omniture

UOB labur $500j untuk tingkatkan keupayaan digital seluruh ASEAN dalam usaha menggandakan pelanggan runcit digital menjelang 2026

Bank menggabungkan keupayaan bank digital dan perbankan dalam UOB TMRW, platform tunggal yang akan memacu inovasi dan kepantasan ke pasaran
United Overseas Bank
2021-10-04 17:35 177

SINGAPURA, 4 Oktober 2021 /PRNewswire/ -- UOB hari ini mengumumkan bahawa ia akan melabur sehingga $500 juta dalam inisiatif inovasi digital dalam usaha menggandakan pelanggan runcit yang menggunakan perkhidmatan digitalnya ke lebih tujuh juta pelanggan di seluruh ASEAN menjelang 2026. Sebagai sebahagian daripada pelaburan ini, UOB akan menggabungkan inovasi bank digitalnya TMRW dengan skala dan kedalaman produk aplikasi mudah alihnya UOB Mighty dalam satu platform – UOB TMRW.

Kelvin Lam, Ketua TMRW dan Perbankan Digital Kumpulan, UOB
Kelvin Lam, Ketua TMRW dan Perbankan Digital Kumpulan, UOB

Berlatarbelakangkan penggunaan digital yang dipercepat lantaran pandemik, perbankan digital kini menjadi pilihan utama kebanyakan pelanggan UOB. Di Singapura sahaja, penggunaan saluran pembayaran digital seperti PayNow dan kod QR meningkat lebih 200 peratus manakala deposit dan pengeluaran tunai secara fizikal menurun lebih 30 peratus pada 2020.

UOB merupakan bank pertama di rantau ini untuk membangunkan model perniagaan baharu yang bertumpu pada penglibatan pelanggan apabila ia melancarkan TMRW, bank digital pertama ASEAN pada 2019. UOB membangunkan TMRW dengan enjin penglibatan digital berpandukan kecerdasan buatan (AI) yang menggabungkan penyelesaian teknologi kewangan yang terbaik untuk mengkategorikan dan menganalisis jumlah besar data transaksi dalam masa nyata. Enjin penglibatan digital UOB merupakan teras di sebalik keupayaan Bank untuk meramal dan memberi petunjuk serta penyelesaian yang relevan kepada pelanggan berdasarkan corak perbankan mereka.

Di bawah platform UOB TMRW yang disatukan ini, Bank akan terus menjangkaui batasan inovasi bagi mewujudkan pengalaman perbankan diperibadikan yang unik kepada setiap pelanggan UOB. UOB merupakan bank pertama di Singapura yang melancarkan petunjuk (insight) diperibadikan berpandukan AI pada November 2019, inovasi yang dipelopori di ASEAN oleh bank digitalnya TMRW. Sejak itu, lebih 40 juta petunjuk telah diberi yang diterima dengan baik oleh pelanggan di Singapura. Pasukan UOB TMRW yang mengumpulkan pakar dari pelbagai bidang termasuk teknologi, sains tingkah laku, sains data dan perbankan akan terus mendorong budaya tangkas dengan peningkatan baharu kepada aplikasi mudah alih.

Encik Wee Ee Cheong, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB berkata, "Penglibatan pelanggan merupakan pembeza utama dalam pengalaman perbankan digital UOB. Sebagai sebahagian daripada strategi kami untuk meningkatkan dan mengkomersialkan keupayaan bank digital kami di seluruh rantau ini, kami telah melancarkan TMRW di Indonesia dan Thailand dengan jayanya dalam tempoh hanya dua tahun sahaja.

"Dalam tempoh dua tahun tersebut, kami turut menyaksikan pengamalan digital yang dipercepat akibat COVID-19 sehingga ke tahap di mana digital bukan lagi pilihan satu segmen, malah merupakan pilihan utama. Sekarang merupakan masa yang baik untuk menggabungkan keupayaan bank digital kami. Dengan memanfaatkan keupayaan terbaik TMRW dan UOB Mighty dalam satu platform, kami dapat memanfaatkan ekonomi berskala untuk mempercepatkan inovasi terutamanya dalam bidang pengalaman perbankan digital yang diperibadikan dan kepantasan ke pasaran."

