omniture

DATA GSMA BAHARU MEMBERI AMARAN KEPADA JURANG JANTINA DIGITAL

GSMA
2022-06-15 23:39 133

Laporan Baharu Menunjukkan Kelembapan Penyertaan Digital yang Membimbangkan dalam kalangan Wanita di Negara Berpendapatan Rendah dan Sederhana. 

LONDON, 15 Jun 2022 /PRNewswire/-- Peluasan akses Internet mudah alih di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC) sedang berjalan dengan pantas, namun berisiko meninggalkan kaum wanita jauh ke belakang, menurut analisis baharu yang diterbitkan hari ini oleh GSMA.

GSMA Mobile Gender Gap Report 2022
GSMA Mobile Gender Gap Report 2022

Laporan Jurang Jantina Mudah Alih GSMA 2022 menunjukkan bahawa selepas bertahun-tahun kemajuan dicapai ke arah penyertaan digital kaum wanita yang sama di seluruh LMIC, hanya 59 juta wanita yang bertambah dalam LMIC mula menggunakan Internet mudah alih pada tahun 2021 berbanding 110 juta pada tahun 2020.

Kadar pertumbuhan yang perlahan bagi kaum wanita yang menggunakan Internet mudah alih di seluruh LMIC baru-baru ini adalah berbeza dengan kadar pertumbuhan tinggi yang berterusan bagi kaum lelaki lelaki. Ia menunjukkan kali pertama data GSMA mencatatkan trend negatif seperti ini.

Di seluruh LMIC, laporan tersebut menunjukkan bahawa jurang jantina Internet mudah alih telah mengecil setiap tahun dari tahun 2017 hingga 2020, daripada 25 peratus kepada 15 peratus. Walau bagaimanapun, data GSMA dari tahun 2021 menunjukkan bahawa momentum ini telah hilang. Golongan wanita kini 16 peratus kurang cenderung untuk menggunakan Internet mudah alih berbanding lelaki, bersamaan dengan 264 juta wanita yang kurang menggunakan Internet mudah alih berbanding lelaki.

Di Asia Selatan, rantau yang secara tradisinya mempunyai jurang jantina mudah alih yang paling luas, menunjukkan kemelesetan yang lebih ketara. Jurang jantina Internet mudah alih telah mengecil dengan ketara, daripada 67 peratus pada tahun 2017 kepada 36 peratus pada tahun 2020, tetapi kini jurang ini meluas kepada 41 peratus.

Ketua Pengarah GSMA, Mats Granryd berkata: "Selama beberapa dekad, Internet mudah alih telah mengubah kehidupan wanita di seluruh dunia, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Namun begitu, statistik yang membimbangkan dalam Laporan Jurang Jantina Mudah Alih 2022 kami menunjukkan bahawa masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengelakkan wanita daripada ketinggalan dalam ekonomi digital. Institusi, perbadanan dan kerajaan di seluruh dunia perlu memberi tumpuan kepada kepentingan keterangkuman dan berusaha dengan giat untuk memerangi ketidaksamaan tersebut. GSMA komited untuk bekerjasama dengan pengendali mudah alih dan pihak berkepentingan kerajaan dalam menangani trend negatif ini dan memastikan bahawa kaum wanita tidak ketinggalan mengikuti kuasa transformatif teknologi mudah alih walau di mana jua mereka tinggal di dunia ini."

Penemuan ini sangat penting memandangkan peranti mudah alih kekal sebagai cara utama kaum wanita untuk mengakses Internet di seluruh LMIC malah manfaat kesalinghubungan Internet boleh membawa perubahan dalam kehidupan. Secara khususnya, pandemik COVID-19 telah menunjukkan kepentingan telefon bimbit sebagai alat yang berharga untuk membantu wanita mengakses maklumat kesihatan, kekal berhubung dengan keluarga mereka semasa sekatan pergerakan, meneruskan peluang untuk menjana pendapatan serta mengakses bantuan kerajaan.

Tindakan industri 

GSMA memperkenalkan Inisiatif Komitmen Connected Women pada tahun 2016 untuk memangkin tindakan yang boleh merapatkan jurang jantina mudah alih. Sepanjang tempoh tersebut, lebih 40 pengendali mudah alih di seluruh Afrika, Asia dan Amerika Latin telah membuat komitmen rasmi untuk mempercepat rangkuman digital dan kewangan bagi kaum wanita. Pengendali ini telah menjangkau lebih 55 juta wanita tambahan dengan Internet mudah alih atau perkhidmatan wang mudah alih.

