melaporkan perbandingan p-tau181 dengan bentuk tau berkaitan yang dikenali sebagai p-tau217 bagi menentukan bentuk yang dapat mengenal pasti sebaiknya individu yang menghidap Alzheimer.

Kajian retrospektif ini melibatkan 617 peserta: 119 kawalan sihat, 74 kes penyakit Alzheimer (biopenanda-disahkan) serta 294 FTLD. Dalam kumpulan kajian ini, p-tau181 plasma meningkat tiga kali ganda dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit Alzheimer berbanding dengan kawalan dan FTLD. Peningkatan dalam p-tau217 plasma adalah lebih tinggi; lima kali ganda dalam penyakit Alzheimer berbanding dengan kumpulan sihat dan empat kali ganda berbanding FTLD. Keputusan perbandingan plasma menggambarkan dapatan daripada pengimejan PET tau dalam otak. P-tau181 mempunyai ketepatan 91% manakala p-tau217 mencapai ketepatan 96% dalam meramalkan sama ada seseorang mempunyai imbasan otak positif tau.

Menurut penyelidik-penyelidik berkenaan, kajian ini menunjukkan bahawa kedua-dua p-tau217 dan p-tau181 yang diukur dalam darah adalah tinggi bagi penyakit Alzheimer dan pengukuran ini amat berkait rapat dengan keputusan imbasan PET "piawaian emas". Ujian darah ini mungkin bermanfaat untuk mendiagnosis penyakit Alzheimer dan sebagai alat pemantauan dalam ujian klinikal untuk mengukur kesan-kesan rawatan terapi Alzheimer baharu.

Latar Belakang Alzheimer's Association International Conference (AAIC)
Alzheimer's Association International Conference (AAIC) ialah perhimpunan penyelidik-penyelidik yang terbesar di dunia dari seluruh dunia yang memfokuskan penyakit Alzheimer dan demensia lain. Sebagai sebahagian daripada program penyelidikan Alzheimer's Association, AAIC berperanan sebagai pemangkin untuk menjana pengetahuan baharu tentang demensia dan memupuk komuniti penyelidikan keserakanan yang penting.

Latar Belakang Alzheimer's Association
Alzheimer's Association ialah pertubuhan kesihatan sukarela seluruh dunia yang dikhususkan untuk penjagaan, sokongan dan penyelidikan penyakit Alzheimer. Misi kami adalah untuk menjadi peneraju bagi menghapuskan penyakit Alzheimer dan semua demensia lain dengan mempercepatkan penyelidikan global, mendorong pengurangan risiko dan pengesanan awal serta memaksimumkan penjagaan dan sokongan yang berkualiti. Kunjungi alz.org atau hubungi 800.272.3900. 

  • Oskar Hansson, PhD, et al. Phospho-tau217 and phospho-tau181 in plasma and CSF as biomarkers for Alzheimer's disease. (Pendana: Swedish Research Council, Knut and Alice Wallenberg Foundation dan Swedish Alzheimer Foundation)
  • Shorena Janelidze, PhD, et al. Plasma phospho-tau217 is a potential early diagnostic and prognostic biomarker of Alzheimer's disease. (Pendana: Swedish Research Council, Knut and Alice Wallenberg Foundation dan Swedish Alzheimer Foundation)
  • Suzanne Schindler, MD, PhD, et al. Mass spectrometry measures of plasma Aβ, tau and p-tau isoforms relationship to amyloid PET, tau PET, and clinical stage of Alzheimer's disease. (Pendana: U.S. National Institute on Aging)
  • Elisabeth Thijssen, MSc, et al. Comparative diagnostic performance of plasma P-tau217 and P-tau181 in Alzheimer's Disease and Frontotemporal Lobar Degeneration and correlations with [18F]Flortaucipir-PET uptake. (Pendana: U.S. National Institute on Aging, National Center for Advancing Translational Sciences, Tau Research Consortium)

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1219566/AAIC_2020_Logo.jpg?p=medium600

Source: Alzheimer's Association
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries Not for profit Trade show news