TMRW kekal sebagai salah satu bank digital yang mempunyai penglibatan tertinggi di ASEAN, setelah berjaya memenangi pelbagai anugerah termasuk bank digital terbaik di Indonesia dan Thailand baru-baru ini. Pelanggan TMRW juga memberi penarafan tinggi kepada bank digital ini dari segi kepuasan, di mana skor promoter bersih TMRW merupakan antara yang teratas di Thailand dan Indonesia. Ciri 'semua dalam satu' UOB Mighty yang unik turut diberi penarafan tinggi[1] oleh pelanggan yang memilih untuk melakukan semua transaksi perbankan mereka seperti pembayaran, pelaburan dan ganjaran dalam satu aplikasi. Pada Julai 2021, UOB Mighty menambah satu lagi anugerah kepada senarai penghargaannya dengan memenangi 'Inovasi Produk Pelaburan Terbaik Tahunan' untuk penyelesaian kekayaan digitalnya, SimpleInvest.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan UOB TMRW, Bank melancarkan versi beta bagi aplikasi perbankan digital baharunya yang menyediakan keupayaan bank digital kepada semua kakitangan yang berpangkalan di Singapura. Selepas berjaya menjalankan ujian beta, UOB TMRW akan dilancarkan untuk semua pelanggan UOB di Singapura lewat tahun ini. Pelanggan UOB Mighty yang berada di Singapura akan dapat beralih kepada UOB TMRW pada tempoh tersebut.

Encik Kevin Lam, Ketua TMRW dan Perbankan Digital Kumpulan, berkata, "Kami berada di peringkat permulaan fasa baharu yang menarik ke arah usaha peruncitan digital kami. Pelancaran UOB TMRW di Singapura mengesahkan komitmen kami untuk menggandakan model berpandukan data yang bergantung pada pewujudan pengalaman digital yang diperibadikan untuk pelanggan kami. Kami membayangkan masa depan di mana pengalaman perbankan digital UOB dan penyelesaian serta perkhidmatan yang ditawarkan dapat disesuaikan kepada setiap pelanggan, berdasarkan corak perbankan mereka. Dalam fasa baharu ini, matlamat kami adalah untuk meneroka sejauh mana teknologi membolehkan kami menjadikan perbankan digital masa depan lebih pintar selain lebih intuitif buat pelanggan kami. Kami akan sentiasa berusaha meningkatkan UOB TMRW setiap beberapa bulan untuk menjadikan perbankan mudah, menarik dan telus bagi semua pelanggan UOB."

UOB akan melancarkan UOB TMRW secara berperingkat dalam pasaran ASEAN utama, dengan pasaran seterusnya dijangka dilancarkan dalam 18 bulan akan datang.

Latar Belakang UOB 

United Overseas Bank Limited (UOB) adalah sebuah bank terkemuka di Asia dengan rangkaian global yang terdiri daripada lebih 500 pejabat di 19 negara dan wilayah di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Sejak penubuhannya pada 1935, UOB telah berkembang secara organik dan melalui beberapa pengambilalihan strategik. UOB menerima penarafan di antara bank terkemuka dunia: Aa1 oleh Moody's dan AA- oleh Standard & Poor's dan Fitch Ratings. Di Asia, UOB beroperasi di ibu pejabatnya di Singapura dan anak syarikat perbankannya di China, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam, serta pejabat cawangan dan wakil di seluruh rantau. 

Selama lebih lapan dekad, kakitangan UOB telah mengamalkan semangat keusahawanan, dengan menumpu pada pewujudan nilai jangka panjang dan komitmen yang teguh untuk melakukan apa yang tepat untuk pelanggan dan kakitangan kami.

Kami merupakan pembekal perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab dan kami komited untuk melakukan perbezaan dalam kehidupan pemegang berkepentingan kami dan juga dalam komuniti di mana kami beroperasi. Sama seperti dedikasi kami untuk membantu pelanggan kami menguruskan kewangan secara bijak dan mengembangkan perniagaan mereka, UOB berpegang teguh dalam sokongan kami terhadap pembangunan sosial, terutamanya dalam bidang seni, kanak-kanak dan pendidikan.

[1] UOB Mighty adalah aplikasi perbankan digital lengkap yang terbaik di App Store dan Google Play Store sehingga 24 September 2021.

 

Source: United Overseas Bank
Related Stocks:
OTC:UOVEY Singapore:U11
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Entertainment Mobile Entertainment Telecommunications New products/services Financial Technology