Walau bagaimanapun, para pengendali mudah alih juga tidak boleh bekerja secara berasingan. Jurang jantina mudah alih ini merupakan isu global yang penting serta memerlukan perhatian daripada semua pihak berkepentingan untuk memastikan golongan wanita dan keluarga mereka mendapat manfaat sepenuhnya daripada kesalinghubungan. Secara keseluruhan, hanya 60% daripada golongan wanita dalam LMIC kini menggunakan Internet mudah alih, berbanding 71% bagi golongan lelaki.

Laporan tahunan Jurang Jantina Mudah Alih GSMA dibiayai oleh Pejabat Luar Negara, Komanwel dan Pembangunan UK (FCDO) dan Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa Sweden (Sida) melalui Yayasan Mudah Alih untuk Pembangunan GSMA. Laporan ini memainkan peranan penting dalam mengukur jurang jantina mudah alih dan menjana data peringkat negara serta serantau untuk menarik perhatian ramai terhadap isu ini, serta menyediakan bukti utama untuk memberi maklumat tentang tindakan pihak berkepentingan.

Penemuan pada tahun ini menunjukkan betapa pentingnya untuk terus mengumpul data bagi memahami isu serta menangani halangan utama yang mencegah wanita daripada mengakses dan mendapat manfaat daripada Internet mudah alih, termasuk kemampuan, kemahiran digital dan norma sosial yang menghalang akses dan penggunaan teknologi mudah alih oleh kaum wanita.

Hanya dengan tindakan yang bersepadu dan kerjasama daripada pihak berkepentingan yang berbeza, kita benar-benar dapat memacu perkembangan dalam isu ini serta memastikan bahawa ketidaksamaan jantina tidak terus berakar umbi.

Laporan Jurang Jantina Mudah Alih GSMA 2022 boleh didapati di:https://www.gsma.com/r/gender-gap/

Maklumat lanjut tentang Inisiatif Komitmen Connected Women boleh didapati di: https://www.gsma.com/mobilefordevelopment/connected-women/the-commitment/

Tentang GSMA 

GSMA ialah sebuah organisasi global yang menyatukan ekosistem mudah alih untuk meneroka, membangunkan dan menghasilkan inovasi asas yang mengubah suasana perniagaan dan masyarakat yang positif. Visi kami adalah untuk memanfaatkan kuasa saling hubungan sepenuhnya supaya orang ramai, industri dan masyarakat dapat berkembang maju. Mewakili para pengendali dan organisasi mudah alih di seluruh ekosistem mudah alih dan industri berkaitan, GSMA menyampaikan tiga tonggak yang luas kepada ahlinya: Saling Hubungan untuk Kebaikan, Perkhidmatan dan Penyelesaian Industri serta Jangkauan. Aktiviti ini merangkumi usaha memajukan dasar, menangani cabaran terbesar masyarakat pada hari ini, menyokong teknologi dan saling kendalian yang menjayakan mudah alih dan menyediakan platform terbesar di dunia untuk menyatukan ekosistem mudah alih pada siri acara MWC dan M360.

Anda dijemput untuk mendapatkan maklumat lanjut di gsma.com

Tentang Connected Women GSMA 

Program Connected Women GSMA bekerjasama dengan pengendali mudah alih dan rakan kongsi mereka untuk menangani halangan tentang keupayaan wanita dalam mengakses dan menggunakan perkhidmatan Internet mudah alih dan wang mudah alih. Connected Women menyasarkan untuk mengurangkan jurang jantina dalam perkhidmatan Internet mudah alih dan wang mudah alih serta memperkenalkan peluang komersial yang penting untuk industri mudah alih dan juga manfaat sosioekonomi untuk kaum wanita.

Laporan ini merupakan hasil projek Yayasan Mudah Alih untuk Pembangunan GSMA yang dibiayai oleh Pejabat Luar Negara, Komanwel dan Pembangunan UK (FCDO) dan Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa Sweden (Sida). Pandangan yang dinyatakan ini tidak semestinya mewakili mana-mana organisasi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.gsma.com/connectedwomen

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1839800/GSMA.jpg?p=medium600

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1385555/GSMA_Logo.jpg?p=medium600

Source: GSMA
Keywords: Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Telecommunications Survey, Polls & Research Women-related news Data Analytics