omniture

CGTN: 'Pendekatan Baharu': Hospital bersiap sedia mengutamakan pesakit COVID-19

CGTN
2022-12-14 23:59 55

BEIJING, 14 Disember 2022 /PRNewswire/ -- Bagi mengulangi garis panduan baharu China untuk pencegahan dan kawalan COVID-19, kerajaan dan hospital tempatan di seluruh negara ini telah mengoptimumkan perkhidmatan perubatan dan peruntukan sumber perubatan bagi menghadapi lonjakan yang mungkin berlaku dalam kalangan pesakit dan menjaga warga emas serta kumpulan yang paling rentan dengan lebih baik.

Pada 11 November, negara ini mengumumkan 20 langkah pencegahan dan kawalan COVID-19 yang baharu. Selain itu, 10 langkah baharu yang lain diterbitkan pada 7 Disember untuk mengoptimumkan lagi dasar kawalan COVID-19 China.

Langkah-langkah berkenaan memerlukan peningkatan sumber perubatan bagi mengutamakan pesakit COVID-19.

Memandangkan varian Omicron yang terkini merebak pantas dengan kadar keberjangkitan yang kuat, sesetengah hospital di bandar-bandar utama termasuk Beijing, Shanghai dan Wuhan menyaksikan orang ramai beratur berjam-jam untuk memasuki klinik demam.

Bagi mengelakkan panik dan tekanan ke atas sumber perubatan, kerajaan dan hospital tempatan menaik taraf hospital sementara sedia ada, menambah katil ICU dan mengagihkan sumber perubatan dengan lebih baik.

China membina hospital-hospital sementara untuk menerima dan merawat pesakit COVID-19 bergejala ringan dan menyekat penularan virus. Dengan kelonggaran langkah-langkah kawalan dan pencegahan COVID-19, lebih banyak hospital sementara telah dinaik taraf dan diubah menjadi hospital-hospital peringkat bandar sub-khusus berdasarkan saiz populasi setiap bandar.

Jiao Yahui, ketua pengarah Biro Pentadbiran Perubatan di bawah Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, berkata di satu sidang media pada 9 Disember bahawa hospital-hospital sub-khusus akan merawat pesakit dan bukannya hanya mengasingkan mereka seperti yang dilakukan oleh hospital-hospital kabin bergerak. Beliau turut berkata 10 peratus daripada katil di hospital-hospital ini akan ditukar menjadi katil-katil unit rawatan rapi (ICU).

"Terdapat 138,100 katil ICU di China, yang mana 106,500 berada di institusi-institusi perubatan terunggul. Secara purata, terdapat 10 katil ICU untuk setiap 100,000 orang," kata Jiao.

Pakar-pakar juga telah menyediakan maklumat pendidikan kepada orang ramai tentang virus tersebut dan meminta pesakit tanpa gejala dan pesakit bergejala ringan agar tidak meluru ke hospital atau menyesakkan nombor panggilan kecemasan 120 bagi memastikan sumber perubatan tersedia untuk kes-kes yang mungkin teruk.

Banyak hospital di negara ini telahpun mula mengubah pendekatan mereka.

Lu Wei, seorang pakar urologi dengan sebuah hospital daerah di Chongqing, barat daya China, memberitahu CGTN bahawa sebuah hospital sementara yang dibina oleh hospital daerah itu untuk mengasingkan dan merawat pesakit COVID-19 dijangka akan ditamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi, bersekali dengan perubahan dasar negara.

"Bukan mudah untuk beratus-ratus orang pesakit dan kakitangan perubatan untuk ditahan di hospital sementara yang dibina di pinggir bandar jauh dari keluarga mereka," kata Lu. "Ia sukar terutamanya apabila mereka berada di sana untuk tempoh yang lebih lama."

Lu berkata daripada membiarkan hospital sementara itu dibuka, hospital daerah sebaliknya akan meluaskan jabatan rawatan demam sedia adanya menjadi zon khusus untuk pesakit COVID-19. Doktor-doktor daripada jabatan-jabatan lain juga boleh ditetapkan untuk merawat pesakit mereka dalam zon ini dan tidak memerlukan tempoh kuarantin yang berlebihan.

Pesakit-pesakit yang menghidap penyakit lain tidak lagi perlu menjalani ujian COVID-19, hanya pesakit warga emas yang akan diuji untuk mengesan virus tersebut dan perhatian khusus akan diberikan kepada mereka sekiranya keputusan positif, kata Lu.

Beijing juga telah menubuhkan klinik demam baharu dan bilik rundingan atau meluaskan bilik-bilik sedia ada, yang memerlukan semua hospital di peringkat kedua dan lebih tinggi serta institusi-institusi perubatan utama yang berkelayakan untuk menubuhkan klinik demam.

Di banyak kawasan, termasuk Beijing dan Wilayah Zhejiang, timur China, pelbagai hospital telah membuka perkhidmatan dalam talian khas untuk rawatan COVID-19 agar pesakit bergejala dapat membuat pertanyaan secara dalam talian.

Hospital-hospital di Shanghai telah membuka saluran kemasukan khas untuk menerima pesakit yang mana keputusan ujian asid nukleik atau keputusan ujian antigennya tidak normal.

"Kami telah mewujudkan kawasan-kawasan berbeza dan menyediakan saluran-saluran berbeza untuk kumpulan pesakit yang berbeza bagi memastikan agar semua pesakit dapat menerima penjagaan perubatan tepat pada masanya. Bagi pesakit yang sakit tenat, mereka akan mendapat rawatan tepat pada masanya sama ada mereka mendapat keputusan ujian COVID-19 negatif atau tidak," menurut Ma Xin, timbalan presiden Huashan Hospital of Fudan University di Shanghai, kepada Shanghai Media Group.

https://news.cgtn.com/news/2022-12-13/-New-Approaches-Hospitals-gear-up-to-prioritize-COVID-19-patients-1fJokZulTY4/index.html

 

 

Source: CGTN
Keywords: Computer/Electronics Health Care/Hospital Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service Public Safety