omniture

Keputusan Henley Passport Index Mengesan Gelombang Kejutan Geopolitik apabila Tabir Besi Baharu Diturunkan

Henley & Partners
2022-04-05 16:00 99

LONDON, 5 April 2022 /PRNewswire/ --Enam minggu selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kesan ke atas perjalanan dan mobiliti bebas adalah lebih dramatik daripada yang diramalkan oleh pengulas paling pesimis ketika peperangan bermula. Keputusan terkini daripada Henley Passport Index — kedudukan asal semua pasport di dunia mengikut bilangan destinasi yang boleh diakses oleh pemegangnya tanpa visa terdahulu — jelas menggambarkan kesan peperangan yang sungguh dalam dan mungkin sukar dipulihkan dari segi kebebasan untuk bergerak di rantau tersebut apabila Tabir Besi kini diturunkan.

Pencerobohan ini telah mencetuskan krisis pelarian terburuk di Eropah sejak Perang Dunia II, dengan lebih 4 juta rakyat Ukraine melarikan diri ke negara jiran. EU, AS, Kanada dan negara-negara Barat yang lain telah menutup ruang udara mereka kepada Rusia, mengenakan sekatan perjalanan yang ketat ke atas individu dengan kerakyatan Rusia, dan dalam kebanyakan kes berhenti memproses permohonan visa sama sekali, dengan sebahagian besar negara-negara maju menganggap bahawa pasport Rusia kini berstatus tidak laku.

Pada sisi lain, EU pula telah meluluskan pelan kecemasan yang membenarkan rakyat Ukraine tinggal dan bekerja di mana-mana 27 negara anggotanya sehingga tiga tahun, sementara negara Barat yang lain menyelaraskan polisi visa mereka yang memihak kepada pemegang pasport Ukraine atau mengecualikan keperluan visa sama sekali. Menurut Henley Passport Index terkini yang berdasarkan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), pada masa ini, Ukraine mempunyai skor tanpa visa/visa semasa ketibaan sebanyak 143, rekod yang tinggi untuk negara tersebut yang kini berada pada kedudukan ke-34 dalam indeks ini (naik 26 kedudukan sejak 2012), manakala Rusia ketinggalan pada kedudukan ke-49 dengan skor sebanyak 117 — jurang yang mungkin akan meningkat dalam beberapa bulan akan datang.  

Sementara itu, dalam penilaian tersebut, Jepun dan Singapura terus berkongsi kedudukan nombor satu dengan pemegang pasport mereka boleh mengakses 192 destinasi di seluruh dunia tanpa visa, tanpa mengambil kira tentang sekatan sementara Covid. Jerman dan Korea Selatan berkongsi tempat ke-2 dengan skor tanpa visa/visa semasa ketibaan sebanyak 190, manakala Finland, Itali, Luxembourg dan Sepanyol berkongsi tempat ke-3 dengan pemegang pasport mereka berupaya mengakses 189 destinasi di seluruh dunia tanpa perlu mendapatkan visa terlebih dahulu. UK yang baru-baru ini menghentikan semua sekatan berkaitan Covid, kini menduduki tempat ke-5 dengan skor sebanyak 187, manakala AS berada hanya satu tempat di belakangnya iaitu pada kedudukan ke-6 dengan skor sebanyak 186. Afghanistan kekal pada kedudukan terbawah dalam indeks tersebut dengan rakyatnya yang hanya boleh mengakses 26 buah destinasi tanpa visa.

Dr. Christian H. Kaelin, Pengerusi Henley & Partners mengatakan bahawa perkembangan terkini tersebut memberikan gambaran unik tentang dunia yang tidak menentu dan pantas berubah. "Apabila nilai pasport Rusia menurun dengan cepat, manakala seluruh dunia pula membuka pintu kepada rakyat Ukraine, jelas sekali bahawa pasport yang anda pegang menentukan nasib anda dan memberi kesan yang besar kepada peluang yang anda miliki. Walaupun mustahil untuk meramalkan keadaan dunia dengan bayangan Perang Dingin baharu, indeks terkini ini menunjukkan bahawa jurang antara Rusia dengan kebanyakan negara Barat akan lebih meningkat."

Mengulas dalam Laporan Mobiliti Global Henley untuk suku ke-2 2022 yang dikeluarkan hari ini bersama-sama dengan Henley Passport Index yang terkini, Dr. Parag Khanna, pengarang buku paling laris yang juga merupakan Pengasas FutureMap, mengatakan bahawa penyelesaian yang kreatif diperlukan apabila penghijrahan secara besar-besaran mula menjadi kebiasaan. "Apabila berdepan dengan peperangan atau gangguan iklim, naluri 'lawan atau lari' kita mula tercetus manakala tindak balas wajar kita pula ialah untuk berpindah mencari keadaan yang lebih sesuai. Kita kini kembali menjadi spesies migrasi. Dalam dekad yang datang, gangguan iklim akan mengancam beberapa kawasan di planet kita yang menjadikan ia tidak dapat didiami, maka berjuta-juta manusia jika bukan berbilion-bilion, perlu mencari tempat tinggal baharu."

Menurut penyelidikan eksklusif oleh Henley & Partners dan Analisis Pengetahuan Mendalam terhadap perkaitan antara kuasa pasport dengan kerentanan dan kesediaan perubahan iklim, negara yang kaya dan maju dengan akses tanpa visa tertinggi turut mendapat skor yang tinggi apabila melibatkan kesediaan mereka untuk menyesuaikan diri dengan krisis iklim. Charles Phillips daripada Oxford Business Group berkata, "Kita dapat melihat perkaitan rapat antara prestasi penyesuaian iklim dengan kebebasan perjalanan antarabangsa. Ia menunjukkan kenyataan sebenar bahawa kewarganegaraan dan pasport anda benar-benar penting apabila melibatkan pengurangan risiko iklim".

Sebastian Mikosz, Naib Presiden Alam Sekitar dan Kelestarian IATA mengatakan bahawa ramalan menunjukkan terdapat permintaan untuk 10 bilion perjalanan penumpang menjelang tahun 2050 (meningkat daripada kira-kira 4 bilion sebelum pandemik). "Kebanyakan peningkatan ini datangnya daripada penumpang yang belum pernah berpeluang untuk mengikuti perjalanan udara sebelum ini: di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Kita serahkan kepada penumpang penerbangan generasi akan datang untuk mencari penyelesaian yang mampan, supaya mereka dapat menikmati dan memanfaatkan perjalanan udara seperti yang telah kita lakukan setakat ini."

Baca Siaran Akhbar Penuh 

 

 

Source: Henley & Partners
Keywords: Banking/Financial Service Publishing/Information Service Travel Survey, Polls & Research