omniture

CGTN: Xi tegaskan pembinaan semula pasca-bencana dalam lawatan Timur Laut China

CGTN
2023-09-11 10:39 36

BEIJING, 11 September 2023 /PRNewswire/ -- Pada hari Khamis, Presiden China Xi Jinping melawat penduduk kampung yang dilanda banjir di bandar Shangzhi, Wilayah Heilongjiang, timur laut China, yang mana ketika itu beliau menegaskan usaha agar mempercepatkan pembinaan semula pasca-bencana dan menjamin keselamatan penduduk yang terjejas.

Mulai penghujung Julai hingga awal Ogos, beberapa kawasan di bahagian utara dan timur laut China mengalami paras curahan hujan dan banjir yang jarang berlaku selepas Taufan Doksuri dan Taufan Khanun bergerak ke kawasan pedalaman, mengakibatkan kemalangan jiwa dan mendatangkan kerosakan.

Lawatan oleh Xi dibuat semasa pemulihan dan pembinaan semula pasca-bencana menjadi amat penting di wilayah-wilayah ini ketika ini apabila air banjir telah surut.

Mempercepatkan pembinaan semula 

Pada awal Ogos, Bandar Shangzhi mengalami curahan hujan terbesar sejak tahun 1957, yang menjejaskan 79,000 orang. Bandar tersebut, sebuah kawasan pengeluaran bijirin yang penting, mengalami 420,000 mu (28,000 hektar) tanaman dilanda curahan hujan.

Di kampung Longwangmiao, yang diperiksa oleh Xi, 58.8 peratus tanah yang telah diusahakan musnah dan 149 daripada 193 rumah kekal di kawasan tersebut mengalami kerosakan.

Xi berjalan melalui ladang-ladang kampung tersebut untuk memeriksa impak banjir ke atas tanaman padi. Semasa berjalan di sepanjang jalan itu, beliau memeriksa kerja-kerja pemulihan terhadap rumah dan infrastruktur yang musnah.

Menyedari bahawa musim sejuk tiba lebih awal dan berlangsung lebih lama di kawasan timur laut, Xi menggesa pihak berkuasa tempatan untuk mempertimbangkan dengan berhati-hati dan teliti hal ehwal yang berkaitan dengan kehidupan dan kerja harian penduduk serta membuat perancangan dan melancarkan tindakan lebih awal.

Beliau menggesa usaha untuk membaiki rumah yang rosak, mempercepatkan pembinaan semula pasca-bencana, meminimumkan kerugian pertanian yang disebabkan oleh bencana dan menjamin keselamatan penduduk yang terjejas.

Melawat rumah-rumah penduduk kampung untuk mengetahui tentang kerugian mereka dan bekalan keperluan harian, Xi memberi galakan kepada mereka untuk meningkatkan keyakinan mereka bagi menangani kesukaran. Beliau menyatakan harapan bahawa mereka akan berupaya meneruskan kerja dan kehidupan normal tidak lama lagi dan kehidupan mereka akan terus bertambah baik.

Pengukuhan gesaan terdahulu 

Lawatan Xi ke Longwangmiao merupakan satu pengukuhan kepada gesaan beliau untuk kerja-kerja pembinaan semula pasca-bencana sejak bermulanya musim banjir negara ini.

Beliau memberi arahan mengenai pencegahan banjir dan bantuan bencana pada awal Julai, menuntut pihak berkuasa pada semua peringkat untuk memberi keutamaan tertinggi bagi menjamin keselamatan rakyat. Ini berlaku selepas curahan hujan lebat berterusan melanda kawasan-kawasan termasuk Perbandaran Chongqing, barat daya China yang mengakibatkan banyak kemalangan jiwa dan kerugian harta benda.

Semasa lawatan pemeriksaan di Wilayah Sichuan, barat daya China pada penghujung Julai, beliau menggesa usaha untuk membuat persiapan bagi kawalan banjir dan bantuan bencana serta meminimumkan kemalangan jiwa dan kerugian harta benda ke tahap paling besar, memandangkan bulan Julai dan Ogos merupakan waktu apabila lembangan Sungai Yangtze memasuki musim banjir yang utama.

Pada 1 Ogos, Xi memberi arahan baharu apabila hujan lebat di utara China dan kawasan-kawasan sepanjang Sungai Kuning dan Huaihe mencetuskan banjir dan bencana geologi serta mengakibatkan banyak kemalangan jiwa di Beijing dan Hebei.

Keselamatan nyawa dan harta benda rakyat, serta kestabilan sosial, harus dipastikan dengan sedaya upaya, tegas Xi dalam arahan tersebut.

Di bawah arahan Xi, pihak berkuasa Cina pada semua peringkat melancarkan usaha menyelamat dan bantuan besar-besaran sementara kerajaan pusat memperuntukkan lebih daripada 9.68 bilion yuan (hampir $1.32 bilion) dalam pelbagai dana pencegahan dan bantuan banjir untuk kawasan-kawasan yang dilanda bencana sejak awal musim banjir pada tahun ini.

Memandangkan China telah meraih pencapaian yang penting dalam pencegahan banjir dan bantuan bencana, satu mesyuarat telahpun diadakan oleh Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China pada pertengahan Ogos untuk mengatur tugas yang selanjutnya bagi pemulihan dan pembinaan semula selepas bencana.

"Di China, sekiranya rakyat menghadapi kesulitan, kami akan memanfaatkan sepenuhnya keunggulan sosialis kami, iaitu apabila masalah berlaku di satu tempat, bantuan tiba daripada semua pihak, dengan sokongan penuh daripada negara," kata Presiden Xi kepada penduduk kampung Longwangmiao.

https://news.cgtn.com/news/2023-09-08/Xi-stresses-post-disaster-reconstruction-in-NE-China-visit-1mW4GACDQxa/index.html

 

Source: CGTN
Keywords: Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service Advocacy Group Opinion Natural Disasters